Logo Selangor FA Masuk Dalam Video Muzik Kumpulan Deep Purple

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Logo Selangor FA muncul dalam video muzik kumpulan Deep Purple bertajuk ‘Throw My Bones’ yang dirilis di YouTube semalam. Throw My Bones merupakan single pertama album studio terbaru kumpulan muzik lagenda tersebut yang bertajuk ‘Whoosh’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Deep Purple:

“Throw My Bones adalah lagu yang diingati; satu singkapan bertenaga tentang album studio ke-21 kumpulan ini.”

Menjelaskan konsep video muzik ini, Deep Purple berkata ia mengandungi perkara-perkara yang merentasi masa dan ruang.

“Ia adalah jemputan untuk merenung kembali masa lepas untuk mencari mesej, seruan dan pelawaan melihat planet dan situasi terkini di Bumi.”

Babak yang bermula selepas 38 saat dalam video muzik ini menampilkan senario biasa dalam Liga Selangor – liga negeri anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) – sebelum perlawanan bermula. Ia menunjukkan pengadil sedang membaling syiling untuk menentukan siapa akan membuat sepak mula.

Di belakang, seorang individu memakai pakaian angkasawan sedang berdiri memerhatikan babak tersebut.

Menurut Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), babak tersebut datangnya dari perlawanan Liga Divisyen 1 FAS antara pasukan Kelab Bolasepak GenPro menentang Kelab Bolasepak Vulcans.

Bagaimanapun FAS sendiri tidak dapat memastikan bagaimana Deep Purple boleh mendapat klip video Liga Selangor untuk diselitkan dalam video muzik mereka.

Deep Purple adalah kumpulan muzik rock dari England yang terkenal sekitar era 70-an.

Ia dianggotai oleh Ian Gillan (vokal), Steve Morse (gitar), Roger Glover (bass), Ian Paice (dram) dan Don Airey (keyboard).

Antara lagu-lagu mereka yang popular adalah Smoke on The Water (1972), Highway Star (1972), Speed King (1970), Fireball (1971) dan Into The Fire (1970).

Sebagai rekod, Selangor ketika ini sedang menduduki tangga ketujuh CIMB Liga Super 2020 dengan lima mata dari empat perlawanan. Terbaru mereka tewas 0-2 kepada Kedah sebelum aksi liga ditangguhkan sementara berikutan penularan wabak COVID-19.

Kekalahan ini meningkatkan lagi tekanan terhadap ketua jurulatihnya, B. Satiananthan yang tidak popular dalam kalangan majoriti penyokong Selangor.

Pada musim Liga Super tahun lepas, Selangor juga memulakan musim dengan buruk sebelum bangkit untuk menamatkan liga di tangga ketiga. Pahang berada di tangga kedua. JDT pula muncul juara liga musim lepas.

Baca juga artikel kami lain mengenai muzik dan bola sepak: