Maguire Sudah Sampaikan Hasrat Kepada Leicester City Untuk Berpindah Keluar

Sky Sports melaporkan Harry Maguire telah memaklumkan kepada Brendan Rodgers dan rakan sepasukan di Leicester yang beliau mahukan perpindahan keluar dari kelab itu pada musim panas ini.

Pemain pertahanan antarabangsa England itu menjadi pemain sasaran Manchester United dan Manchester City. Leicester juga dipercayai sudah memberikan kebenaran kepada Maguire untuk menyertai mana-mana pasukan – dengan syarat kedua-dua kelab membayar nilai yang dipinta oleh mereka.

Menurut laporan tersebut, Maguire menyampaikan hasrat untuk berpindah meninggalkan Stadium King Power pada hujung minggu lalu di kem pra musim yang diadakan di Perancis.

Leicester menuntut nilai perpindahan melebihi nilai rekod dunia [untuk pemain pertahanan] – bernilai £75 juta yang dibayar oleh Liverpool kepada Southampton untuk Virgil Van Dijik – sekiranya Maguire mahu menyertai pasukan lain.

Sehingga kini belum ada kelab dikatakan mampu memenuhi nilai tersebut walaupun Manchester United dikatakan sedang mendahului dengan tawaran £70 juta pada awal bulan ini.

Manchester City turut menawarkan jumlah yang sama, tetapi Leicester City menegaskan kedua-dua kelab hanya boleh mendapatkan pemain pertahanan berusia 26 tahun itu dengan tawaran yang lebih tinggi.

Beberapa hari lalu tabloid The Sun turut melaporkan Leicester City telah bersetuju dengan tawaran £60 juta+ £20 juta [tambah nilai] dari Manchester United. Namun demikian kedua-dua kelab terus mendiamkan diri berhubung perpindahan tersebut, dan beberapa sumber lain melaporkan kedua-dua kelab sedang rancak berbincang mengenai masa depan pemain itu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram