Lima Pembelian Paling Gagal Bawah Kendalian Jurgen Klopp

Jurgen Klopp tidak dinafikan lagi sememangnya antara pengurus terhebat yang ada dalam dunia bola sepak hari ini.

Karier beliau ketika bersama Borussia Dortmund dan Liverpool telah mencuri perhatian ramai, dengan beliau tidak henti-henti dipuji atas kebijaksanaannya.

Pengurus dari Jerman itu mempunyai taktikal yang sungguh menakjubkan dan beliau juga bijak dalam mengendalikan para pemain.

Antara kemampuan Jurgen Klopp yang diakui oleh semua pihak adalah cara bagaimana beliau mampu mengubah seorang pemain biasa-biasa menjadi bintang mega dalam dunia bola sepak.

Sepanjang karier pengurusannya, pengurus berusia 54 tahun itu telah berjaya melahirkan pemain-pemain berkelas dunia seperti Virgil Van Dijk, Pierre Emerick Aubameyang, Roberto Firmino, Mohamed Salah dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun juga, bukan semua pembelian yang beliau lakukan akan berhasil dengan kejayaan, kerana Klopp juga pernah gagal untuk mengembangkan bakat yang beliau tandatangani.

Sama seperti pengurus lain, beliau juga turut pernah gagal untuk menaikkan nama pemain berbakat yang ditandatangani olehnya.

Berikut merupakan lima pembelian paling gagal yang pernah dilakukan oleh Jurgen Klopp sepanjang kariernya sebagai pengurus.

5. Dominic Solanke

Dominic Solanke merupakan bakat England yang paling bersinar ketika beliau tiba di Anfield sebelum ini.

Produk akademi Chelsea itu sebelum ini pernah memenangi UEFA European U-17 Championship (2014) dan FIFA U-20 World Cup (2017) bersama skuad England sebelum ditandatangani oleh Jurgen Klopp.

Walaupun penandatanganan beliau tidak memerlukan dana yang besar, namun Solanke sebenarnya pemain yang sangat diharapkan untuk membantu kelab memenangi sesuatu.

Beliau bahkan turut pernah memenangi anugerah bola emas ketika beraksi dalam saingan Piala Dunia U-20. Namun sayangnya Solanke gagal bersinar di Anfield.

Dari 27 penampilan dalam semua pertandingan, beliau hanya mampu untuk menjaringkan satu gol dan mencatatkan satu assists sahaja.

Beliau kemudiannya sukar untuk mendapat tempat dalam skuad utama Liverpool dan menyebabkan pihak kelab bersetuju untuk menjualnya kepada AFC Bournemouth.

Penyerang berketinggian 6’2 itu berjaya dijual dengan harga £19 juta dan ia sebenarnya satu hal yang agak menakjubkan memandangkan beliau jarang digunakan di Anfield.

Walaupun Liverpool berjaya mengaut keuntungan dari penjualan Solanke, namun tidak boleh dinafikan yang beliau merupakan antara pembelian paling gagal Jurgen Klopp.

4. Marko Grujic

Marko Grujic telah ditandatangani oleh Jurgen Klopp pada musim panas 2016 dan beliau pada ketika itu dianggap sebagai pemain central midfielder muda terhebat dalam dunia bola sepak.

Liverpool menandatangani bintang Serbia itu dengan yuran perpindahan bernilai £6.3 juta, namun dari segi dana The Reds tidak rugi kerana berjaya menjualnya semula dengan harga lebih tinggi.

Grujic telah mewakili Serbia sepanjang kariernya ketika remaja dan beliau dianggap sebagai prospek masa hadapan oleh kelab-kelab gergasi Eropah.

Beliau melakukan debutnya bersama Red Star Belgrade di usia 17 tahun pada tahun 2015, dan Grujic turut memainkan peranan penting ketika membantu skuadnya memenangi gelaran liga pada ketika itu.

Beliau pada ketika itu turut berjaya menarik minat kelab-kelab seperti Chelsea, Inter Milan dan Juventus untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun Jurgen Klopp berjaya meyakinkan beliau untuk ke Anfield, namun sayangnya pemain midfield itu gagal untuk bersaing dalam merebut tempat dalam skuad utama.

Selepas lima tahun bersama Liverpool, yang mana ia termasuk empat tahun tempoh beliau dipinjamkan, Marko Grujic akhirnya dijual kepada FC Porto pada musim panas baru-baru ini.

3. Adrian Ramos

Adrian Ramos merupakan antara salah seorang pemain yang kariernya merundum ketika beraksi di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Sebelum menyertai Borussia Dortmund, bekas bintang Hertha Berlin itu dianggap pemain muda terbaik dalam saingan Bundesliga.

Pada musim 2013/14 beliau berjaya menjaringkan 15 gol dalam semua pertandingan dan kerana itulah beliau ditandatangani oleh Borussia Dortmund.

Sebaik ditandatangani, pemain kebangsaan Colombia itu gagal untuk menyerlah di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Adrian Ramos hanya mampu menjaringkan dua gol sahaja sepanjang musim pertama beliau beraksi di Signal Iduna Park.

Ia merupakan satu rekod yang sangat teruk memandangkan beliau pada musim sebelumnya berada di kelompok empat teratas dalam senarai pemenang kasut emas.

Musim terbaik beliau bersama Borussia Dortmund adalah pada musim 2015/16, yang mana beliau pada ketika itu menjaringkan sembilan gol dari 27 perlawanan.

Pemain yang ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £8.73 juta itu gagal untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Robert Lewandowski dan kerana itu beliau dianggap antara pembelian paling gagal Jurgen Klopp.

Selepas gagal bersama Borussia Dortmund, Adrian Ramos telah ditandatangani America de Cali di Colombia.

2. Loris Karius

Loris Karius akan terus dikenang sebagai punca kepada kegagalan Liverpool memenangi gelaran Champions League pada musim 2018/19.

The Reds pada ketika itu sedang dalam usaha mereka untuk memburu kejuaraan Champions League keenam mereka, namun dek kerana dua kesalahan yang dilakukan oleh Karius, maka mereka terpaksa akur tewas kepada Real Madrid.

Kesilapan itu terus dikenang dek kerana beliau melakukannya dipentas yang besar. Beliau juga dianggap kambing hitam selepas kekalahan di tangan Real Madrid itu.

Selepas dari perlawanan itu, Karius terus gagal untuk mendapat kepercayaan dari Jurgen Klopp dan menyebabkan beliau hilang tempat dari skuad utama.

Selepas ketibaan Alisson Becker, Karius terus hilang tempat dan sepertinya beliau tidak mungkin akan kembali beraksi bersama The Reds lagi.

Walaupun nilai yang Liverpool bayar untuk mendapatkan khidmatnya agak murah, namun kesilapan yang beliau lakukan di Kyiv sepertinya terlalu mahal untuk dimaafkan.

Tidak ada sesiapa yang boleh beri jaminan yang Liverpool akan menang dalam perlawanan itu jika bukan Karius yang bermain, namun satu hal yang pasti, kesilapan yang beliau lakukan seolah mengakhiri kariernya di Anfield.

1. Ciro Immobile

Pemain penyerang kebangsaan Itali, Ciro Immobile, tidak diragukan sememangnya antara penandatanganan paling gagal yang pernah dibeli oleh Jurgen Klopp.

Beliau ditandatangani oleh Borussia Dortmund dari Torino pada tahun 2014 yang lalu, dengan yuran perpindahan bernilai £16.20 juta.

Pada musim pertama beliau beraksi di bawah kendalian Jurgen Klopp, beliau hanya mampu menjaringkan tiga gol sahaja dari 24 penampilan dalam saingan Bundesliga.

Ia jelas agak mengejutkan memandangkan Immobile pada musim sebelumnya berjaya menjaringkan 22 gol dari 33 penampilan dalam saingan Serie A bersama Torino.

Selepas berdepan kesukaran ketika beraksi bersama Borussia Dortmund dan Sevilla, Immobile akhirnya kembali beraksi dalam saingan Serie A.

Beliau berjaya membantu Lazio untuk bersaing dalam saingan Serie A sejak musim 2016, dan aksi hebat yang beliau pamerkan sekarang adalah punca mengapa Klopp menandatangani beliau sebelum ini.

Sejak lima tahun terakhir ini, Ciro Immobile telah berjaya menjaringkan lebih dari 100 gol untuk kelab dan negara.

Secara keseluruhannya beliau hanya mampu menjaringkan 10 gol sahaja dari 34 penampilan bersama Borussia Dortmund.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply