Luis Suarez: Saya Dan Messi Amat Menderita Di Barcelona

Kerjasama Semuanya BOLA

Luis Suarez

Penyerang skuad kebangsaan Uruguay, Luis Suarez mendedahkan bahawa beliau seharusnya mendapat layanan yang lebih baik daripada kelab lamanya, Barcelona.

Suarez yang telah menabur bakti selama enam musim bersama Barcelona memilih untuk meninggalkan kelab tersebut bagi menyertai sebuah lagi kelab gergasi La Liga, Atletico Madrid.

Keupayaannya menjaringkan 198 gol ketika bersama Barcelona masih belum cukup untuk meyakinkan pengendali baharu The Blaugrana, Ronald Koeman yang menegaskan bahawa Suarez sememangnya tiada dalam perancangan beliau.

Keadaan itu juga membuatkan Lionel Messi berang dengan keputusan yang diambil Barcelona yang melepaskan sahabat baiknya itu.

Menurut laporan sebelum ini, Messi mengakui bahawa Suarez seharusnya diraikan sebagai salah seorang pemain yang penting kepada sejarah kelab tersebut.

”Saya tidak terkejut dengan [kenyataan] Messi kerana saya begitu mengenalinya, saya mengetahui kesakitan yang dirasainya,” ujar Suarez menurut laporan Goal.

”Dia merasakan mereka ‘menendang’ saya keluar kerana persembahan saya. Ada cara lain untuk melakukan perkara dengan betul terhadap saya.”

”Tempoh enam tahun yang panjang juga menganggunya. Saya melihat dia [Lionel Messi] sebagai seorang rakan dan dia sangat mengetahui betapa teruknya kami menderita.”

”Keluarga saya mahu melihat saya gembira. Terdapat beberapa perkara pelik di Barcelona seperti menghantar anda untuk berlatih secara berasingan kerana anda tidak akan dipertimbangkan untuk beraksi.”

”Perkara-perkara seperti ini membuatkan saya berasa amat teruk dan keluarga saya melihat saya terkesan dengannya, jadi mereka mendorong saya untuk mengambil peluang [berhijrah].”

”Apabila Atletico mahu mendapatkan khidmat saya, saya tidak teragak-agak walau sesaat pun [untuk menerima tawaran tersebut].”

”Jelas sekali saya harus membiasakan diri dengan pelbagai perkara, tetapi saya berasa sangat gembira berada di Atletico,” tambah Suarez lagi.

Dengan kualiti hebat dimilikinya, Suarez tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kewibawaannya apabila berjaya meledakkan dua gol serta mencipta satu bantuan jaringan pada perlawanan sulung Atletico Madrid menentang Granada tempoh hari.

Kredit featured image: David S. Bustamante/Soccrates/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Luis Suarez:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply