Liverpool Diberi Amaran Supaya Berhati-hati Dengan Manchester United

Liverpool telah diingatkan supaya mereka lebih berhati-hati ketika berkunjung ke Old Trafford hujung minggu ini, untuk bertemu Manchester United dalam saingan Premier League.

Ikon kelab, Jamie Carragher memberi amaran kepada Liverpool yang Manchester United akan mendapat tenaga tambahan dari para penyokong di Old Trafford, dan mungkin akan membuat kejutan.

Walaupun Red Devils pada ketika ini dianggap sedang tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka, namun Carragher percaya, aura penyokong boleh beri ancaman kepada Liverpool.

Menulis diruangan beliau di The Telegraph (menurut Liverpool Echo), Carragher memuji kehebatan United melakukan aksi comeback ketika bertemu Atalanta dalam saingan Champions League kemarin.

Selepas ketinggalan 2-0, United berjaya comeback, seterusnya mencatatkan kemenangan 3-2 dalam perlawanan itu, untuk berada di kedudukan pertama dalam saingan peringkat kumpulan F.

Walau bagaimanapun, bekas pemain pertahanan Liverpool itu tetap mempunyai keraguan terhadap persembahan United, untuk pergi lebih jauh pada musim ini.

“Ia seperti sebuah gerabak yang berputar pada hari Rabu lalu dan United menunjukkan cara bagaimana yang sering dilakukan oleh kelab besar, dalam situasi seperti itu.”

 

Tulis Carragher.

“Ia tidak bermaksud United sedang hampir untuk melakukan sesuatu dalam skala besar tapi ia perasaan yang percaya dunia sedang menentang kamu”

Jamie Carragher kemudian menulis tentang bagaimana aura Anfield berjaya membantu mereka untuk bangkit menewaskan Manchester United, sedangkan mereka sebelum itu berdepan dengan empat kekalahan secara berturut-turut.

Beliau percaya yang Old Trafford juga bakal mampu memberikan aura yang sama kepada Manchester United dan kerana itulah beliau memberi amaran kepada Liverpool.

“Saya masih ingat pada tahun 2009, kami kalah empat perlawanan berturut-turut dan kami bertemu Manchester United di Anfield beberapa hari selepas kami tewas kepada Lyon di tempat sendiri dalam saingan Champions League.”

Sambung Carragher lagi.

“Semua orang tak percayakan kami pada waktu itu, tapi kami berjaya untuk mencatat kemenangan 2-0 dan saya fikir hal seperti itu yang bakal beri kebimbangan kepada Liverpool minggu ini.”

“Yang mana penyokong di Old Trafford akan sentiasa berada di belakang penyokong mereka sekali lagi dan para pemain akan dapat rasa aura itu, dan akan fikir, ‘Kami akan tunjukkan sesuatu pada kamu’.”

“Semuanya bergantung kepada suasana di sana dan keadaan sekarang.”

Carragher menegaskan yang Liverpool tidak boleh begitu yakin untuk berdepan dengan United yang pada ketika ini dirasakan tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka.

Dengan The Reds tidak dinafikan sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka, maka tidak hairanlah andai anak-anak buah Jurgen Klopp itu akan turun dengan sangat yakin.

Manchester United terdesak untuk mendapatkan keputusan yang positif bertemu Liverpool

Red Devils sememangnya sangat terdesak untuk mengutip tiga mata penuh dalam aksi pada hujung minggu ini, agar mereka kembali mendapatkan momentum kemenangan dalam saingan Premier League.

United sebelum ini berdepan dengan tiga perlawanan dalam saingan liga, dengan tidak mencatatkan sebarang kemenangan.

Mereka hanya mampu mengutip satu mata sahaja dari tiga perlawanan terakhir, selepas mencatatkan keputusan seri bertemu Everton dan tewas kepada Aston Villa dan Leicester City.

Untuk kembali dianggap sebagai pencabar utama kejuaraan liga, United perlu kembali menemui rentak kemenangan, namun lawan mereka pada hujung minggu ini bukanlah lawan yang mudah.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu bernafsu membelasah Watford 5-0 ketika aksi perlawanan terakhir mereka dalam saingan liga, dan turut mencatatkan kemenangan 3-2 bertemu Atletico dalam saingan Champions League.

Maka The Reds dilihat akan turun dengan semangat yang berbeza dan mereka juga tentunya mahu mengutip tiga mata penuh untuk terus mencabar Chelsea di puncak saingan liga.

Magis Ole Gunnar Solskjaer

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dikatakan sedang berada dalam keadaan yang sangat tertekan pada ketika ini, selepas anak-anak buahnya mencatatkan keputusan yang tidak begitu baik.

Ramai yang menggesa agar pihak kelab memecat pengurus dari Norway itu, kerana beliau dirasakan tidak cukup bagus untuk mengendalikan pasukan sehebat United.

Walau bagaimanapun, melihat kepada sejarah Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus United sebelum ini, beliau akan terus berubah menjadi jelmaan Sir Alex Ferguson ketika kariernya sedang diancam.

Beliau dengan tiba-tiba akan mempunyai taktikal yang menakjubkan dan perancangan yang dasyat untuk membantu United mengutip tiga mata penuh.

Nampak seperti tak masuk akal, namun itulah situasi yang selalu berlaku ketika Solskjaer merasakan kedudukan beliau sebagai pengurus sedang terancam.

Manchester United pada ketika ini empat mata dibelakang Liverpool dalam carta liga, dan kemenangan di Old Trafford akan membantu mereka untuk merapatkan jurang mata, serta kembali merebut kedudukan tertinggi dalam carta saingan Premier League.

Sementara Liverpool pula sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka, dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih belum mencatatkan sebarang kekalahan.

Mereka memerlukan tiga mata dengan harapan agar Chelsea akan tergelincir, untuk memintas tempat The Blues di puncak saingan Premier League.

Para penyokong Liverpool tentunya sangat berharap agar skuad The Reds mampu mempamerkan aksi persembahan hebat seperti yang mereka persembahkan pada musim lalu, yang mana mereka menewaskan Manchester United 4-2 di Old Trafford pada ketika itu.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply