Mampukah Pertahanan ‘Tempang’ Liverpool Menahan Serangan Leicester?

Kerjasama Semuanya BOLA

Liverpool Leicester

Pertembungan Liverpool dengan Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad ini pastinya menjanjikan sesuatu yang menarik di mana kedua-dua pasukan sedang bersaing rapat untuk berada di tangga teratas liga.

Namun ada sesuatu yang menarik untuk diperkatakan kerana Leicester merupakan pasukan yang mempunyai rekod jaringan yang baik dan mereka akan menghadapi Liverpool kini yang sedang berhadapan dengan krisis kecederaan yang serius di bahagian pertahanan.

Maka tumpuan kini terarah kepada strategi Jurgen Klopp yang mungkin sudah pun mempunyai perancangan untuk menutup segala kelompongan yang ada dalam pasukannya.

Leicester telah pun membuktikan bahawa ‘kerakusan’ mereka mampu dijelmakan tanpa mengenal lawan selepas mereka dengan mudah ‘meratah’ Manchester City 5-2 sekalipun beraksi di gelanggang lawan pada September lalu.

Dalam perlawnaan tersebut, City juga menghadapi ‘krisis’ di bahagian pertahanan di mana mereka kehilangan Aymeric Laporte yang dijangkiti COVID-19. Percaturan Pep Guardiola meletakkan  pemain kurang berpengalaman Eric Garcia yang bersama Nathan Ake akhirnya telah memakan diri.

Brendan Rodgers hampir pasti akan mengekalkan barisan serangannya yang diketuai Jamie Vardy sebagai penyerang utama sambil dibantu oleh Harvey Barnes, Dennis Praet dan James Maddison.

Di bangku simpanan, mereka juga mempunyai dua penyerang berkualiti iaitu Kalechi Ineanacho dan pemain baharu yang dibeli dari AS Roma, Cengiz Under.

Manakala Liverpool pula sudah pun kehilangan khidmat dua tonggak pertahanan utama mereka iaitu Virgil van Dijk dan Joe Gomez kerana kecederaan lutut yang serius. Trent Alexander-Arnold pula masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

Kepten pasukan Jordan Henderson juga telah mengalami kecederaan ketika tugasan antarbangsa selain penyerang utama Mohamed Salah telah sah akan diketepikan kerana masih positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan susulan.

Namun Klopp boleh menarik nafas lega selepas beberapa pemain seperti Andy Robertson, Thiago dan Fabinho telah disahkan kembali cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan pada hujung minggu ini.

Sebagai rekod, Liverpool telah dibolosi sebanyak 16 kali pada musim ini, ianya adalah rekod bolos kedua terburuk di EPL selepas Leeds United dan West Bromwich yang mencatat 17 bolos.

Jadi persoalannya, mampukah Liverpool menahan asakan barisan serangan Leicester pada Ahad ini?

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liverpool:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram