Lucien Favre Hampir Pasti Jadi Pengendali Baharu Borussia Dortmund

Kelab Ligue 1, Nice hampir pasti kehilangan jurulatihnya, Lucien Favre selepas beliau menjelaskan akan meninggalkan kelab itu selepas pasukannya tewas dalam perlawanan terakhir musim ini di Lyon, awal pagi tadi.

Malah, kenyataan dibuat Favre itu dilihat menguatkan lagi spekulasi mengenai perpindahannya ke kelab Bundesliga, Borussia Dortmund.

Media Jerman dalam beberapa minggu kebelakangan ini melaporkan jurulatih Perancis berusia 60 tahun itu bersedia kembali ke Bundesliga bersama Dortmund, selepas membimbing Borussia Moenchengladbach selama empat tahun sejak 2011.

“Ia adalah satu tugas untuk menstabilkan Nice dalam kelompok lapan teratas (di Perancis), pada tahun 2013 kelab ini (di kedudukan) ke-17,” katanya.

“Saya akan meninggalkan Nice dan Perancis, tetapi saya tidak boleh mengatakan apa-apa lagi.”

Favre, yang juga pernah bekerja di Jerman bersama Hertha Berlin dari 2007-2009, membimbing Nice menduduki tempat ketiga dalam liga pada musim lalu, walaupun mereka kecundang dalam pusingan playoff Liga Juara-Juara kepada Napoli pada Ogos lalu.

Skuad itu bermula lemah dalam kempen liga musim ini dan kekalahan 3-2 di Lyon menyaksikan mereka menamatkan saingan di kedudukan kelapan sekali gus gagal melayakkan diri ke kejohanan Eropah musim depan.

Pada aksi itu, jaringan hatrik bekas pemain Manchester United, Memphis Depay menyelamatkan kedudukan Lyon untuk menamatkan musim ini di kedudukan ketiga apabila hanya dibezakan dengan satu mata daripada pasukan tangga keempat, Marseille.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply