Lima Fakta Penting Menjelang Aksi Liverpool Bertemu AC Milan

Lima fakta penting menjelang aksi pertemuan Liverpool bertemu AC Milan dalam saingan Champions League awal pagi nanti.

Juara saingan Champions League pada tahun 2005 dan 2007 itu bakal dipertemukan dalam aksi peringkat kumpulan buat pertama kalinya dalam sejarah.

Beraksi di Anfield, tentunya perlawanan ini akan disajikan dengan atmosphere dan aura yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Perlawanan ini juga dianggap antara aksi yang ditunggu-tunggu oleh para peminat, dengan kenangan Istanbul menjadi topik perbualan hangat pada hari ini.

Berikut merupakan lima fakta penting tentang perlawanan yang bakal menemukan dua gergasi Eropah dalam aksi peringkat kumpulan saingan Champions League musim 2021/22.

1) Perjalanan AC Milan

Buat pertama kalinya sejak musim 2013/14, AC Milan tampil membuat kemunculan dalam saingan Champions League.

Milan perlahan-lahan berjaya membentuk skuad terbaik mereka, seterusnya melayakkan diri ke saingan Champions League pada musim ini.

Gergasi Serie A itu mencatatkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang musim 2021/22 dengan Liverpool juga turut merekodkan kejayaan yang sama.

Rekod 100 peratus Milan dalam saingan Serie A memperlihatkan mereka kini berada di puncak saingan liga bersama Napoli dan AS Roma.

Dari tiga perlawanan terakhir mereka, Milan berjaya menjaringkan tujuh gol dan hanya mencatatkan satu bolos sahaja.

Rafael Leao dan Olivier Giroud masing-masing menjadi penjaring utama kelab pada ketika ini selepas merekodkan dua gol dari tiga perlawanan awal dalam saingan Serie A.

Namun lawan mereka selepas ini adalah Liverpool, sebuah pasukan yang mempunyai barisan pemain berkelas dunia dan tak mudah untuk dijinakkan.

2) Pemain Yang Tak Boleh Diturunkan

Harvey Elliott merupakan nama yang sudah tentu tidak akan diturunkan, walau beliau menjadi nadi terpenting kelab sejak awal musim ini lagi.

Ia kerana beliau sedang dibelenggu kecederaan parah selepas terlibat dengan insiden terjahan ngeri ketika aksi bertemu Leeds United hujung minggu lalu.

Roberto Firmino juga masih kekal di bilik rawatan bersama Neco Williams dan Takumi Minamino, seterusnya mengurangkan pemain penting di bangku cadangan The Reds.

Untuk Milan pula, mereka dikejutkan dengan berita kecederaan yang menimpa Zlatan Ibrahimovic yang baru sahaja membuat kemunculan pada minggu lalu.

Walau bagaimanapun, Giroud berkemungkinan akan kembali ke dalam senarai kesebelasan utama Milan, selepas beliau kini sah bebas dari jangkitan wabak C0V-19.

Tiemoue Bakayoko dan Rade Krunic juga turut bakal diketepikan dari aksi bertemu Liverpool awal pagi nanti.

3) Pertembungan Dua Gergasi Eropah

Perlawanan ini juga dianggap pertembungan terbesar Eropah dengan gabungan kedua-dua pasukan, mereka mempunyai 13 kejuaraan Champions League.

Perlawanan ini juga merupakan aksi pertama mereka dalam pertandingan kompetetif dan tidak dipertemukan di pentas perlawanan akhir.

Malam Istanbul bakal terus diingati sebagai malam terhebat dalam sejarah Champions League, terutama sekali untuk para penyokong Liverpool.

Kebangkitan yang dianggap terhebat sepanjang zaman, sementara Milan pula berjaya membalas dendam ketika mereka sekali lagi dipertemukan dalam aksi perlawanan akhir di Athens dua tahun selepas itu.

Pemenang dalam perlawanan pada malam ini tidak akan menjulang Piala, namun begitu, perjalanan untuk menuju ke Saint Petersburg bermula dari perlawanan ini.

4) Perlawanan Wajib Tonton

Tidak dinafikan lagi pertembungan antara dua pasukan ini merupakan aksi yang ditunggu-tunggu oleh para peminat seluruh dunia.

“Jika kamu berfikir tentang mana-mana pertembungan Eropah, maka saya rasa Liverpool vs AC Milan merupakan aksi yang wajib ditonton! Ia memang perlawanan yang semua orang nak tengok.”

 

Jelas Jurgen Klopp ketika sidang media sebelum perlawanan.

“Ia bakal menjadi perlawanan yang sukar untuk kedua-dua pasukan.”

Ia jelas yang perlawanan ini bakal menjadi sangat sengit, namun Klopp tentunya berharap pada tuah Anfield dengan aura penyokong bakal sangat membantu.

“Kami banyak bercakap sebelum ini, lebih tepat lagi tentang malam Eropah di Anfield dan saya sudah tidak sabar untuk nikmati pengalaman itu sekarang. Ia tentu sangat menakjubkan dan saya betul-betul mahu menyaksikannya.”

5) Pengadil Perlawanan Merupakan Tokoh Yang Dibenci Di Anfield

Pengadil dari Poland, Szymon Marciniak merupakan pengadil yang mengadili aksi Liverpool bertemu Atletico Madrid di Anfield pada tahun lalu, dan beliau juga mengadili aksi The Reds ketika beraksi di Parc des Princes pada musim 2018/19.

Para penyokong Liverpool ketika aksi kekalahan bertemu Atletico Madrid sebelum ini meletakkan sepenuh kesalahan atas keputusan dari pengadil tersebut.

Mereka menganggap Szymon Marciniak menzalimi skuad mereka dan menjadi punca Liverpool tewas serta tersingkir dari saingan Champions League pada ketika itu.

Maka beliau tentunya bakal menjadi perhatian utama dalam perlawanan ini, dengan Szymon sendiri harus mempersiapkan mental beliau untuk berdepan dengan penyokong di Anfield.

Ramalan kesebelasan utama Milan

Maignan; Calabria, Romagnoli, Tomori, Hernandez; Kessie, Tonali; Florenzi, Diaz, Leao; Giroud

Ramalan Kesebelasan utama Liverpool

Alisson; Alexander-Arnold, Matip, Van Dijk, Robertson; Fabinho, Henderson, Thiago; Salah, Jota, Mane.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply