Lingard Anggap Dirinya Antara Pemain No.10 Terbaik Di Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard telah hilang kepercayaan Ole Gunnar Solskjaer dan bakal dijual pada musim panas nanti, menurut laporan Goal UK.

Sejak ketibaan Bruno Fernandes yang beraksi cemerlang sejak dibeli dalam jendela perpindahan musim sejuk Januari lepas, Lingard sudah menjadi pemain bangku simpanan dan hanya dimasukkan dalam perlawanan kurang penting untuk United.

Kemasukan penyerang pinjaman Odion Ighalo menyukarkan lagi usaha Lingard untuk memasuki barisan kesebelasan utama jentera serangan Red Devils. Aksi terbaru pemain tengah England ini adalah ketika kemenangan pusingan ke-5 FA Cup menentang Derby County.

Lingard baru-baru ini telah melantik Mino Raiola – individu yang tidak disukai oelh Manchester United selepas cuba mencari kelab baru untuk Paul Pogba – sebagai ejen barunya. Difahamkan Raiola telah memulakan usaha mencari kelab baru untuk klien terbarunya itu.

Pemain berusia 27 tahun itu mempunyai baki kontrak sehingga 2021. Tetapi masih tiada bibit-bibit ia akan disambung.

Jika Lingard berjaya dijual, United berkemungkinan besar akan cuba membawa masuk antara Jadon Sancho, Jack Grealish atau James Maddison sebagai pembelian terbaru. Selain Lingard, Pogba juga dikhabarkan akan berhijrah keluar dari United ke Real Madrid atau Juventus.

Goal UK turut melaporkan penilaian Solskjaer terhadap Lingard sangat berbeza dengan penilaian Lingard terhadap dirinya sendiri. Solskjaer menganggap Lingard tidak cukup bagus untuk memberi cabaran kepada Fernandes. Pengurus berbangsa Norway itu turut tidak gemar dengan tabiat Lingard yang suka bermain-main ketika latihan.

Ini berbeza dengan pendapat Lingard yang menganggap dirinya salah seorang pemain no.10 terbaik di Eropah ketika ini.

Setakat ini, tiada kelab yang menunjukkan minat terhadap Lingard. Tetapi dengan adanya Raiola, ejen yang mempunyai jaringan hubungan paling luas dalam bola sepak dunia, tidak mustahil Lingard akan menemui kelab baru menjelang musim depan.