Adakah Lulus Pelesenan Kelab Bermakna Pasukan Kena Tukar Nama FA Kepada FC?

Tahniah kami ucapkan kepada Selangor FA, Pahang FA dan PKNS FC kerana berjaya lulus syarat pelesenan kelab AFC/FAM baru-baru ini.

Dengan kelulusan pelesenan kelab ini, Selangor, Pahang dan PKNS akan menyertai JDT sebagai pasukan yang sah boleh bertanding dalam Liga Super 2018 dan pertandingan anjuran The Asian Football Confederation, AFC (jika layak).

#ClubLicencing Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meluluskan Lesen Kelab AFC/FAM 2018 kepada PKNS FC yang…

Posted by PKNS FC on Wednesday, August 30, 2017

‪RASMI! FA Selangor telah menerima Lesen Kelab AFC/FAM dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi 2018 sekaligus…

Posted by FA Selangor on Wednesday, August 30, 2017

Pahang FA telah menerima Lesen Kelab AFC/FAM dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi 2018 secara rasmi. Ini…

Posted by Pahang FA on Wednesday, August 30, 2017

Bagaimanapun berdasarkan hasil pemerhatian kami di media sosial, berita pelesenan kelab AFC/FAM yang diumumkan Selangor, Pahang dan PKNS FC ini disambut dengan banyak kekeliruan daripada penyokong mereka sendiri.

Walaupun kami sudah menulis tentang topik ini sebelum ini, kami tetap ingin menjawab kekeliruan ini dengan cara seringkas dan semudah yang boleh – demi kefahaman peminat bola sepak tempatan.

3 gred kriteria pelesenan kelab

Sebelum kita berbincang secara lanjut tentang syarat pelesenan kelab, kita harus berbincang tentang 6 kriteria pelesenan kelab terlebih dahulu. 6 kriteria tersebut adalah:

  • Kriteria kesukanan
  • Kriteria infrastruktur
  • Kriteria pentadbiran
  • Kriteria undang-undang
  • Kriteria kewangan
  • Kriteria perniagaan

Keperluan setiap kriteria ini dinilai mengikut 3 gred iaitu:

Gred A – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred A, mereka tidak akan diberi lesen memasuki pertandingan AFC dan FAM.

Gred B – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred B, mereka masih boleh memasuki pertandingan AFC dan FAM jika mendapat kebenaran pemberi lesen.

Gred C – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred C, mereka masih boleh memasuki pertandingan AFC dan FAM. Boleh berubah menjadi gred A dan B pada bila-bila masa.

“Dapat lesen ni kira dah tak menyewa stadium lagi ke?”

Berdasarkan manual FAM Club Licensing Regulations Edition 2017, keperluan untuk mempunyai stadium yang telah disahkan untuk pertandingan kelab diberi gred A oleh FAM dan AFC.

Apa maksudnya: Ini bermakna untuk bermain dalam Liga Super 2018 (serta Liga Premier 2020) dan pertandingan anjuran AFC, pasukan WAJIB memenuhi kriteria ini tanpa gagal. Tiada kompromi dari FAM dan AFC.

Manual FAM Club Licensing Regulations Edition 2017 terang-terang memberitahu:

“Pemohon lesen mesti mempunyai stadium untuk bermain di pertandingan anjuran FAM dan AFC sama ada dengan cara:

a) memiliki stadium; atau

b) menyediakan kontrak bertulis dengan pemilik stadium yang menjamin kebenaran penggunaan stadium untuk pertandingan anjuran FAM dan AFC.”

Jadi kepada penyokong Selangor, anda tak perlu risau. Selangor FA masih boleh terus menggunakan Stadium Selayang asalkan pengurusan pasukan anda menyediakan kontrak bertulis dengan Majlis Perbandaran Selayang (pemilik stadium) kepada FAM dan AFC.

“Kelulusan pelesenan kelab dari FAM ini boleh dipakai ke untuk AFC?”

Berbeza dengan pemahaman ramai penyokong bola sepak Malaysia, syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh FAM sebenarnya diasaskan oleh syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh AFC.

Apa maksudnya: Ini bermakna jika kelab anda mematuhi syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh FAM, kelab anda juga sebenarnya telah mematuhi syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh AFC.

Malah ada sesetengah syarat pelesenan FAM jauh lebih ketat berbanding yang ditetapkan oleh AFC. Ini adalah untuk menjamin kualiti pelesenan pasukan-pasukan di Malaysia.

“Adakah dengan lesen kelab ini, Selangor FA kena tukar kepada Selangor FC?”

Sebelum kami menjawab soalan ini, kita perlu faham beza Football Association (FA) dengan Football Club (FC).

Football Association (FA) adalah persatuan bola sepak negeri. Di negara bola sepak yang maju, kebiasaannya FA tidak ditugaskan untuk mengurus pasukan seperti amalan di Malaysia. Mereka hanya fokus kepada tugas-tugas ‘big picture stuff’ seperti pembangunan akar umbi, pentadbiran liga negeri dan birokrasi.

Football Club (FC) adalah kelab bola sepak. Di negara bola sepak yang maju, kebiasaannya FA akan menubuh/melantik sebuah syarikat sendirian berhad yang bertugas menguruskan kelab tersebut. Mereka hanya fokus kepada ‘day-to-day operations’ kelab seperti aspek komersial, pemasaran dan pengurusan pasukan.

Berdasarkan manual FAM Club Licensing Regulations Edition 2017, keperluan untuk setiap pasukan menyediakan pelan perniagaan hanya diberi gred B oleh FAM. AFC pula langsung tidak menetapkan gred bagi aspek ini.

Pelan perniagaan ini wajib mengandungi:

a) Visi, misi dan sasaran
b) Analisis kajian pemasaran
c) Pelan teknikal (berkaitan prestasi di atas padang) untuk jangka masa pendek dan panjang
d) Pelan komersial untuk jangka masa pendek dan panjang
e) Pelan dan pengurusan Sumber Manusia
f) Pengurusan dan operasi kemudahan pasukan
g) Perancangan bajet kewangan
h) Pelan pembangunan komuniti

Apa maksudnya: Jadi untuk menjawab soalan di atas, secara ringkasnya kami boleh menjawab – tidak perlu. Selangor masih boleh bertanding sebagai Selangor FA walaupun sudah mendapat lesen kelab AFC/FAM.

“Setakat ini baru 3 pasukan sah lulus pelesenan kelab. Apa cerita dengan pasukan lain?”

Ketika ini FMLLP memberi masa sehingga September 2017 kepada semua pasukan Liga Super untuk menyiapkan kriteria-kriteria minimum yang membolehkan mereka mendapat lesen.

Pada Oktober 2017 nanti, sebuah badan berkecuali akan datang melawat semua pasukan Liga Super untuk melihat sama ada mereka berjaya memenuhi kriteria minimum perlesenan kelab atau tidak.

Kegagalan mereka mendapatkan lesen akan menyebabkan pasukan tak boleh bertanding dalam Liga Super musim 2018 dan Liga Premier musim 2020.

Setakat ini persiapan pelesenan kebanyakan pasukan Liga Super dan sesetengah pasukan 100Plus Liga Premier (seperti Negeri Sembilan FA) sudah berada di tahap 80%.

Baki 20% yang tak siap pula kebanyakannya berpunca daripada isu ‘tersangkut’ dalam kriteria pentadbiran dan kewangan. Seperti tiada staf pentadbiran yang mencukupi dan akaun beraudit.

Jadi kepada penyokong pasukan selain JDT, PKNS dan Selangor, anda tak perlu risau. Pengurusan pasukan anda tahu tentang perkara ini dan sedang bertungkus-lumus menyiapkan kerja mereka di belakang tabir.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN