Man City Cari Pengganti Fernandinho, Hampir Pasti Dapatkan Fred Dari Shaktar Donetsk

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Manchester City mungkin mempunyai skuad yang paling ampuh dalam saingan Premier League musim ini.

Akan tetapi, ia tidak menghalang Pep Guardiola dari terus menguatkan barisan sedia ada.

Terbaru, Manchester City dikatakan telah hampir pasti untuk mendapatkan pemain tengah Shaktar Donetsk yang berasal dari Brazil iaitu Fred.

Jangan salah anggap, bukan Lord Fred itu ya. Ini Fred yang lain.

Manchester City dikatakan dalam usaha untuk mencari pengganti kepada Fernandinho yang semakin berusia. Oleh itu mereka menjadikan Fred sebagai pilihan mereka.

Menurut sumber di England, proses mendapatkan pemain tersebut telah memasuki fasa akhir dengan yuran perpindahan sebanyak £50 juta menanti kelab Ukraine tersebut.

Walaupun pada mulanya Shaktar Donetsk teragak-agak untuk melepaskan Fred kerana mereka masih dalam saingan UEFA Champions League.

Namun dek kerana kebimbangan pemain yang dimahukan dirampas Manchester United yang turut meminati Fred, Manchester City memilih untuk mendapatkan pemain tersebut secepat mungkin pada bulan Januari ini.

Siapakah Fred?

Fred atau nama penuhnya Frederico Rodrigues de Paula Santos merupakan pemain tengah yang berasal dari Belo Horizonte, Brazil.

Berusia 24 tahun, pemain yang dominan dengan kaki kiri ini boleh bermain di 2 posisi iaitu pemain tengah dan juga pemain tengah menyerang.

Musim ini beliau sudah menjaringkan 2 gol untuk Shaktar Donetsk serta merakamkan 4 bantuan gol dalam 24 penampilan beliau untuk kelab tersebut dalam semua pertandingan.

Fred juga mempunyai pengalaman beraksi dalam peringkat antarabangsa bersama Brazil, beliau kini mempunyai 6 penampilan bersama negara selepas melakukan penampilan kali pertama pada November 2014.