Man Utd Capai Persetujuan Jual Young Kepada Inter

Manchester United dilaporkan telah mencapai persetujuan mengenai perpindahan pemain pertahanan Ashley Young ke Inter Milan.

BBC melaporkan United telah bersetuju untuk menerima jumlah bayaran bernilai £1.28 juta untuk membenarkan pemain veteran itu ke San Siro.

Difahamkan terdapat klausa tambahan turut dimasukkan di dalam perjanjian tersebut, dan hanya akan menjadi aktif sekiranya Inter muncul juara Serie A musim ini.

Jika benar perpindahan ini bakal menjadi kenyataan, ia akan mengakhiri tempoh lapan musim setengah tempoh pemain itu berada di Old Trafford.

Pada ketika artikel ini ditulis, status Young adalah bergantung kepada laporan pemeriksaan kesihatan oleh Inter yang akan dilakukan pada hari ini, dan rundingan akhir mengenai bayaran yang bakal diterima oleh pemain tersebut di San Siro.

Ashley Young adalah kapten Manchester United pada musim ini, dan telah beraksi di dalam 261 perlawanan untuk kelab tersebut. Namun sepanjang musim 2019/20, Young hanya diturunkan dalam 10 perlawanan.

Inter yang turut membawa masuk Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez dari Old Trafford pada musim panas lalu kini menduduki tangga kedua Serie A, hanya ketinggalan dua mata di belakang Juventus.

Young akan menjadi pemain kelima daripada Manchester United yang akan beraksi di Itali sejak musim lalu, selepas Lukaku, Sanchez, Chris Smalling dan Mateo Darmian berbuat demikian sebelum bermulanya musim ini.

Perpindahan Sanchez dan Smalling bagaimanapun masih lagi berstatus pinjaman bersama kelab masing-masing, iaitu Inter dan Roma.

Manakala Darmian menyertai Parma dengan perjanjian selama empat musim dari United.

Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini seperti enggan melepaskan pemain berpengalaman tersebut, namun prestasi pemain muda Brandon Williams pada musim ini akhirnya memberikan keyakinan kepada beliau.

Pengumuman mengenai Young dijangka akan diadakan dalam masa terdekat oleh kedua-dua kelab.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram