Liridon Dan Sandro, Duo Import Kedah Yang Bakal Dirindui Kelibatnya?

Liridon Sandro

Kedah adalah antara pasukan terawal Liga Super melengkapkan senarai pemain untuk musim 2019 dan sudah melalui beberapa aksi pemanas badan termasuk di Krabi, Thailand tempoh hari. Musim ini tampak terbit aura positif daripada skuad Helang Merah sejak pengendali baharu dari Kota Singa, Aidil Sharin Sahak diumum sebagai ketua jurulatih pada 8 Oktober tahun lalu.

Semboyan perang awal-awal sudah ditiup oleh para penyokong. Kedah dikatakan bakal kembali bangkit daripada musim suram 2018 dan berpeluang menjadi pencabar kejuaraan liga. Namun tidak perlu dinafikan, seperkara yang Kedah akan rindui adalah duo tonggak import yang sudah sekian lama menabur bakti di Darul Aman iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva.

Duo yang merubah segalanya

Kedua-dua pemain ini mula menjejak kaki ke bumi Jelapang Padi pada musim 2015 dan berjaya membantu Kedah mengakhiri musim itu dengan meraih promosi ke saingan Liga Super 2016. Sejak 2013, Kedah bersaing di Liga Premier dan selepas tiga musim atau lebih tepatnya selepas kehadiran duo ini, Kedah kembali ke peta utama bola sepak Malaysia selain daripada bantuan ramuan serba menjadi Tan Cheng Hoe – bekas ketua jurulatih Kedah.

Foto: Muhammad Asyraf Sawal (NST)

Bertukar-tukar pengendali dan pemain import, Kedah berterusan gagal dalam misi untuk kembali ke saingan Liga Super. Cheng Hoe tiba lebih awal untuk memberi nafas baharu skuad Hijau Kuning. DNA bola sepak moden berpaksikan formasi 4-2-3-1 telah cuba digubah dan diolah sebaiknya oleh Cheng Hoe sejak mengambil alih tampuk kejurulatihan daripada David Mitchell pada April 2014.

Kedah dilihat kembali bernafas! Kedah kembali hidup!

Anak jati Kedah itu akhirnya berjaya mendapatkan pemain import yang mampu dan sesuai untuk mengisi ruang serta cocok dengan DNA dan falsafah yang cuba diterapkannya – Liridon dan Sandro. Tidak keterlaluan rasanya untuk mengatakan, Kedah adalah Liridon dan Liridon adalah Kedah pada saat itu. “It’s your legend – Matdon speaking,” bak kata Liridon kepada para penyokong Kedah.

Dia mungkin tidak sehebat pemain import sebelum eranya, namun jangan sampai penyokong menafikan sumbangan pentingnya. Mat Don adalah tunjang falsafah bola sepak ala-ala tiki taka Cheng Hoe dengan peranan box to box berkesannya.

Foto: Amran Hamid (Berita Harian)

Sandro yang memiliki sentuhan jaringan pula kemudian berjaya digubah daripada pemain tengah menyerang kepada penyerang di saat Kedah kehilangan sentuhan ’emas’ Ken Ilso. Kini, Kedah sedang melalui transformasi di bawah kendalian Aidil. Dan sememangnya sangat bersesuaian untuk Liridon dan Sandro meninggalkan pasukan agar DNA dan falsafah baharu dapat dibentuk semula. Namun, mampukah Aidil mengubahnya?

Sikap, impak dan sumbangan

Tidak dinafikan, kejayaan seseorang individu bermula dengan pendekatan sikapnya terhadap apa yang dilakukannya. Kedua-dua pemain ini mempunyai sikap yang sangat terpuji, bersemangat membantu pasukan untuk meraih trofi dan kejayaan. Selain kejuaraan Liga Premier 2015, Kedah turut memenangi Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan juga Piala Sumbangsih 2017.

Masihkah penyokong Kedah ingat, ketika khidmat Liridon tiada di dalam padang sepanjang baki 5 perlawanan saingan Liga Super 2018, Kedah gagal meraih waima satu kemenangan, dan ketika itu mereka dalam misi memburu kedudukan kedua terbaik liga. Akhirnya, Helang Merah terperosok ke tangga ke-6 liga.

Liridon hadir semula 7 minggu kemudian dan menghadiahkan kemenangan yang dicari-cari iaitu dalam saingan Piala Malaysia. Liridon turut menyumbang 2 gol untuk Kedah menang ke atas MIFA FC yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC.

https://www.instagram.com/p/BmoMNm1HMGc/?hl=en

Pada musim lalu, lebih 48% jumlah gol hadir menerusi sumbangan duo ini iaitu 22 dari 45 gol yang telah dihasilkan sepanjang musim. Namun, apabila disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari. Segalanya berubah dan berantakan di kem Kedah sehari demi sehari bermula dengan penghijrahan Cheng Hoe dan kemuncaknya adalah pada musim lalu.

Konflik 2018

Dalam kem Kedah dikhabarkan terdapat beberapa kem yang telah menyebabkan prestasi Helang Merah terumbang ambing. Kedah melalui musim paling suram – sejak kembali ke Liga Super. Sandro turut memberi bayangan permasalahan yang dihadapi Kedah kepada Berita Harian, “Banyak masalah berlaku dalam pasukan ini yang tidak boleh saya dedahkan. Namun, saya boleh simpulkan ia menyumbang kepada kegagalan kami dalam liga.”

“Saya harap pemain memulakan langkah baru untuk menghadapi Piala Malaysia kerana kami sebenarnya mampu lakukan jika pemain masih dahagakan kejayaan, lebih fokus dan bermain dengan bersatu hati.”

Kemudian giliran Liridon pula melakukan serangan peribadi secara terbuka ke atas bekas jurulatihnya, Nidzam Adzha Yusoff yang digelarnya sebagai pengecut dan lari meninggalkan pasukan. Sebelum itu tersebar satu rakaman video insiden pergaduhan antara pemain-pemain Helang Merah ketika sesi latihan. Jelas, skuad Kedah 2018 sudah ‘retak menanti belah’.

Lagenda Kedah, Marlon Alex James ada menyatakan kepada Semuanya BOLA ketika ditanya mengenai prestasi Kedah dan jawapannya juga menjurus kepada semangat berpasukan.

“Saya rasa Kedah memiliki pemain-pemain yang berkualiti namun mereka tampak kekurangan dari segi semangat untuk bermain sepenuh jiwa buat pasukan. Prestasi di dalam padang adakalanya memberi gambaran apa yang berlaku di luar padang.”

Perubahan DNA dan falsafah

Kehadiran Aidil Sharin menjanjikan sesuatu yang baharu buat skuad dan juga penyokong Kedah iaitu perubahan DNA serta falsafah bola sepak yang telah lama dibentuk oleh Cheng Hoe. Jika ada yang mengikuti akaun Instagram ketua jurulatih Kedah itu, anda akan dapat lihat satu posting pada 22 Januari lalu ketika Jelajah Krabi di mana Aidil Sharin telah meletakkan tanda pagar #nomoretikitaka dan #fastcounterattackingfootball di postingnya.

https://www.instagram.com/p/Bs7k74whv9Fc6DQ1aqksaHZhYSgZWBhA96IKGM0/?hl=en

Ini merupakan petanda awal yang Kedah bakal bermain dengan sistem baharu di bawah kendaliannya. Dan selepas berjaya menewaskan bekas pasukannya, Home United dalam aksi pra musim, Aidil menyatakan yang objektif pasukan telah dicapai.

‘Manual guide’ yang telah ditinggalkan oleh Cheng Hoe bakal disejarahkan oleh jurulatih muda daripada Singapura ini. Kedah akan bermain dengan falsafah baharu bermula pada musim ini.

Siapa bakal jadi pengganti

Siapa yang bakal menggantikan tempat duo import ini? Jika melihatkan penggantian terus, hanya Anmar Almubaraki yang merupakan pemain tengah import telah dibawa masuk. Sementara, Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman pula adalah penyerang selain Renan Alves yang merupakan pertahanan tengah.

Dengan perubahan sistem permainan, Kedah berkemungkinan tidak lagi memerlukan samaada Liridon atau Sandro kedua. Disebabkan itu, penyokong Kedah akan pasti merindui ‘kelibat’ dan gaya permainan kedua-dua pemain tersebut walaupun Kedah mungkin berjaya beradaptasi dengan DNA dan falsafah baharu.

Foto: KFA

Namun, Rodriguez dan Bauman akan menghadirkan sesuatu yang baharu di jentera serangan Hijau Kuning. Dalam aksi pra musim yang baharu sahaja berakhir tempohari, kedua-dua pemain ini adalah penyumbang utama gol iaitu 10 gol – 5 gol seorang.

Penutup

Jika Aidil Sharin berjaya dengan misinya untuk merubah secara total permainan Kedah, juara 3 kali Liga Super itu bakal tampil dengan imej baharu tanpa kehadiran dua pemain tersebut. Liridon dan Sandro akan menjadi kenangan terindah buat arena bola sepak Kedah walaupun terpalit sedikit isu kontroversi di akhir karier mereka di Darul Aman penghujung musim lalu.

Harus diingat, Liridon dan Sandro adalah antara tonggak penting yang membawa semula Kedah ke pentas tertinggi bola sepak Malaysia. Pastinya, aksi mereka sedikit sebanyak bakal dirindui. Apa pula pandangan para pembaca dan penyokong Kedah terutamanya? Kongsikan bersama kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN