Manaf Mamat, Bobby Gonzales Bakal Bentuk Gandingan Di UKM FC?

Dipetik berkata kepada New Straits Times, pengendali Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sulaiman Hussin ada menerima tawaran daripada dua bekas pemain skuad kebangsaan untuk bersama pasukan, namun belum ada keputusan mengenainya.

Dua pemain tersebut adalah Abdul Manaf Mamat dan Bobby Gonzales yang merupakan penyerang. Kedua-duanya diketahui memiliki sentuhan yang baik ketika di depan gol namun masih belum ada pasukan untuk beraksi pada musim hadapan.

Abdul Manaf Mamat boleh dikatakan semakin tenggelam apabila hanya beraksi di Liga M3 bersama Batu Dua FC dan kemudiannya bersama Kingstown Klang di Selangor Champions League 2019.

Sementara itu, Bobby Gonzales pula tampil cemerlang bersama Sarawak di Liga Premier musim 2019 apabila muncul sebagai penyerang tempatan paling berbisa dengan 9 gol – keempat terbanyak di belakang Zarko Korac (13 gol), Rodoljub Paunovic (11 gol), serta Lee Chang-hoon dan Meteo Roskam (10 gol).

Begitupun, Sarawak tetap diturunkan ke Liga M3 apabila berada di dasar liga pada penghujung musim dengan mengumpul 16 mata. Namun, dengan penyatuan Sarawak dan Selangor United, pasukan baharu, Sarawak United akan beraksi di Liga Premier 2020.

Disamping itu, Sulaiman Hussin turut memaklumkan yang UKM FC mengekalkan 80 peratus pemain musim lalu dan menggugurkan keempat-empat pemain import akibat permintaan gaji yang tinggi.

Mereka adalah, Micheal Ijezie, Mateo Roskam, Milad Zeneyedpour dan Alexander Tudose. Mateo Roskam dan Milad Zeneyedpour menyerlah musim lalu meledak 36 gol untuk membantu UKM FC.

Dan untuk saingan musim 2020, Sulaiman Hussin menjelaskan yang mereka hanya akan menggunakan khidmat dua pemain import sahaja akibat masalah kekangan kewangan ketika ini.

“Kami tidak mampu untuk menggunakan khidmat mereka musim hadapan. Kini, kami perlu mencari pemain import berdasarkan bajet yang dimiliki pasukan. Saya rasa, kita hanya akan guna dua pemain import sahaja musim hadapan,” ujar Sulaiman Hussin.

“Yang mempamerkan prestasi baik musim lalu dikekalkan. Bekas pemain kebangsaan, Abdul Manaf Mamat dan Bobby Gonzales ada menyatakan minat untuk bersama pasukan tetapi saya masih menanti keputusan pihak pengurusan pasukan,” tambahnya.

Kredit Foto: Batu Dua FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram