Lionel Messi: Anak Kecil Rosario Yang Menjadi Kapten Legenda Di Nou Camp

Lionel Andres Messi ataupun Lionel Messi lahir pada 24 Jun 1987, di Rosario Argentina. Beliau merupakan anak kepada pasangan Jorge Horacio Messi dan Celia Maria Cuccitini.

Lionel Messi salah seorang pemain terbaik bola sepak sepanjang zaman dengan status 5 Ballon d’Or setakat ini. Hanya Cristiano Ronaldo yang memiliki jumlah yang sama dengan beliau.

Karier awal

Messi memulakan karier bola sepak beliau sejak usia awal lagi. Pada usia 8 tahun, beliau sudah menjadi sebahagian daripada pemain skuad akar umbi Newell’s Old Boy – yang berpangkalan di Rosario.

Ketika dalam proses membesar, Lionel Messi menghidapo masalah kekurangan hormon (GHD – Growth Hormone Disorder) yang menghalang tumbesarannya. Keluarga Lionel Messi membelanjakan ratusan dollar setiap bulan bagi merawat masalah beliau.

Pada satu ketika kos itu meningkat sehingga $900 sebulan. Jumlah yang agak tinggi ditanggung keluarga Messi.

Kesan kepada masalah ini membuatkan postur fizikal beliau jauh lebih kecil berbanding dengan rakan-rakan sebayanya yang lain.

Menarik perhatian La Masia

Namun begitu, bakat yang ada pada Lionel Messi membuatkan beliau menarik perhatian La Masia. Pasukan tersebut kemudian berjumpa dengan keluarga Lionel Messi, dan menyatakan hasrat untuk membawa pemain itu ke Sepanyol.

Lionel Messi menjelaskan, ianya bukan keputusan yang sukar. Messi juga memberitahu, mana-mana pasukan yang datang menawarkan beliau kontrak ketika itu – beliau akan terima kerana beliau perlukan wang untuk perubatan.

“Ianya bukan keputusan yang sukar untuk saya ambil – kerana saya perlu pergi ke sana untuk mendapatkan wang bagi membiayai kos perubatan saya.”

“Ianya akan membantu saya untuk membesar – dan ketika itu hanya Barcelona yang datang menawarkan saya kontrak seperti itu. Ketika itu saya tahu, saya perlu pergi meninggalkan kampung pada usia sangat muda untuk ke Barcelona.”

Dalam kontrak Lionel Messi ketika itu, Barcelona memasukkan klausa, semua kos perubatan Messi adalah ditanggung oleh mereka.

Pada hari pertama beliau menyertai skuad Barcelona B-12, belia melalui proses biasa seperti para pemain lain. Memperkenalkan diri di hadapan pemain lain.

Selepas Messi memperkenalkan diri, jurulatih beliau ketika itu Rodolf Borrell terus bertanya: “Kamu bermain posisi apa?”

Messi dengan wajah kesipuan menjawab: “Saya seorang penyerang,” lalu beliau terus duduk di satu sudah berseorangan.

Di dalam pasukan mereka ketika itu, Cesc Fabregas antara pemain yang sudah menunjukkan perkembangan sangat baik. Beliau dianggap pemain luar biasa kerana kemampuan membaca perlawanan.

Perlawanan debut Lionel Messi adalah pada 7 Mac 2001 menentang Amposta. Dan Messi menjaringkan. Namun karier Messi dalam bahaya – kerana tidak lama selepas itu beliau mengalami masalah patah tulang fibula ketika aksi menentang Tortosa.

Ada juga yang menjangkakan Lionel Messi hanyalah menjadi sejarah budak istimewa yang tidak akan pernah menyarung jersi Barcelona Infantil B lagi, apatah lagi ke Barcelona FC pada suatu hari nanti.

Namun ianya tidak berlaku, selepas Messi kembali daripada kecederaan beliau mulai dipromosi ke pasukan Infantil A. Rodolf Borrell antara jurulatih yang cepat mempromosikan Messi naik.

Bekas rakan sepasukan Messi dalam skuad pembangunan, Roger Franch menceritakan Messi memang pemain istimewa. Dan dalam sesi latihan mereka selalu geram dengan Messi kerana terlalu sukar untuk bermain menentang beliau – terutama sekali ketika diarahkan menghentikan Messi.

“Selepas melihat Messi sudah masuk 2 ataupun 3 gear lebih daripada kami sepanjang masa, maka kami yang lain berpakat, nak ajar sikit dengan aksi fizikal. Namun malangnya, kamu main macamana pun, dia tetap berjaya melepaskan diri kerana dia sangat laju. Tak ada seorang pun antara kami ketika itu mampu membentes beliau”, jelas Roger.

Seorang lagi bekas rakannya, Robert Franch berkata: “Kamu nak menjatuhkan Messi, namun ketika kamu cuba untuk menjatuhkan beliau, dia sudah pun ada di belakang kamu cuba melepasi pertahanan yang lain.”

“Beliau seperti mesin di pusat latihan, ketika sesi pemulihan dan ketika perlawanan dengan teknik yang beliau ada.”

“Pemain-pemain bek tengah ketika itu semua cuba mengelak untuk sesi 1 lawan 1 dengan beliau. Kerana, tidak kira apa sahaja, ataupun sebagus mana kamu mencuba, kamu tetap akan gagal, beliau akan tetap melepasi kamu.”

Lionel Messi bukan pemain yang banyak bercakap. Ada kalanya beliau datang ke latihan tanpa bercakap langsung dan kemudian terus pulang ke rumah.

“Kami pernah berfikir, mungkin satu-satunya cara menghentikan Messi dengan menembak beliau dengan senapang. Tetapi mungkin juga dia mengelak peluru itu – dengan adanya bola di kaki beliau,” jelas Robert yang menganggap Lionel Messi akan menjadi manusia yang luar biasa setiap kali ada bola bersamanya.

Messi berjaya menjadi graduan La Masia – Cadete A untuk batch 2002/03 yang lahir pada 1987. Itu antara kumpulan graduan terbaik dalam sejarah Barcelona. Mereka dibimbing oleh mendiang Tito Vilanova dan Alex Garcia.

Malang ketika itu beberapa pemain mulai tertarik dengan tawaran daripada kelab Inggeris. Fabregas menyertai Arsenal, dan Gerard Pique ke Manchester United.

Lionel Messi terus kekal bersama Barcelona dan cuba untuk meningkatkan kualiti beliau. Pada usia 16 tahun Lionel Messi berjaya berada dalam pasuka Barcelona B. Setahun kemudian, beliau diberikan debut bersama skuad senior.

Lionel Messi teruja dapat beraksi bersama Ronaldinho yang ketika itu merupakan pemain terbaik dunia. Ketika itu Lionel Messi merupakan pemain sayap kiri di Barcelona B.

Namun di pasukan Barcelona, posisi itu milik Ronaldinho, maka Frank Rijkaard meleakkan Messi sebagai pemain sayap kanan. Boleh dikatakan itu bukan posisi kegemaran Messi ketika itu. Namun posisi itulah yang menjadikan beliau ‘beast’ selepas itu.

Rijkaard mahu menggunakan keupayaan Messi untuk memintas masuk ke dalam (cut inside) dan melakukan percubaan gol dengan kerap.

Selepas debut itu, karier Messi di Barcelona terus meningkat. Ketika era Guardiola, Lionel Messi dijadikan false no.9 dan menjadi nadi penting dalam sejarah sextuple Barcelona.

Kelegendaan dan pencapaian

Dan pada hari ini, Lionel Messi sudah memenangi dan memiliki segalanya di dalam bola sepak. Cuma beliau tidak ada trofi major dengan Argetina. Dan ketika artikel ini ditulis, Messi sedang mengetuai Argentina dalam pemburuan Copa America 2019.

Selepas tamat musim 2018/19, Lionel Messi mencatatkan 603 gol daripada 687 perlawanan. Sebagai perbandingan, penjaring kedua terbanyak dalam sejarah Barcelona iaitu Cesar Rodriguez Alvarez menjaringkan 232 gol.

Sejak 2005, Lionel Messi sudah menjaringkan lebih 65 gol untuk pasukan Argentina.

Messi setakat ini sudah memenangi Anugerah Pemain Terbaik La Liga sebanyak 7 kali. Beliau kemudian tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik Tahunan UEFA sebanyak 10 kali.

Ketajaman Lionel Messi membolehkan beliau sudah menyimpan 6 kasut emas La Liga dan menjadi ‘Top Assist’ dalam liga sebanyak 5 kali.

Lionel Messi memenang rekod dunia Guiness sebagai penjaring terbanyak dalam kalendar tahunan. Ianya dilakukan pada 2012 dengan 91 gol.

Selain daripada rekod gol yang sangat tinggi, kita juga dihidangkan dengan aksi lincah dan penuh inspirasi oleh Lionel Messi.

Perseteruan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo juga menjadi rencah dalam dunia bola sepak. Dianggap antara perseteruan terhebat secara individu di dalam bola sepak.

Jika ada yang berkata, Cristiano Ronaldo lebih kepada kerja keras dan Lionel Messi lebih kepada bakat, ianya hujah yang lemah.

Kedua-dua mereka memang berbakat dan bekerja keras daripada usia muda lagi. Lionel Messi berbeza dengan beberapa bintang muda Amerika Latin yang lain yang mudah hanyut dengan kehidupan mewah di Eropah.

Beliau mendedikasikan hidupnya kepada bola sepak dan sentiasa cuba meningkatkan kemampuan dirinya. Sama juga seperti seterunya Ronaldo. Mereka berdua telah membentuk duopoli paling lama dalam persaingan Ballon d’Or.

Untuk Barcelona, mereka selayaknya mendapat pulangan daripada perlaburan atas kepercayaan mereka kepada seorang kanak-kanak yang ada masalah tumbesaran pada satu ketika dahulu. Dan mereka membawa kanak-kanak berbakat itu ke Barcelona untuk mengejar impiannya.

Pada hari ini Lionel Messi adalah kapten Argentina dan juga Barcelona. Pencapaian yang beliau sendiri tidak pernah terfikir ketika kecil.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram