“Liverpool Tidak Mahu Sertai ‘Sarkas’ Seperti Man City, Man Utd, Atau Chelsea” – Klopp

Jurgen Klopp sekali lagi menegaskan beliau gembira dengan projek jangka masa panjang di Liverpool pada musim panas ini, walaupun kelab seteru yang lain sibuk berbelanja di jendela perpindahan pemain yang dianggap pengendali Jerman itu seperti ‘sarkas’.

Ibrahima Konate menjadi satu-satunya pemain yang didatangkan Liverpool ke Anfield dengan tanda harga £36 juta dari RB Leipzig pada musim panas ini. Jumlah pelaburan tersebut adalah jauh lebih kecil berbanding apa yang dibelanjakan oleh Manchester City, Chelsea atau pun Manchester United.

Liverpool tidak akan sertai sarkas

Klopp bagaimanapun berpendapat melanjutkan kontrak pemain seperti Virgil van Dijk, Alisson, Andy Robertson, Fabinho, dan Trent Alexander-Arnold adalah lebih penting untuk kestabilan kelab.

Pemain-pemain itu sendiri mempunyai nilai melebihi £300 juta di jendela perpindahan dan merupakan keutamaan Liverpool. Kelab Anfield itu tidak melakukan sebarang pembelian sebelum musim 2019/20, di mana mereka meraih kejuaraan liga pertama mereka sejak 30 tahun lalu.

“Saya berada di sini untuk bekerja sedemikian rupa dan pada masa itu kita agak berjaya,” ujar Klopp.

“Kami memenangi beberapa trofi dengan melakukan perkara yang betul, dan sekarang dipersoalkan mengapa kami berbuat demikian. Ia sentiasa cara yang sama.

“Kami berpendapat ia lebih penting untuk mengekalkan skuad sedia ada, dan itulah yang kami lakukan.

“Ia bukanlah perkara yang spektakular seperti apa yang berlaku di sekeliling anda. Saya tidak boleh mengubah persepsi itu hanya kerana anda tidak melakukan pembelian dan semata-mata untuk berada di dalam ‘sarkas’.

“Kelab lain membeli pemain baharu, tidak apa dengan itu, sekarang kami akan beraksi menentang mereka dan kita akan lihat apa yang mampu kami lakukan.”

Liverpool sebelum ini pernah membuktikan mampu bersabar dengan aktiviti di jendela perpindahan di bawah kendalian Klopp, sebelum membawa masuk pemain yang mereka kehendaki seperti Alisson atau pun Van Dijk.

Penyokong The Reds juga berharap kelab itu mampu memancing Kylian Mbappe ke Anfield pada musim panas akan datang yang boleh didatangkan secara percuma dari PSG, atau pun Erling Haaland yang mempunyai klausa perpindahan bernilai £73 juta.

Klopp jengkelkan pengurus lain

Klopp yang membawa Liverpool berhadapan Leeds untuk mempertahankan rekod tanpa kalah musim ini pernah bersengketa dengan Pep Guardiola apabila mendakwa Manchester City dan Chelsea tidak mempunyai kawalan terhadap perbelanjaan. Tetapi pengendali dari Jerman itu kemudiannya mendakwa ia adalah salah faham kerana kemahiran Bahasa Inggeris yang tidak berapa bagus dimilikinya.

“Saya sebelum ini pernah membuatkan pengurus lain rasa tidak senang, dan saya tidak mahu ia berlaku sedemikian,” kata Klopp.

“Saya berkata sesuatu. Saya berpendapat ia perkara yang betul. Ia mungkin betul pada saya, tetapi dua hari kemudian saya mendengar respon dari pihak lain. Ia membuat saya bertanya: ‘Mengapa perlu beliau melatah?’

“Jujurnya saya tidak peduli apa kelab lain sedang lakukan.”

Bukan kali pertama

Pep Guardiola bukan satu-satunya pengurus yang pernah memberi respon terus kepada Klopp kerana kenyataannya mengenai aktiviti kelab lain di jendela perpindahan pemain.

Musim lalu, Klopp pernah mempersoalkan bagaimana Frank Lampard dan Chelsea berbelanja. Walaupun Lampard tidak kekal bersama Chelsea, Thomas Tuchel yang menggantikan Lampard berjaya membawa The Blues dan pelaburan melebihi £200 juta merangkul kejuaraan UEFA Champions League pada musim lalu.

Ia bukan menghairankan Chelsea berbelanja besar ketika itu selepas dilarang melakukan sebarang aktiviti di jendela perpindahan akibat pergantungan oleh UEFA selepas salah laku melibatkan perpindahan pemain muda.

Musim ini Chelsea turut melabur besar mendapatkan Romelu Lukaku dari Inter Milan, dan Chelsea dilihat sebagai salah sebuah kelab yang memiliki skuad yang kuat melontarkan cabaran untuk kejuaraan pada musim ini.

Musim panas ini turut menyaksika Manchester United berbelanja besar untuk mendapatkan pemain seperti Jadon Sancho, Raphael Varane dan Cristiano Ronaldo.

Klopp turut tidak mendiamkan diri apabila mempersoalkan bagaimana Manchester United mampu terus berbelanja besar setiap musim.

Persoalan Klopp bagaimanapun dijawab dengan tenang oleh pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yang menegaskan kelab itu mempunyai sumber kewangan yang besar kerana cara ianya beroperasi dan diuruskan dengan cara yang betul sehingga mendapat keuntungan besar dari nilai komersil.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply