Luahan Hati ‘Capo’ Ultras Sarawak Mengenai FAS Dan Masa Depan Skuad Bujang Senang

Baru-baru ini kami terbaca satu muat naik di dalam satu laman blog milik ‘Capo’ kepada Ultras Sarawak yang dikenali sebagai Acai mengenai kemelut yang melanda bola sepak di negeri itu.

Ultras Sarawak, atau dikenali sebagai GB13 adalah kumpulan penyokong garis keras skuad Bujang Senang.

Kemelut yang melanda bola sepak negeri tersebut seperti isu mengatur perlawanan dan kegagalan pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mendaftarkan pasukan untuk saingan Liga Malaysia 2018, mendorong ‘capo’ GB13 untuk menulis luahan ini.

Kredit: GB13, Facebook.

Luahan ‘Capo’ GB13

Luahan ini jangan dianggap sebagai isu kontroversi. Ini hanya luahan biasa yang sekadar mahu berkongsi kisah dan pengalaman mengenai bola sepak Sarawak, yang hangat diperkatakan selepas isu mengatur perlawanan mencetuskan kemarahan ramai peminat terhadap pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Sebelum 2009, FAS sebenarnya telah terkubur. Keadaan kewangan badan bola sepak negeri ini sangat teruk dengan bebanan hutang yang tinggi.

Kredit: GB13, Facebook.

Pihak pengurusan FAS pada ketika itu berhadapan dengan saat sukar, sehinggakan terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk menampung perbelanjaan pasukan. Semua itu dilakukan kerana masih mahu melihat bola sepak Sarawak di kancah saingan tempatan.

Pada ketika itu, tiada tajaan daripada mana-mana pihak. Dana yang digunapakai hanyalah daripada pemberian kerajaan negeri dan geran yang diperuntukkan oleh FAM.

Nak harapkan hasil jualan tiket perlawanan, memang tidak ada. Era itu, bukan sahaja Sarawak yang mengalami masalah kemerosotan kunjungan penonton di stadium. Semua pasukan mengalami nasib hampir sama. Ia bagaikan era gelap kancah saingan tempatan.

FAS- Football Management Group (FMG)

Itu kisah sebelum tahun 2009. Atas desakan Ketua Menteri, Tun Taib pada ketika itu, Datu Sudarsono Osman tampil mengambil alih tampuk pengurusan FAS, memegang jawatan sebagai Presiden.

Perlantikan Datu Sudarsono sebagai Presiden FAS adalah melalui proses biasa sepertimana persatuan-persatuan yang lain. Bezanya, beliau mewujudkan sebuah syarikat FAS-FMG, untuk mengurus tadbir FAS.

Datuk Sudarsono bersama K. Rajagopal.

Di bawah kepimpinan Datu Sudarsono, bola sepak Sarawak mulai dibangunkan kembali. Ketika itu, Hj Zaki Sheikh Ahmad dilantik sebagai Ketua Jurulatih, dan perlahan-lahan, penyokong pun mulai kembali ke stadium.

Kumpulan penyokong

Dari berpuluh, meningkat kepada ratusan penyokong yang hadir. Itu pun sudah cukup meriah suasana perlawanan. Dari situ lahirlah kumpulan penyokong yang digelar ‘Sayotters Sarawak Fans Network’.

Kumpulan tersebut turut aktif di dalam media sosial, menyeru penyokong dari seluruh pelusuk Sarawak untuk kembali bersama-sama memberi sokongan kepada skuad Bujang Senang.

Kredit: GB13, Facebook.

Menjelang 2011, Sarawak layak ke pertandingan Piala Malaysia setelah beberapa tahun menyepi daripada pertandingan berprestij tersebut. Dari situlah tercetusnya idea pembentukan ‘curva’.

Ia betujuan mengumpul semua kumpulan-kumpulan penyokong Sarawak menjadi satu entiti, bersama-sama berada di satu sudut stadium untuk memberi sorakan. Maka ramailah kami. Ada yang melakukan ‘chant’. Ada juga hadir dengan drum, dan pelbagai lagi peralanan sorakan.

Kumpulan ini terus berevolusi. Dari sedikit, keluarga kami menjadi semakin besar. Daripada besar, menjadi sedikit, Sehinggalah pada 2018, ini sahajalah kami yang masih tinggal.- Hanya mereka yang benar-benar setia dengan bola sepak Sarawak.

Kredit: GB13, Facebook.

Bukanlah kami mendakwa orang lain tidak setia dengan pasukan Sarawak. Tetapi GB13 pada hari ini telah berjaya membentuk saluran mereka tersendiri untuk membantu menghidupkan bola sepak Sarawak.

Tetapi keadaan tidak seperti yang diharapkan. Niat kami disalah erti. Dikatakan memandai. Hakikatnya selama hampir 7 tahun, FAS tetap gagal melaksanakan tugas membangunkan bola sepak negeri Sarawak, walaupun ditadbir oleh dua kumpulan pengurusan.

Untuk komentar yang adil, satu-satunya kejayaan Sarawak ialah pada 2013, apabila Sarawak bergelar juara Liga Perdana pada 2013.

Tanggungjawab siapa?

Menuru capo GB13 ini, mereka yang berada di dalam FAS sering memandang rendah penyokong Sarawak. Pegawai FAS sering memperlekehkan dari menghargai usaha orang lain terutama penyokong yang berusaha memenuhkan Stadium Negeri.

Fenomena ‘baju merah’ yang pernah melanda Stadium Negeri bukanlah usaha 100% daripada FAS, tetapi beberapa faktor lain yang turut membantu demi bola sepak Sarawak.

Sarawak FA mempunyai kumpulan penyokong yang sentiasa setia dalam turun naik pasukan.

Kita sama-sama mengangkat kembali bola sepak Sarawak kerana kita orang Sarawak. Buktinya, berapa ramai yang masih positif saat bola sepak Sarawak jatuh? Perkara ini gagal dilihat oleh pengurusan, dan ada di kalangan mereka yang mendakwa lebih senang kerja FAS jika tiada penyokong hadir.

Sebaliknya, persepsi presiden FAS adalah berbeza. Malah beliau memohon pertolongan agar dilakukan kempen untuk membawa penyokong lain hadir ke stadium. Maka kami laksanakan, walaupun sukar. Demi Sarawak.

Gaji pemain

Dakwaan adalah lebih baik penyokong tidak turun ke stadium, itu bagaikan cerita di liga kampung-kampung. Pasukan sebegitu tidak ada komitmen dan tanggungjawab untuk dilaksanakan.

Sejujurnya, rata-rata pemain Sarawak dibayar gaji cukup-cukup makan. Gaji mereka bukannya puluhan ribu. Hari ini, gaji mereka sekitar Rm4,000 sebulan- antara yang terendah di saingan Liga Malaysia. Tidak ada pemain yang menyarung jersi Sarawak mempunyai pendapatan melebihi RM100,000. Jika ada, ia adalah satu penipuan.

Jadi bagaimana pihak berkenaan boleh mengatakan kehadiran penyokong ke stadium tidak penting? Bukankah hasil jualan tiket boleh membantu pengurusan melunaskan gaji? Paling tidak pun untuk menjelaskan bil atau memperbaiki lampu stadium.

Jika seseorang pemain sudah menerima gaji ribuan ringgit, maknanya mereka adalah pemain profesional. Bola sepak adalah periuk nasi. Jangan rosakkan periuk nasi mereka sesuka hati.

Jika FAS mengabaikan penyokong, tajaan pasti akan sukar diterima. Sekaligus ini akan menjejaskan bayaran gaji pemain.

Perkara ini tidak kelihatan pada mulanya. Tetapi lama-kelamaan, kepincangan itu semakin jelas.

Badi FAS

Pengurusan FAS ini bagaikan ada badi. Setiap kali, tampuk kepimpinan bertukar, ia pasti meninggalkan sesuatu yang tidak baik dan tempang. Tahun ini FAS di bawah kepimpinan Dato Posa Majais turut kelihatan akan berakhir ke arah itu.

Lihat sahaja perihal lesen FAM, pendaftaran, gaji tertunggak, malah scouting pemain import kelihatan bermasalah. Ini semua adalah kerana tiadanya iktibar untuk bergerak dengan cara profesional.

Sumber: FMLLP, Facebook.

Perhatikan pula prasarana. Gym yang digunakan milik orang, stadium milik perbadanan, sehinggalah kepada tukang jual tiket, menggunakan khidmat sukarelawan.

Bukanlah menyalahkan FAS gagal menyediakan semua itu. Setiap tahun dana yang ada digunakan untuk kos operasi, sedikit kepada badan gabungan dan sedikit sahaja untuk kegunaan pembangunan. Maknanya tiada simpanan untuk tujuan pelaburan kembali.

Kredit: GB13, Facebook.

Capo yang lebih dikenali dengan nama “Acai” itu terkilan dengan dakwaan GB13 hanya pandai bercakap, tetapi tidak buat kerja. Sebenarnya banyak telah dilakukan untuk bola sepak Sarawak, tetapi kerana mereka adalah golongan muda dan belia, idea mereka sering tidak dipandan

Malah ada beberapa idea itu dicuri, diolah dan digunapakai untuk kegunaan sendiri. Akhirnya hasil kerja tersebut tidak menjadi kerana ia tidak dilakukan sehabis hati, tetapi berpaksikan duit semata-mata.

Kelemahan utama

Menurut Acai, dua kelemahan utama di dalam FAS ialah dana dan pengurusan. Secara kasar, perbelanjaan FAS untuk tujuan urus tadbir pasukan tidak kurang RM5 juta setahun. Itu untuk kegunaan pasukan utama sahaja.

Itu pun dengan sistem pemain dan jurulatih serta barisan sukarelawan. Jika menggunakan kaedah kakitangan tetap atau kontrak, jumlahnya mungkin lebih daripada itu.

Memberi alasan tidak cukup dana sebagai punca kegagalan bola sepak Sarawak adalah tidak mencukupi. Kerana itulah usaha mencari dana perlu dipergiatkan. Perlu ada struktur dan hala tuju. Perlu ada kaedah pelaksanaan (SOP) dan sistem pengurusan kualiti di dalam urus tadbir (ISO).

Buat masa sekarang, tidak ada SOP mahupun ISO di dalam pengurusan bola sepak Sarawak. Senang kata, semua hanya berdasarkan budi bicara pengurusan tertinggi di dalam FAS. Jika ada prosedur yang digunapakai, ia hanya untuk menyelamatkan kedudukan diri di dalam FAS.

Presiden FAS, Dato Posa Majais

Datuk Posa dikhabarkan telah membelanjakan lebih sejuta daripada poket sendiri untuk menampung keperluan FAS.

Tahukah anda bahawa langkah ini, kelihatan murni tetapi merupakan ciri-ciri kelemahan di dalam kepimpinan?

Kredit foto: Stadium Astro

Sebagai Presiden, beliau sepatutunya mencari dana, dan bukan memberikan dana untuk kegunaan FAS. Memberi dengan secara sedemikian, boleh dianggap melanggar etika sebagai Presiden FAS.

Ia berbeza berbanding JDT yang berkonsepkan pemilikan.

Ini kerana ia akan memberi ruang berlaku kejadian conflict of interest di masa hadapan.

Terdapat perbezaan jelas diantara mencari dana dan memberi dana. Walau apa pun alasan, tindakan meletakkan duit dari poket sendiri bukan perkara wajar kerana FAS bukan hak peribadi beliau.

Jika satu hari nanti FAS akan menerima tajaan, adakah wang tajaan tersebut akan diguna untuk membayar kembali wang peribadi sumbangan Presiden? Jika begitu, akaun FAS akan kekal kosong.

Siapakah yang merekodkan segala transaksi dan kedudukan kewangan tersebut?

Pengurusan kewangan ini adalah nadi sebenar pergerakkan FAS. Kerana itulah Acai berpendapat pengurusan FAS sedia ada perlu ditukar.

FAS memerlukan tampuk kepimpinan yang mempunyai visi, dan lebih bijak dalam selok belok pengurusan sebuah badan profesional. Bukan melaksanakan kerja ikut budi bicara.

FAS perlu entiti baharu

Presiden FAS terdahulu telah mewujudkan FAS-FMG. Tetapi pengurusan terkini tidak berani mengambil alih FMG kerana ketiadaan laporan audit yang terperinci. Memang benar, bahawa pelbagai tuduhan boleh dilemparkan bila sesuatu perkara itu tidak jelas.

Tetapi FAS jelas memerlukan memerlukan pembentukkan entiti yang baru jika mahu berubah. Ia diperlukan agar perjalanan kewangan FAS sentiasa boleh dipantau.

STR/JANNAH KHO

Selain daripada itu, ia turut membenarkan FAS mewujudkan organisasi yang lebih terancang, sesuai dengan tanda aras yang ditetapkan oleh FMLLP atau pun FAM.

Begitu juga dengan unit pemasaran. Perlu ada individu yang profesional dan boleh melaksanakan tugas pemasaran secara agresif. Bukan pegawai pemasaran yang hanya pandai tampil minta wang tajaan, tetapi selepas itu lesap tanpa melakukan sesuatu untuk tujuan promosi.

Kredit: Came Cameron

Selepas mempunyai struktur yang tersusun, saya yakin tidak akan ada masalah pendaftaran mahupun perlesenan. Selepas itu baharulah kita boleh memperkatakan mengenai bola sepak sebagai industri.

Antara perubahan yang boleh dilakukan ialah pemilikan FAS oleh penyokong. Jualan saham pemilikan boleh digunakan sebagai modal untuk mengembangkan FAS.

SHAH ALAM 04 NOVEMBER 2017. Pemain Johor, Safiq Rahim dan Jurulatih Johor Datuk Takzim Ulises Morais meraikan kemenangan bersama penyokong setelah JDT menewas Kedah pada perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Mengapa tidak? Jika ianya berjalan dengan lancar, FAS boleh berdiri atas jenama sendiri sebagaimana JDT lakukan. Suka atau tidak, itulah tembok yang dipecahkan oleh JDT sehingga berjaya seperti hari ini.

Sampai bila FAS mahu mengharapkan geran daripada kerajaan negeri?

Penutup

Bola sepak pada hari ini sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Hari ini bola sepak serba serbi profesional.

Ia adalah sebuah industri. Kita ini sentiasa bising mengatakan mahukan kemenangan.

Menang itu boleh. Tetapi sekadar Liga Maghrib. Jika Liga Premier atau Liga Super yang jadi sasaran, sudah tentu ia menuntut lebih banyak pengorbanan.

Nota editor: Artikel ini merupakan luahan hati ‘capo’ Ultras Sarawak (GB13), yang dikenali sebagai Acai. Artikel asal dimuatnaik di dalam blog https://awgkhairul.wordpress.com. Ia telah disunting oleh editor kami sebelum kebenaran untuk disiarkan diberikan kepada Semuanya BOLA.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram