Liridon Krasniqi Tidak Mahu Fikir Atau Komen ‘Lebih’ Tentang Kedah

Liridon Krasniqi JDT Liga Super 2020

Pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi menjelaskan yang beliau tidak mahu terlalu memikirkan soal lawan mereka di Piala Sumbangsih iaitu bekas pasukannya, Kedah, yang dijadualkan akan berlangsung pada 28 Februari ini.

Mula mencipta nama di Kedah pada musim 2015 hingga 2018, Liridon Krasniqi boleh dikatakan antara pemain import tengah terbaik mereka selepas era Nelson Sam Martin dan hingga kini, tiada lagi pengganti setara selepas pemergiannya.

Mengelak untuk menjawab lebih lanjut soalan mengenai Helang Merah, Liridon Krasniqi yang baru sahaja memperolehi kerakyatan Malaysia mahu lebih fokus dengan persediaannya bersama JDT untuk aksi penting pada Jumaat ini.

“Saya tidak mahu terlalu fikirkan tentang Kedah kerana saya lebih suka untuk fokus dengan persediaan bersama JDT. Saya bersedia jika diturunkan pada Jumaat ini.

“Kedah adalah pasukan yang bagus dan ada kualiti untuk mengganggu [rentak] kami. Walaubagaimanapun, kami akan lakukan yang terbaik untuk memenangi Piala Sumbangsih nanti,” jelasnya ketika bercakap kepada New Straits Times.

Sejak 2015, JDT konsisten beraksi di Piala Sumbangsih selaku juara Liga Super dan hanya sekali gagal menjulang kejuaraan tersebut iaitu pada edisi 2017, selepas tunduk kepada Kedah 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan tidak boleh dipisahkan, terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Dan dalam edisi tersebut dan edisi 2018, Liridon Krasniqi beraksi untuk Kedah. Ironinya, kini pemain berusia 28 tahun itu akan berpeluang beraksi bersama JDT pula.

“JDT telah membuat ‘kerja rumah’ dan bersedia untuk berdepan Kedah pada Jumaat,” tambahnya lagi yang kini sudah layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Bercakap mengenai peluangnya untuk tampil buat kali pertama bersama Harimau Selatan, pemain asal Kosovo itu berkata ianya terpulang kepada pengendali pasukan.

“Saya teruja dengan cabaran baharu bersama kelab ini. Saya telah berikan 100 peratus dalam latihan kerana cabaran untuk kesebelasan utama sangat sengit.

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk memikat coach Benjamin Mora untuk kesebelasan utama,” tambahnya lagi sambil menyatakan pemain seperti Hariss Harun, Afiq Fazail dan Natxo Insa adalah pemain tengah yang berkualiti.

KREDIT FOTO: JST

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN