Lima Perkara Menarik Menjelang Aksi Pusingan Ketiga Carabao Cup

Lima perkara menarik menjelang aksi pusingan ketiga Carabao Cup yang akan mula berlangsung awal pagi nanti.

Pusingan ketiga saingan Carabao Cup akan bermula beberapa jam sahaja lagi dengan pusingan ini akan dilangsungkan dengan peraturan kalah mati.

Carabao Cup yang turut dikenali sebagai EFL Cup bukanlah satu kejohanan yang setaraf dengan FA Cup, Premier League mahupun UEFA Champions League.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud yang saingan EFL tidak menarik untuk ditonton, kerana ia tetap akan menyajikan aksi menarik dari kesemua pasukan yang bertanding.

Minggu ini, kesemua pasukan gergasi Premier League terlibat dalam pertandingan ini, yang mana secara tidak langsung menjadikan ia lebih menarik untuk ditonton.

Berikut merupakan lima fakta atau ramalan berkait perlawanan-perlawanan penting yang akan berlangsung di pusingan ketiga saingan Carabao Cup musim ini.

5) Pertembungan yang sukar diramalkan antara Southampton dan Sheffield United

Kedua-dua Sheffield United dan Southampton sebelum ini pernah bertemu sesama sendiri pada aksi peringkat suku akhir saingan Carabao Cup 2014.

Sheffield United pada ketika itu berjaya menewaskan The Saint untuk melayakkan diri mereka ke pusingan separuh akhir.

Tahun ini, wakil dari saingan Championship itu telah mencatatkan dua kemenangan secara berturut-turut dari dua pusingan dalam pertandingan ini.

Southampton pula sementara itu masih gagal mencatatkan kemenangan dalam saingan Premier League, namun mereka berjaya membelasah Newport County 8-0 dalam pusingan kedua Carabao Cup sebelum ini.

Kedua-dua pasukan berpotensi untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini dan mara ke pusingan seterusnya.

Perlawanan ini sukar untuk diramal, namun satu hal yang pasti, para peminat harus beri tumpuan kepadanya kerana ia bakal menyajikan aksi yang sangat menarik.

4) Tottenham Hotspur bakal berdepan kesukaran berdepan Wolverhampton

Beberapa minggu sebelum ini, Tottenham Hotspur berada di puncak saingan Premier League, dengan mereka mencatatkan rekod 100% kemenangan.

Mereka ketika itu turut berjaya menewaskan Juara bertahan, Manchester City dan bermain dengan corak permainan yang sungguh menakjubkan.

Kini, mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, dan finalis Carabao Cup musim lalu itu bertekad mahu bangkit dalam pertembungan ini.

Pasukan yang menduduki kedudukan ketujuh dalam saingan Premier League itu bakal beraksi di halaman lawan bertemu Wolverhampton Wanderers.

Sejujurnya Wolves tidak begitu diyakini bakal memberi ancaman kepada Spurs, namun kerana melihatkan prestasi tidak menentu skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu, dan aksi hambar para pemainnya termasuk Kane, maka tidak hairan andai mereka mampu membuat kejutan.

Memandangkan Tottenham Hotspur bakal beraksi bertemu Arsenal dalam saingan Premier League hujung minggu ini, mereka mungkin tidak akan menurunkan beberapa pemain penting ketika bertemu Wolves nanti.

Wolves jelas berpeluang untuk menurunkan skuad terbaik mereka dan memberi kejutan kepada bekas pengurus mereka yang kini sedang menguruskan Spurs itu.

Kedua-dua pasukan telah bertemu dalam aksi saingan Premier League pada Ogos lalu, dengan Spurs berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 menewaskan lawan mereka.

Kali ini, Wolves tentunya bakal melakukan sehabis daya mereka untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini.

3) Chelsea Dan Liverpool Bakal meneruskan rutin kemenangan

Pusingan ketiga saingan Carabao Cup akan memperlihatkan Liverpool bertemu Norwich dan Chelsea pula bakal beraksi bertemu Aston Villa.

Kedua-dua gergasi Premier League itu baru sahaja mencatatkan kemenangan selesa pada minggu lalu dengan masing-masing menumbangkan lawan mereka dengan keputusan 3-0.

Liverpool menewaskan Crystal Palace dengan keputusan 3-0 dalam aksi perlawanan yang melihatkan mereka begitu dominan dan sangat meyakinkan.

The Reds sepertinya bakal merehatkan pemain dari skuad utama mereka dalam aksi bertemu Norwich ini, yang mana ia bakal memberi sedikit kelegaan untuk pasukan tuan rumah.

Pertembungan terakhir kedua-dua pasukan ini adalah dalam saingan Premier League pada Ogos lalu, dengan skuad kendalian Jurgen Klopp berjaya menewaskan anak-anak buah Farke dengan keputusan 3-0.

Chelsea juga sudah bertemu dengan Aston Villa dalam saingan Premier League pada musim ini, dan pertemuan ini merupakan yang kedua untuk kedua-dua pasukan.

Pada aksi minggu keempat, The Blues berjaya menundukkan Villa dengan keputusan 3-0, dan sepertinya mereka akan bawa rentak keyakinan yang sama dalam aksi di EFL nanti.

Memandangkan kedua-dua Liverpool dan Chelsea bakal menurunkan skuad kedua atau ketiga mereka, perlawanan mereka pada minggu ini jadi sedikit menarik untuk disaksikan.

Mampukah kedua-dua pasukan kekalkan rentak kemenangan mereka walau menurunkan skuad simpanan, atau mungkinkah perjuangan mereka hanya sekadar sampai ke pusingan ketiga sahaja.

2) Pertembungan semula Manchester United dan West Ham United

Dua gol jaringan Cristiano Ronaldo dan Jesse Lingard telah mengesahkan kemenangan 2-1 Manchester United menewaskan West Ham minggu lalu dalam saingan Premier League.

Walaupun United nampak kuat di atas kertas, namun ternyata mereka berdepan dengan kesukaran ketika berdepan dengan The Hammers pada minggu lalu.

Aksi penyelamatan David De Gea menyelamatkan sepakan penalti Mark Noble di penghujung aksi permainan membantu United pulang dengan membawa tiga mata.

Jika De Gea gagal, United minggu lalu jelas bakal pulang dengan satu mata sahaja selepas mereka memberikan segala yang mampu beraksi bertemu West Ham.

Red Devils bakal beraksi bertemu Hammers di Old Trafford, namun berkemungkinan Ole Gunnar Solskjaer tidak akan menurunkan pemain utama seperti Ronaldo, Bruno Fernandes, Paul Pogba dan David De Gea.

Sementara untuk West Ham pula, selain bakal menurunkan skuad utama, mereka juga bakal kembali mendapatkan khidmat Michail Antonio yang sudah selesai jalani hukuman penggantungan.

West Ham tentunya dahaga untuk mendapatkan kemenangan, dan kehadiran Antonio yang sebelum ini menjaringkan empat gol dari empat perlawanan, bakal memberi mereka tenaga tambahan.

1) Juara bertahan Carabao Cup, Manchester City mencari rentak kemenangan

Juara bertahan, Manchester City memulakan kempen saingan ini dengan tidak begitu baik dan jelas sekali ia bukanlah permulaan yang diharapkan oleh mereka.

Mereka sudah kehilangan lima mata dari lima perlawanan awal saingan Premier League, dan sepertinya mereka hilang formula untuk mendapatkan rentak kemenangan.

Tidak dinafikan skuad kendalian Pep Guardiola itu berjaya mencatatkan kemenangan 5-0 ketika membelasah Arsenal dan Norwich City sebelum ini, namun aksi seri bertemu Southampton minggu lalu timbulkan sedikit keraguan terhadap tahap konsistensi mereka.

Dalam aksi saingan Carabao Cup mereka bertemu Wycombe Wanderers, City sepertinya bakal memberi peluang kepada pemain muda mereka untuk turun beraksi.

Yang mana berkemungkinan pemain seperti Phil Foden, Cole Palmer, Josh Wilson-Esbrand dan Luke Mbete bakal diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan tersebut.

Walau menggunakan khidmat pemain muda, sepertinya tiada masalah untuk City mencatatkan kemenangan, dan ia tetap tidak menghalang untuk menjadikan perlawanan ini sangat menarik untuk ditonton.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply