Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Makna Disebalik Nama Bastian Schweinsteiger (Dan Pemain Eropah Lain)

Semua ini bermula dari satu perkataan Jerman yang kami baru belajar, schwein – yang bermaksud khinzir.

Sebagai peminat bola sepak tegar, perkataan schwein mengingatkan kami kepada Bastian Schweinsteiger. Kami mula tertanya-tanya: apakah ada kaitan nama keluarga Schweinsteiger dengan khinzir?

Nama keluarga melambangkan pekerjaan

Satu perkara yang kami tahu adalah – nama keluarga orang Eropah biasanya melambangkan pekerjaan nenek moyang/keturunan mereka.

Contohnya, nama Carpenter adalah untuk keturunan tukang kayu. Hunter untuk keturunan pemburu. Cahill berasal daripada perkataan Gaelic yang membawa maksud pahlawan. Jadi besar kemungkinan Gary Cahill berasal dari keturunan pahlawan dari Ireland.

Nama keluarga Bastian Schweinsteiger mempunyai perkataan schwein yang bermaksud khinzir. Mungkinkah Bastian Schweinsteiger berasal dari keturunan penternak khinzir?

Bagi nama orang Sepanyol, nama Vincente del Bosque menarik minat kami kerana perkataan bosque bermaksud hutan dalam bahasa Spanish.

Bagi nama orang Belanda, nama Frank de Boer ada perkataan de boer yang bermaksud petani (the farmer) dalam bahasa Dutch.

Nama bekas penyerang Belanda dan Celtic, Jan Vennegoor of Hesselink mempunyai perkataan of yang bermaksud atau (or dalam English) dalam bahasa Dutch. Bayangkan nama anda ada perkataan ‘atau’. Apa maksudnya?

Bagaimana pula dengan nama orang Brazil dan Portugis? Pato bermaksud itik dalam bahasa Portugese. Ganso pula bermaksud angsa. Mengapa pelik sangat maksud nama mereka?

Nama lagenda Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer pula ada perkataan solksjaer yang bermaksud cahaya matahari dalam bahasa Norwegian.

Semasa beliau bermain, penyokong Man Utd pula ada membuat lagu untuk Solksjaer yang digubah dari lagu You Are My Sunshine. Adakah ini kebetulan? Kami rasa tak.

Lirik lagu Solksjaer yang dinyanyikan oleh penyokong Manchester United (Sumber: Shall We Sing a Song For You?)

Untuk menjawab soalan ini, kami membuat kajian. Ini hasil penemuan kami.


 

Maksud nama Bastian Schweinsteiger

Mari kita mulakan dengan nama pemain tengah Bayern Munich dan Jerman, Bastian Schweinsteiger.

Secara kasarnya:

schwein = khinzir
steig = memanjat
er = berkait dengan tempat/objek seperti hamburger, sejenis makanan yang berasal dari Hamburg.

Adakah ini bermakna Schweinsteiger bermaksud pemanjat khinzir? Tak logik bukan?

Jadi kami rasa nama Schweinsteiger ini merujuk kepada tempat di Jerman. Tempat dimana nenek moyang Schweinsteiger berasal.

Kami mencari di Google Maps kalau-kalau ada tempat yang bernama Schweinsteig di Jerman. Bila kami periksa, memang ada!

nama1

Dan tempat itu berada di Bavaria pula! Seperti yang anda tahu, Bastian adalah anak jati Bavaria.

Kemudian, kami periksa pula tempat kelahiran Bastian, iaitu Kolbermoor di Google Maps.

Apabila kami periksa jarak antara Kolbermoor dengan Schweinsteig, jaraknya hanya 16km sahaja! Ini bermakna Bastian dilahirkan tak jauh dari kampung nenek moyangnya. Adakah ini kebetulan? Kami rasa tidak.

main-qimg-36624e1dea35794046211763f5cbeb9e

Kemudian kami dapat tahu (daripada artikel ini) bahawa Schweinsteig memang terkenal sebagai kawasan penternakan khinzir dan perkataan ‘steig’ itu sendiri bermaksud kandang dalam bahasa German kuno.

Jadi, kami boleh membuat kesimpulan keturunan Bastian Schweinsteiger merupakan keturunan petani yang menternak khinzir di sebuah daerah di Bavaria yang bernama Schweinsteig.

Warum sollte ich klettern ein Schwein?


 

Maksud nama pemain Jerman yang lain

Rasa ingin tahu kami membawa kami kepada nama pemain Jerman yang lain.

1. Manuel Neuer – neuer bermaksud tukang jahit (tailor) dalam bahasa Jerman kuno.

2. Hans-Jörg Butt – butt bermaksud ikan sebelah (flounder) dalam bahasa German. Nenek moyang bekas penjaga gol Bayern Munich ini mungkin bekerja sebagai nelayan.

3. Per MertesackerMertesacker bermaksud padang kepunyaan Martin (Martin’s field) dalam bahasa Jerman. Di Jerman, setiap kawasan padang ragut memang ada nama khas menandakan pemiliknya.

4. Holger Badstuberbadstuber bermaksud pemilik rumah mandi (owner of a bathhouse) dalam bahasa Jerman. Uh oh…

5. Olivier Bierhoffbierhoff bermaksud ladang buah pear. Tetapi perkataan hoff juga boleh bermaksud padang, kebun dan gelanggang. Keturunan Bierhoff mungkin bekerja sebagai pekebun buah pear.

 


 

Maksud nama pemain Belanda

1. Jan Vennegoor of Hesselink

Menurut sebuah artikel di The Guardian, nama Jan Vennegoor of Hesselink terhasil apabila ada ahli dua keluarga petani dari Enschede, Holland berkahwin sesama mereka semasa abad ke-17.

Di Belanda, nama keluarga yang paling kaya akan menjadi nama keluarga baru anda jika anda berkahwin. Sebagai contoh, jika keluarga isteri anda lebih kaya daripada keluarga anda – anda perlu menggunakan nama keluarga isteri anda. Begitu juga sebaliknya.

Dalam kes Jan Vennegoor of Hesselink, kedua-dua keluarga Vennegoor dan Hesselink sama kaya dan sekufu – jadi kedua-dua nama keluarga dipakai.

2. Robin van Persie

Nama Robin van Persie juga menarik untuk dikaji mengikut artikel yang kami baca ini.

Maksud Persie merujuk kepada negara Parsi (Iran) ATAU merujuk kepada Persius, sebuah kawasan penempatan orang Norman yang menetap di Perancis. Ini bermakna:

  1. Sama ada keturunan van Persie berasal dari Iran atau
  2. Keturunan van Persie merupakan imigran dari Persius, sebuah tempat orang Norman di Perancis atau
  3. Nenek moyang van Persie mempunyai bisnes surat khabar kerana press atau persen bermaksud surat khabar dalam bahasa Dutch.

Maksud nama pemain Brazil dan Portugal

Kebanyakkan pemain Brazil dan Portugal menggunakan nama timangan mereka sejak kecil kerana nama sebenar mereka panjang. Nama mereka disusun seperti begini:

Nama sebenar pemain + nama keluarga ibu + nama keluarga bapa

Contohnya, nama sebenar penyerang Corinthians (dipinjamkan ke Sao Paolo) dan Brazil, Alexander Pato adalah:

Alexandre Rodrigues da Silva (nama keluarga ibu Pato adalah Rodrigues, nama keluarga bapa Pato adalah da Silva)

 

Dalam bahasa Portugis, pato bermaksud itik.

Daripada Alexandre Rodrigues da Silva, mengapa orang Brazil memanggilnya Alexandre Pato?  Mengapa itik?

Rupa-rupanya beliau mendapat nama timangan Pato kerana dilahirkan di Pato Branco. Ia tiada kena mengena dengan itik.

Dan mengapa orang Brazil jarang menggunakan nama keluarga mereka sebagaimana orang Eropah dan Amerika Syarikat?

Ini kerana budaya Brazil yang memang begitu. Keluarga mereka memberi nama timangan kepada semua ahli keluarga sejak dari kecil. Jadi nama timangan itu akan melekat sehingga tua.


Maksud nama pemain Sepanyol

1. Nama bapa/ibu – Kebiasaannya, orang Sepanyol menamakan anak mereka dengan tambahan perkataan -ez, -az, -is, atau -oz untuk memberi maksud ‘anak kepada si polan’. Contohnya:

James Rodriguez (bermaksud James anak Rodrigo)
Victor Valdes (bermaksud Victor anak Valdo)

2. Nama tempat kelahiran/kampung – Ada juga yang menamakan anak mereka berdasarkan tempat kelahiran atau kampung. Contohnya:

Pemain pertahanan Sevilla, Fernando Navarro yang berasal dari Navarre, Basque.

 

3. Nama pekerjaan nenek moyang mereka – Ada juga yang mengikut tradisi Eropah dengan menamakan anaknya bersempena pekerjaan turun-temurun keluarga mereka. Contohnya:

Guerrero bermaksud askar. Ini bermakna nama bekas penyerang Bayern Munich dari Peru, Paolo Guerrero bermaksud keturunan mereka terkenal sebagai askar.

4. Nama timangan – Ada juga yang memberi nama timangan kepada anak mereka sejak kecil. Contohnya:

Delgado membawa maksud kurus. Ini bermakna nama bekas pemain Lyon dari Argentina, Cesar Delgado bermaksud Cesar si kurus.

Sumber: Getty Images, The Guardian

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.