Malik Tolak Tawaran Sertai Kelab Thailand Kerana Belum Bersedia

Penjaring terbanyak Liga Perdana 2016 dan 2017, Abdul Malik Mat Arif mendedahkan kepada akhbar tempatan, Kosmo, bahawa beliau telah dapat tawaran untuk menyertai sebuah kelab dari Thailand musim depan.

Kehebatannya menjaringkan 15 gol dalam saingan Liga Perdana musim ini terbukti telah menarik minat beberapa kelab daripada luar negara untuk mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Malik yang enggan mendedahkan nama kelab dari Thailand itu memilih untuk menyertai pasukan Terengganu FC 1 (TFC 1) dan menolak tawaran daripada kelab Thailand itu kerana masih belum bersedia untuk berhijrah ke luar negara.

“Buat masa ini komitmen saya untuk TFC1, saya tidak berniat untuk menolak peluang bermain di luar negara, tetapi saya fikir belum tiba masa sesuai untuk melebarkan karier di sana.

“Jika kita lihat, Liga Thailand benar-benar kompetitif dan sudah pasti saya mahu mempersiapkan diri terlebih dahulu sebelum menilai tawaran-tawaran daripada mereka.

Menurut sumber, difahamkan tawaran itu hadir selepas beliau menandatangani kontrak dengan pasukan TFC 1. Walaubagaimanapun, Malik sedia pertimbangkan jika mendapat satu lagi peluang sertai kelab luar negara pada masa yang akan datang.

“Namun jika sudah bersedia, saya mahu melebarkan karier di luar negara tetapi buat masa ini saya mahu fokus dahulu bersama TFC1 pada musim depan,” katanya.

Pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017), hujung minggu lalu Abdul Malik yang juga bekas pemain Pahang musim 2011-2014 dinobatkan selaku penjaring terbanyak tempatan.

Abdul Malik Mat Arif menerima anugerah daripada Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Musim depan, pemain yang berusia 26 tahun itu berazam membuktikan kepulangannya beraksi dalam saingan Liga Super musim depan berupaya melonjakkan lagi reputasi selaku penyerang terbaik.

Pengalaman berharga bersama Kuantan FA selama tiga musim membantu memberi lebih keyakinan untuk tampil dengan komitmen tinggi terhadap pasukan.

“Segala-galanya nya sudah dilakukan dengan penuh keazaman tinggi. Saya gembira apabila sekali lagi muncul penyerang terbanyak tempatan Liga Perdana musim ini.

“Saya percaya dengan pengalaman ini akan membantu meningkatkan lagi corak permainan kerana Liga Super memerlukan komitmen lebih tinggi kerana saingannya lebih mencabar.

“Oleh itu, saya akan berusaha untuk muncul selaku penyerang terbaik dalam Liga Super bukan saja bersaing dengan pemain tempatan, malah import,” katanya.

Malik turut berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) terutama jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim kerana menawarkan tempat dalam skuad Terengganu FC I (TFCI) musim depan.

“Saya amat berterima kasih kepada TFCI yang yakin dengan bakat saya. Sudah tentu saya akan berusaha untuk membantu skuad Penyu meraih kejayaan,” katanya.

Leave a Reply