5 Pemain Yang ‘Sendu’ Selepas Jadi Calon Pemenang Ballon D’or 2019

Lima pemain yang sendu selepas jadi calon pemenang Ballon D’or 2019, dengan prestasi mereka terus jadi tidak menentu sejak dua musim terakhir ini.

France Football telah mengeluarkan senarai pendek 30 calon pemenang anugerah Ballon D’or 2021 beberapa hari yang lalu, dan ia sangat menarik untuk disaksikan.

Beberapa bintang yang ada dalam senarai ini pada kali terakhir ia dipertandingkan pada tahun 2019, hilang terus dari senarai 30 calon untuk memenanginya pada tahun ini.

Lumrah dalam dunia bola sepak profesional, para pemain seharusnya memastikan mereka terus cergas dan berada di tahap yang terbaik untuk kekal beraksi di peringkat tertinggi.

Ia merupakan syarat wajib untuk para pemain, memandangkan kelab ternama tidak akan memandang mereka seandainya mereka berada di tahap yang tidak bersedia.

Aspek terpenting untuk mereka terus bersedia beraksi di pentas tertinggi adalah memastikan mental dan fizikal berada di tahap yang terbaik.

Seandainya gagal memastikan hal tersebut dalam keadaan terbaik, para pemain akan tercicir dan pemain yang lebih bersedia akan maju ke depan.

Mereka juga perlu sentiasa berada di tahap prestasi dan tahap kecergasan terbaik atau mereka akan diketepikan kerana tidak cergas.

Masalah kecederaan dan kekurangan minit permainan juga boleh menjadi punca persembahan mereka merosot dan akan mengakibatkan mereka diketepikan.

Anugerah Ballon d’or ditubuhkan untuk menghargai bakat-bakat terhebat dalam dunia bola sepak, dengan mereka yang berada di tahap terbaik akan dicalonkan untuk memenangi anugerah itu.

Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi merupakan dua pemain yang senantiasa mendominasi anugerah tersebut, dengan mereka memenangi 11 dari 12 edisi terakhir ini.

Ia jelas sekali menunjukkan tahap konsistensi mereka berada di tahap yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata dan kerana itulah mereka dianggap yang terhebat sepanjang zaman.

Walau bagaimanapun, tetap ada pemain yang awalnya berada dalam senarai calon pendek untuk anugerah ini, namun mereka mundur di musim berikutnya.

Berikut merupakan lima pemain yang ada dalam senarai 30 calon pemenang anugerah Ballon D’or 2019, namun kini mereka bergelut untuk menemui rentak prestasi terbaik masing-masing.

5) Joao Felix (Atletico Madrid)

Tidak begitu lama dahulu, Joao Felix dianggap sebagai calon pengganti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai pemain terbaik dalam dunia bola sepak.

https://twitter.com/LaunchAngles/status/1321207375525744643?t=SDCutqammh79m7AxRpuhJA&s=19

Pemain kebangsaan Portugal itu berjaya mencatat nama sebagai prospek masa hadapan yang gemilang, dengan beliau cemerlang bersama Benfica.

Beliau menjaringkan 20 gol dan mencatatkan 11 assists dari 43 penampilan dalam semua pertandingan pada musim 2018/19.

Felix berjaya membantu Benfica memenangi gelaran liga, dan kehebatan beliau berjaya menarik minat Atletico yang kemudiannya menandatangani beliau dengan yuran perpindahan bernilai €120 juta.

Walau bagaimanapun, musim debutnya di Wanda Metropolitano berjalan dengan tidak seperti yang di harapkan dan beliau jelas tidak berada di tahap persembahan terbaiknya.

Felix hanya mampu menjaringkan sembilan gol dan mencatatkan tiga assists dari 36 penampilan dalam semua pertandingan untuk the Rojiblancos pada musim 2019-20.

Felix masih gagal untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya pada musim lalu, dan beliau hanya terlibat dengan 16 jaringan Atletico dari 40 penampilan.

Pemain berusia 21 tahun itu jelas mempunyai potensi untuk menjadi bintang besar, namun pada ketika ini, beliau sedikit terkeluar dari perbincangan berkait anugerah Ballon D’or.

4) Roberto Firmino (Liverpool)

Liverpool melalui dua musim yang sangat gemilang pada musim 2018/19 dan 2019/20 dengan mereka ketika itu memenangi gelaran Premier League, Champions League, Super Cup dan FIFA Club World Cup.

Pemain penyerang mereka, Roberto Firmino tidak dinafikan lagi sememangnya nadi utama sebalik kejayaan Liverpool pada ketika itu.

Bintang kebangsaan Brazil itu dianggap pemain yang bijak dan turut memiliki teknik yang sungguh mengagumkan.

Firmino merupakan penggerak kepada jentera serangan tiga serangkai Liverpool bersama Sadio Mane dan Mohamed Salah.

Beliau merupakan perancang utama di bahagian final third dan skuad kendalian Jurgen Klopp itu benar-benar beruntung memiliki beliau yang mampu menghidupkan pemain lain.

Pada musim 2018/19, Firmino menjaringkan 16 gol dan turut mencatatkan 8 assists dari 48 penampilan dalam semua pertandingan.

Walau bagaimanapun, persembahan beliau sedikit merosot sejak Liverpool menandatangani Diogo Jota, dan Firmino kini bukan lagi pilihan utama skuad.

Beliau sudah tidak sekreatif seperti sebelum ini, dan Firmino juga dilihat kurang beri tumpuan ketika berada di kawasan final third.

Pada musim 2020/21, Firmino hanya mampu menjaringkan sembilan gol sahaja disamping mencatatkan sembilan assists dari 48 penampilan dalam semua pertandingan.

Jelas sekali, pencapaian beliau itu tidak akan membantu Firmino untuk berada dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or tahun ini.

3) Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal)

Pemain kebangsaan Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang telah membuktikan yang beliau merupakan penandatanganan terbaik Arsenal di dekad ini.

Beliau berjaya memenangi anugerah kasut emas dalam saingan Premier League pada musim 2018/19, yang mana ia merupakan musim debut penuh pertamanya bersama Gunners.

Aubameyang sepertinya hampir sekali lagi memenangi anugerah sama pada musim 2019/20, dengan beliau ketika itu menjaringkan 22 gol dalam saingan Premier League, dan ia kurang satu gol dari jumlah jaringan Jamie Vardy.

Walau bagaimanapun, pada musim 2020/21, beliau menunjukkan kemerosotan yang mendadak, dan turut sering dikritik atas persembahan hambar yang beliau pamerkan.

Beliau hanya mampu menjaringkan 15 gol sahaja dan mencatatkan empat assists dari 39 penampilan dalam semua pertandingan.

Rekod jaringan beliau dalam saingan Premier League merosot teruk dengan Aubameyang hanya mampu menjaringkan 10 gol sahaja dari 29 penampilan pada musim lalu.

Arsenal sendiri berdepan kesukaran pada musim 2020/21 dengan mereka mengakhiri saingan Premier League di kedudukan kelapan.

Ia jelas sekali berpunca dari masalah prestasi pemain, dan melihat kepada semua hal tersebut, wajar untuk nama Aubameyang terkeluar dari senarai 30 calon pemenang Ballon d’or tahun ini.

2) Donny van de Beek (Manchester United)

Manchester United mengumumkan penandatanganan Donny Van de Beek pada musim panas 2020, dan ia dianggap sebagai satu langkah yang akan memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.

Walau bagaimanapun, segalanya tidak berjalan seperti apa yang diharapkan dengan kini lebih banyak persoalan yang mempersoalkan adakah de Beek sesuai untuk bersama United.

Kini ramai yang menggesa United agar menjual sahaja bintang Belanda itu, memandangkan khidmat beliau juga tidak diperlukan oleh kelab.

De Beek merupakan salah seorang pemain terbaik Ajax yang membawa kelab ke peringkat separuh akhir saingan Champions League musim 2018/19.

Beliau berjaya menjaringkan 17 gol dan turut mencatatkan 13 assists dari 57 penampilan dalam semua pertandingan dari posisi central midfielder untuk Ajax pada musim tersebut.

Namun persembahan beliau sedikit merosot pada musim 2019/20 sebelum meninggalkan Ajax untuk menyertai Manchester United.

Karier beliau di Old Trafford sepertinya lebih menyedihkan dengan tiada pencapaian yang boleh dijadikan topik perbualan peminat.

De Beek hanya sempat membuat 39 penampilan sahaja di Old Trafford, dan kebanyakan darinya beliau diturunkan sebagai pemain gantian sahaja.

Lebih menyedihkan lagi, sepanjang tempoh tersebut, beliau hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dan turut mencatatkan dua assists.

Melihat kepada statistik tersebut, agak mustahil untuk beliau masuk dalam senarai pendek 30 calon pemenang, calon 100 terbaik juga tak mungkin akan berlaku.

1) Eden Hazard (Real Madrid)

Eden Hazard merupakan salah seorang pemain terhebat dunia pada satu ketika dahulu, dengan bintang Belgium itu menjadi nadi penting sebalik kejayaan gemilang The Blues.

Beliau kemudiannya meninggalkan Chelsea untuk menyertai Real Madrid dengan yuran perpindahan bernilai €115 juta pada tahun 2019 yang lalu.

Walau bagaimanapun, Real Madrid sepertinya hanya menjadi hospital dan jabatan kebajikan yang menjaga kebajikan Hazard sejak menandatangani beliau.

Beliau hilang rentak persembahan terbaiknya sebaik menyertai Los Blancos, dan sering diketepikan kerana masalah kecederaan.

Dek kerana kehebatan yang beliau persembahkan ketika di Stamford Bridge, Hazard awalnya dianggap sebagai calon pengganti Cristiano Ronaldo di Santiago Bernabeu.

Sayangnya beliau hanya menambah beban sahaja untuk kelab, dan langsung tidak menyumbang apa-apa baik di atas mahupun di luar padang.

Beliau setakat ini sudah membuat 51 penampilan untuk Real Madrid sejak menandatangani perjanjian bersama mereka pada musim panas 2019.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau hanya mampu menjaringkan lima gol dan mencatatkan sembilan assists sahaja untuk The Los Blancos.

Statistik tersebut jelas jauh berbeza dari dirinya yang dahulu, dan tak mungkin akan ada kelab yang sanggup mengeluarkan dana besar untuk menyara pemain sepertinya.

Dan kerana itu jugalah beliau tidak muncul dalam senarai calon pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN