Ljuba Baranin Perjelas ‘Cash’ Berjumlah RM11,500, Masalah Imigresen & Batu Dua FC

Beberapa hari lalu kami mendedahkan luahan pemain import dari Serbia, Ljuba Baranin yang mendakwa dirinya tidak mendapat layanan sepatutnya dari bekas kelab beliau, Batu Dua FC yang bersaing di Liga M3. Luahan tersebut diluahkan melalui akaun Facebook peribadi beliau.

Antara perkara yang menjadi isu ialah masalah pembayaran gaji pemain, dan juga bagaimana beliau diberikan cek palsu oleh pengurusan kelab.

Terima kasih kepada Tuhan, saya akhirnya meninggalkan Batu2. Siapa yang bermain untuk pasukan ini tahu neraka itu mudah…

Posted by Ljuba Baranin on Thursday, June 20, 2019

Penjelasan Batu Dua FC

Perkara tersebut seperti dijangka akan mendapat respon dari Batu Dua FC yang menafikan mereka tidak memberikan layanan tidak wajar kepada pemain tersebut, walaupun mengakui mengalami sedikit masalah kewangan berhubung pembayaran gaji pemain.

Kenyataan Media B2FC
—————————————-

Bagi menjawab isu2 yang sedang hangat diperkatakan di…

Posted by Batu Dua Football Club – B2FC on Friday, June 21, 2019

Antara kenyataan oleh Batu Dua FC yang dikeluarkan semalam ialah mengenai agenda Ljuba Baranin yang menyerang kelab dengan kenyataan beliau setelah kembali ke negaranya.

“Berbalik kepada isu pemain import yang menuduh berbagai perkara tidak elok kepada Kelab. Kami berharap pemain tersebut tampil dan berjumpa kami. Menjadi kemuskilan kami apabila setelah beliau bersetuju dengan jumlah yang diterima serta menurukan tandatangan. Beliau terbang ke negara asal dan tiba disana terus menyerang kami.

“Kami berharap beliau tidak lupa walaupun sedikit kebaikan kelab kepada beliau. Entah beberapa kali beliau datang berjumpa wakil Kelab memohon cash dengan alasan alasan tertentu. Namun Kelab tidak pernah meminggirkan permintaan beliau.

“Namun kami agak kecewa dengan tindakan beliau menyerang kami dan mengunakkan kata2 yang kesat . Akhirnya kenyataan beliau di guna pakai oleh Media Utama sebagai topik bertujuan melariskan jualan tanpa mengambil kira cerita yang sebenar.

Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, juga kerana kemusykilan dan mahu mengambil kira cerita yang sebenar, kami telah menghubungi Ljuba Baranin yang sudah pulang ke negaranya Serbia.

Penjelasan Baranin

Bercerita mengenai perkongsian beliau sebelum ini, Baranin berkata masalah beliau bersama Batu Dua FC bermula dengan masalah gaji yang tidak dibayar oleh pihak pengurusan kelab.

“Kisahnya begini. Saya sepatutnya dibayar RM16,350 sebulan. Pada empat bulan terakhir, saya hanya menerima satu bulan gaji. Tiga bulan yang lain, tiada pembayaran langsung yang saya terima,” ujar beliau membuka bicara kepada wartawan Semuanya BOLA.

Bagaimanapun Baranin turut menjelaskan gaji bukan satu-satunya masalah yang dihadapi oleh beliau ketika berada di Malaysia.

“Masalah utama saya juga ialah berkaitan dengan permit kerja. Saya sebenarnya sudah melangkaui tempoh 75 hari daripada tempoh yang dibenarkan untuk berada di Malaysia.

“Pihak Imigresen menggesa saya untuk hadir [ke pejabat Imigresen] bersama pegawai dari kelab [Batu Dua FC]. Tetapi panggilan telefon saya [kepada pegawai berkenaan] untuk berbuat demikian tidak pernah dijawab.

“Kerana itu saya tidak mempunyai pilihan setelah pihak Imigresen menggesa saya untuk meninggalkan negara ini [Malaysia] dalam tempoh 10 hari,” jelas beliau mengenai masalah untuk terus berada di negara ini.

Disebakan keadaan itu Baranin memaklumkan kepada pengurus pasukan dan seorang lagi pegawai bahawa beliau sudah tidak mempunyai sebarang pilihan, melainkan untuk membuat laporan polis dan turut menghantar kes ini kepada pihak PFAM.

Hanya selepas itu, beliau dihubungi dan dimaklumkan akan dibayar gaji untuk membenarkan beliau terbang ke Serbia.

“Saya diajak berjumpa di sebuah restoran. Lima yang lain turut hadir, lagak seperti mafia. Mereka ingat saya takut.

“Kemudian mereka menyerahkan wang tunai berjumlah RM11,500. Saya bertanya: ‘Apa ini? Jumlah ini hanya 25% daripada apa yang sepatutnya dibayar kepada saya. Di mana jumlah yang lain?’

“Mereka memaklumkan bahawa ‘boss’ enggan membayar saya. Malah mereka meminta saya memulangkan cek dan kontrak, atau saya akan berhadapan dengan masalah.

Baranin turut memaklumkan kepada kami bahawa cek yang diberikan kepada beliau itu tidak diterima oleh pihak bank untuk ditunaikan.

“Saya memaklumkan kepada mereka saya tidak boleh menerima jumlah [RM11,500] tersebut. Kemudian mereka mengugut untuk memberikan masalah kepada rakan-rakan saya yang lain dalam pasukan. Maka saya terpaksa menandatangani surat tersebut.

“Saya menandatangani surat tersebut kerana terdesak setelah imigresen mengarahkan saya untuk meninggalkan negara ini. Saya perlukan wang tersebut untuk membayar penalti kepada pihak Imgresen, dan juga tiket perbangan keluar dari Malaysia. Saya berbuat demikian juga kerana tidak mahu rakan lain mengalami masalah,” jelas beliau.

Baranin turut berkata beliau memiliki bukti untuk semua dakwaan tersebut. Beliau juga mendedahkan masalah pembayaran gaji bukan sahaja dihadapi oleh beliau, tetapi turut dihadapi oleh pemain-pemain tempatan dan import lain di dalam pasukan.

Antara perbualan Group Whats App yang didedahkan Ljuba Baranin.
Antara perbualan Group Whats App yang didedahkan Ljuba Baranin.
Antara perbualan Group Whats App yang didedahkan Ljuba Baranin.

Antara pendedahan lain oleh Baranin ialah terdapat pemain import yang bermalam sehingga enam malam di dalam kereta kerana tidak dibayar gaji.

Lebih mengecewakan Baranin, beliau turut menyerahkan sejumlah wang kepada pihak kelab untuk membantu beliau menyelesaikan masalah permit kerja, namun ianya tidak dilakukan. Walaupun dijanjikan dengan pelbagai kemudahan, Baranin mendedahkan beliau membayar sendiri sewa rumah dan kenderaan yang beliau guna sepanjang bergelar pemain Batu Dua FC.

Penutup

Sekiranya dakwaan oleh Ljuba Baranin ini benar, maka kita boleh simpulkan bahawa bola sepak di negara ini berada di tahap yang amat tenat. Pendedahan ini juga bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, khususnya Batu Dua FC.

Pihak kelab mahu pun pemain boleh tampil bila-bila masa dengan penjelasan masing-masing. Tetapi sampai bilakah perkara sebegini akan mewarnai kancah saingan bola sepak negara?

Persoalannya sekarang melangkaui kelab-kelab yang berhadapan dengan masalah kewangan seperti Batu Dua FC. Apa pula tindakan oleh Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur pertandingan, dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk bola sepak negara untuk mengelakkan masalah dari berulang? Mungkin agak keterlaluan, tetapi kenyataan yang nyata ialah masalah kebajikan pemain – khususnya pembayaran gaji – sudah ibarat kanser tahap 4 dalam bola sepak di negara ini.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN