Man City Selit Klausa Perpindahan Pelik Sebagai Syarat Brahim Diaz Ke Real Madrid

Di dalam dunia bola sepak, klausa perpindahan merupakan sebahagian daripada perjanjian yang boleh memberikan kelebihan, atau pun kekurangan buat pemain dan juga pasukan.

Ada pelbagai jenis klausa perpindahan di dalam kontrak pemain. Misalnya, peratusan keuntungan yang kelab asal akan perolehi sekiranya seseorang pemain dijual ke kelab yang lebih besar. Atau pun nilai-nilai tertentu di dalam kontrak yang perlu dipenuhi untuk memastikan situasi menang-menang kepada setiap pihak yang terbabit dalam perpindahan tersebut.

Namun klausa yang terkandung dalam perpindahan bintang muda, Brahim Diaz dari Manchester City untuk menyertai Real Madrid sedikit menghairankan, tetapi benar-benar telah berlaku.

(Photo by Andrew Kearns – CameraSport via Getty Images)
Dari Etihad ke Santiago Bernabeu

Bintang muda berusia 18 tahun, Brahim Diaz telah pun melengkapkan perpindahan dari Manchester City untuk menyertai Real Madrid.

Independent melaporkan Real Madrid telah bersetuju untuk membayar £15.5 juta untuk pemain tersebut – dan nilai itu boleh meningkat kepada £22 juta bergantung kepada nilai tambah lain yang dipersetujui oleh kedua-dua kelab.

Seperti kebiasaan untuk mana-mana pemain muda yang dijual, kelab asal akan menuntut peratusan keuntungan sekiranya pemain tersebut menyertai mana-mana pasukan lain pada masa hadapan.

Di dalam kes Diaz, Manchester City menuntut pulangan sebanyak 15% dari nilai jualan seterusnya. Tidak ada apa yang pelik mengenai syarat tersebut.

Klausa anti Manchester United

Namun apabila berbicara mengenai seteru setempat iaitu Manchester United, klausa tersebut terus bertukar menjadi berlainan.

Tuntutan pulangan 15% untuk jualan seterusnya Brahim Diaz adalah untuk menyertai mana-mana pasukan di dunia, kecuali Manchester United.

Malah sekiranya Real Madrid memutuskan menjual Diaz ke Old Trafford pada masa hadapan, terdapat klausa khas yang menyatakan Manchester City berhak menuntut sehingga 40% dari nilai jualan pemain tersebut daripada Real Madrid.

Klausa berkenaan bukan kerana Manchester City sengaja anti terhadap seteru mereka itu – tetapi untuk mengelakkan Manchester United meraih keuntungan dari bakat yang mereka bina dengan sewenang-wenangnya.

(Photo by Tom Flathers/Manchester City FC via Getty Images)
Permulaan baharu buat Diaz

Brahim Diaz menyertai Manchester City dari Malaga pada usia 14 tahun dan dianggap antara prospek terbaik dari akademi bola sepak kelab tersebut untuk beraksi di dalam pasukan utama.

Anehnya Manchester City tidak pula memasukkan klausa pembelian kembali dalam perjanjian penjualan Diaz ke Real Madrid.

Kontrak pemain yang berasal dari Sepanyol itu di Etihad akan tamat pada musim panas akan datang. Walaupun ditawarkan kontrak baharu melalui beberapa siri rundingan dengan City, Diaz memutuskan untuk memilih jalan keluar dari Etihad – kerana tidak yakin akan mendapat peluang sewajarnya di skuad utama kendalian Pep Guardiola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN