Mampukah Ronaldo Beradaptasi Dengan Deretan Bintang Muda Portugal?

Ronaldo Portugal Euro 2020

Pastinya tidak mudah laluan Portugal untuk mempertahankan kejuaraan Euro yang dimenangi lima tahun lalu. Dalam sejarah, Sepanyol merupakan satu-satunya pasukan yang berupaya muncul juara dua kali berturut-turut.

Apabila bercakap mengenai skuad A Selecao, tumpuan sudah tentu terarah kepada bintang utama mereka Cristiano Ronaldo yang bakal membuat penampilan kelimanya di kejohanan Eropah tersebut.

Menjangkau usia 36 tahun, banyak pihak yang meragui kemampuan penyerang veteren ini untuk sekali memimpin pasukan negaranya menjulang trofi kejohanan pada edisi kali ini.

Adunan 26 pemain muda dan berpengalaman dalam senarai kali ini dianggap sebagai ‘generasi emas’ dengan kebanyakannya telah mencipta impak luar biasa bersama kelab masing-masing.

Di kubu pertahanan, Rui Patricio hampir pasti menjadi pilihan utama untuk berada di benteng terakhir dilindungi oleh ‘tembok’ kukuh seperti Ruben Dias, Joao Cancelo, Raphael Guerreiro, Jose Fonte dan Pepe.

Kekebalan Ruben Dias dibuktikan dengan aksi konsistennya bersama Manchester City musim ini dan dipilih sebagai pemenang anugerah pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kredibiliti Pepe pula tidak perlu dipersoal lagi, beliau seolah-olah menjadikan usia 38 tahun itu sekadar angka yang tidak langsung menjejaskan kemampuannya untuk terus membuat penampilan bersama skuad kebangsaan dalam kejohanan utama yang kelapan sepanjang kariernya.

Bahagian tengah juga pasukan ini memiliki deretan pemain-pemain bintang seperti Bruno Fernandes, Bernardo Silva, Ruben Neves, Renato Sanches, William Carvalho dan Joao Moutinho.

Di bahagian serangan, pengendali Fernando Santos tidak perlu runsing jika kehilangan Ronaldo kerana pemain-pemain seperti Joao Felix, Diogo Jota, Goncalo Guedes dan Andre Silva semuanya mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol.

Namun timbul juga persoalan, adakah pemain-pemain di bahagian serangan ini mampu membentuk keserasian yang baik bersama Ronaldo?

Antara pemain yang paling mendapat perhatian pastilah Andre Silva yang menjaringkan 28 gol Bundesliga bersama Eintract Frankfurt pada musim ini. Beliau di tangga keempat dalam perebutan Kasut Emas Eropah di belakang Ronaldo, Lionel Messi dan Robert Lewandowski.

Namun ketika bergandingan bersama Ronaldo dalam aksi menentang Azerbaijan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia sebelum ini, kedua-duanya dilihat tidak begitu efektif.

Diogo Jota pula pernah mengakui tanpa kelibat Ronaldo beliau berupaya untuk mempamerkan kehebatannya ketika membantu Portugal menewaskan 3-0 dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) pada Oktober tahun lalu.

Dipertanggungjawabkan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Ronaldo, Jota dengan mudah untuk membalas kepercayaan Fernando Santos apabila cemerlang menjaringkan dua gol dan turut mencipta jaringan pembukaan dihasilkan Bernardo Silva.

Joao Felix yang dicanang sebagai pengganti Ronaldo pula bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak menyertai Atletico Madrid dengan rekod perpindahan pemain remaja termahal dalam sejarah.

Ketika aksi persahabatan menentang Sepanyol di Wanda Metropolitano tempoh hari, beliau juga gagal memberi sebarang impak kepada corak permainan pasukan.

Lima tahun lalu, Ronaldo menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam empat edisi Euro yang berbeza dan menyamai rekod jaringan terbanyak kejohanan milik Michel Platini (9 gol). Tentunya ini peluang terbaik untuk terus mencatat rekod baharu.

Fernando Santos sudah memiliki barisan pemain terbaiknya untuk kejohanan kali ini. Suka atau tidak, Ronaldo akan tetap menjadi tunjang utama buat pasukannya.

Cuma bagaimana beliau mampu untuk membentuk ramuan terbaik bersama pemain-pemain lain, kita akan saksikan tidak lama lagi.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak antarabangsa:

5 Pemain Muda Berpotensi Besar Untuk Diikuti Sepanjang Euro 2020

Rekod Menakjubkan Ali Mabkhout, Lionel Messi Dipintas Penyerang India

Bintang Korea Selatan Di Piala Dunia 2002 Meninggal Dunia

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply