Liverpool Minta Maaf, Tak Jadi Minta Kerajaan Bayar Gaji Staf

Kerjasama Semuanya BOLA

Liverpool

Selepas jenuh dikutuk segenap penjuru, pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool telah membuat pusingan U berkenaan keputusan untuk memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja kelab tersebut dan memohon maaf kepada penyokong mereka.

Pada Sabtu, kelab tersebut berkata mereka akan memohon skim pengekalan pekerjaan yang memerlukan kerajaan membayar 80 peratus daripada gaji pekerja menggunakan duit pembayar cukai.

Tindakan itu bukan sahaja menjadi bahan kutukan di seluruh dunia, malah penyokong mereka sendiri dan juga bekas pemain seperti Jamie Carragher telah mengecam pihak pengurusan kelab kerana membuat tindakan yang memalukan.

Dalam satu surat, Pengerusi Eksekutif Liverpool, Peter Moore telah memohon maaf kepada semua pihak mengenai tindakan mereka dan sebenarnya terdapat sedikit salah faham.

“Kami percaya yang kami membuat kesimpulan yang salah pada minggu lepas dan kami benar-benar memohon maaf kerana perkara tersebut.”

Beliau mengatakan, ayat “memilih untuk mencari alternatif lain” adalah bermaksud mereka akan tetap membayar pekerja.

Pusingan U itu mungkin terpaksa dibuat selepas kritikan semakin memuncak dan memaksa perbincangan dilakukan di antara pemilik kelab, Fenway Sports Group, jawatankuasa eksekutif dan semua pemegang taruh.

Liverpool telah menjadi pasukan kelima dalam EPL yang memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja mereka ketika semua pertandingan musim ini digantung disebabkan krisis pandemik coronavirus (COVID-19) yang sedang melanda.

Pekerja yang dicutikan itu akan menerima 80 peratus daripada nilai gaji mereka menerusi skim pengekalan pekerjaan kerajaan sedangkan pasukan itu telah mendapat keuntungan bersih sebanyak £42 juta pada musim lepas. Malah Liverpool merupakan pasukan bola sepak ketujuh terkaya di dunia.

Pasukan lain yang memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja mereka adalah Newcastle United, Tottenham Hotspur, Bournemouth dan Norwich City.

Carragher sebelum ini dalam akaun Twitter mengatakan niat murni Jurden Klopp dan pemain utama skuad Liverpool yang telah pun menyatakan hasrat untuk membuat potongan gaji akhirnya lebur begitu sahaja kerana tindakan kelab tersebut.

Bekas penyerang The Reds, Stan Collymore  pula dalam akaun media sosialnya menulis, “Saya tidak tahu jika ada penyokong Liverpool yang akan bersetuju dengan keputusan itu melainkan melihat ianya satu tindakan jijik untuk memberikan cuti tanpa gaji kepada staf. Ianya terang-terang salah.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liverpool:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram