Lima Calon Pilihan Untuk Memenangi Anugerah Ballon D’or 2021

Anugerah Ballon D’or merupakan hadiah individu yang paling berprestij dalam dunia bola sepak, dan ia merupakan impian setiap pemain untuk mendapatkan bola emas tersebut.

Pada tahun 2020, anugerah tersebut secara rasminya telah dibatalkan ekoran dari penularan wabak pandemik yang melanda dunia pada ketika itu.

Anugerah tersebut dijangka akan diteruskan pada tahun ini, dan akan dilangsungkan pada penghujung tahun ini nanti.

Dari 12 edisi terakhir, Lionel Messi telah memenangi enam darinya, sementara Cristiano Ronaldo pula berjaya untuk dinobatkan sebagai pemenang lima kali anugerah tersebut.

Luka Modric menjadi satu-satunya pemain yang berjaya memecah dominasi kedua-dua pemain tersebut, selepas beliau dinobatkan sebagai penerima anugerah Ballon D’or pada tahun 2018 yang lalu.

Walau bagaimanapun, sejak satu ke dua tahun kebelakangan ini, sepertinya sudah ramai pemain yang dilihat mampu untuk mencabar duopoly Ronaldo dan Messi dan berpotensi untuk merampas anugerah tersebut.

Beberapa pemain telah mempamerkan rentak persembahan mantap dan menunjukkan tahap konsistensi yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Ada juga antara pemain yang sudah banyak memenangi Piala kejuaraan sepanjang musim lalu, baik untuk negara mahupun bersama skuad kebangsaan mereka.

Jadi tidak keterlaluan untuk katakan yang perlumbaan untuk memenangi anugerah tersebut pada tahun ini sangat terbuka, dengan ramai yang dilihat menjadi calon terbaik untuk dinobatkan sebagai penerima anugerah paling berprestij itu.

Tanpa bicara basi, berikut merupakan senarai lima pemain yang dikatakan calon kegemaran untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

5) Cristiano Ronaldo – Portugal/Manchester United

Christian Ronaldo kini telah sah untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas bola sepak antarabangsa.

Beliau berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu skuad Portugal menewaskan Ireland, pada 1 September lalu, seterusnya memecahkan rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Lebih manis lagi, selain memecahkan rekod, dua gol jaringan beliau dalam perlawanan itu juga telah membantu Portugal untuk mencatatkan kemenangan dalam aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia itu.

Selepas memenangi anugerah Capocannoniere kerana kejayaannya menjaringkan 29 gol dari 33 penampilan dalam saingan Serie A, Ronaldo turut berjaya memenangi anugerah kasut emas dalam saingan Euro 2020.

Beliau berjaya menjaringkan lima gol, dan turut mencatatkan satu assists untuk skuad kebangsaan Portugal, sebelum mereka tersingkir di pusingan 16 terbaik kejohanan tersebut.

Ronaldo kini telah kembali ke pangkuan kelab lamanya, Manchester United dengan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu bertekad untuk memenangi Piala pertama mereka musim ini.

Walau bagaimanapun, kerana kekurangan Piala kejuaraan, harapan untuk melihat Ronaldo menjulang anugerah tersebut agak sedikit sukar.

4) N’Golo Kante – France/Chelsea

N’Golo Kante tidak dinafikan lagi merupakan pemain terbaik Chelsea dan juga watak penting yang membantu mereka memenangi Champions League pada musim lalu.

Beliau berjaya konsisten memenangi empat kali anugerah pemain terbaik perlawanan secara berturut-turut, bermula dari leg kedua aksi suku akhir, hingga ke aksi perlawanan akhir bertemu Manchester City.

Kante turut dinamakan sebagai pemain midfield terbaik dalam saingan Champions League musim lalu.

Aksi tidak pernah kenal erti penat dan teknik bertahan luar biasa yang beliau sering pamerkan, telah menjadikan Kante sebagai tembok paling sukar untuk dilepasi oleh pemain pasukan lawan.

Pemain berusia 30 tahun itu jelas sekali calon pilihan utama untuk memenangi anugerah ini andai Perancis tidak tersingkir awal dari saingan Euro 2020.

Perancis selepas ini akan beraksi bertemu Belgium, dalam aksi peringkat separuh akhir saingan UEFA Nations League pada awal Oktober nanti.

Andai Kante berjaya membantu Perancis untuk memenangi saingan Nations League, maka kesempatan untuk beliau memenangi anugerah Ballon D’or semakin tinggi.

3) Robert Lewandowski – Poland/Bayern Munich

Robert Lewandowski tidak dinafikan antara penyerang terhebat yang wujud di muka bumi pada ketika ini. Pemain kebangsaan Poland itu mempunyai rekod jaringan yang sungguh menakjubkan pada musim 2020/21.

Beliau berjaya memecahkan rekod gol terbanyak semusim yang dicipta oleh Gerd Muller (40) dari 38 perlawanan dalam saingan Bundesliga.

Lewandowski berjaya menjaringkan 41 gol hanya dari 29 penampilan dalam saingan Bundesliga dan secara keseluruhannya beliau berjaya menjaringkan 48 gol dan sembilan assists dari 40 perlawanan dalam semua pertandingan.

Bintang berusia 33 tahun itu merupakan pemain terpenting Bayern Munich yang berjaya membantu skuadnya mempertahankan kejuaraan liga mereka pada musim lalu.

Pada permulaan musim ini, Lewandowski telah memulakan kempen dengan sangat cemerlang selepas berjaya menjaringkan tujuh gol hanya dari empat penampilan sahaja dalam semua pertandingan.

Beliau tidak dinafikan lagi sememangnya pemain penyerang paling berbisa dalam dunia bola sepak dan antara calon paling layak untuk dinobatkan sebagai penerima anugerah Ballon D’or tahun ini.

Apa lagi selepas beliau gagal untuk memenangi anugerah tersebut pada tahun lalu kerana ia dibatalkan, sedangkan Lewandowski calon terbaik untuk memenanginya pada ketika itu.

2)Jorginho – Italy/Jorginho

Tidak ada pemain bola sepak profesional yang melalui musim panas ini seperti bintang Chelsea dan Itali, Jorginho.

Pemain midfield Chelsea itu merupakan antara nadi penting selain Kante yang berjaya membantu Chelsea menjuarai saingan Champions League pada musim lalu.

Beliau selepas itu melakukan hal yang sama ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Itali seterusnya membantu negaranya untuk menjuarai saingan Euro 2020.

Selepas membantu Itali muncul sebagai Juara Eropah, beliau berjaya membantu The Blues untuk memenangi UEFA Super Cup pada bulan lalu dengan menewaskan Villarreal.

Pemain central midfielder yang kini berusia 29 tahun itu turut dinamakan sebagai UEFA Player of the Year dan kerana itulah beliau dianggap calon pilihan untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Untuk maklumat, jaringan dan assists tidak dianggap sebagai perkara terpenting untuk dinilai kepada salah seorang pemain central midfielder.

Jorginho merupakan antara pemain midfield yang paling teknikal dan juga dianggap terbaik dari segi sumbangan beliau di atas padang.

1) Lionel Messi – Argentina/Paris Saint-Germain

Agak aneh ketika menyebut nama Messi tapi tidak dikaitkan dengan Barcelona selepas pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu melengkapkan perpindahannya menyertai PSG pada musim panas ini.

Walau bagaimanapun, persembahan beliau bersama Barca sepanjang musim lalu tidak dinafikan antara yang terbaik dan kerana itulah namanya turut disenaraikan dalam senarai ini.

Beliau juga berjaya memikul skuad kebangsaan Argentina untuk menjulang kejuaraan Copa America pada tahun ini, dan turut menyapu bersih segala anugerah dalam pertandingan tersebut.

Messi memenangi kasut emas dan anugerah pemain terbaik dalam pertandingan tersebut, dan turut membantu Argentina menjulang kejuaraan Copa America pertama mereka sejak 28 tahun terakhir ini.

Messi berjaya menjaringkan empat gol dan turut mencatatkan lima assists untuk Argentina sepanjang pertandingan tersebut.

Pada musim 2020/21, Messi merupakan pemain terbaik Barcelona, dengan beliau berjaya menjaringkan 38 gol dan mencatatkan 14 assists dari 47 penampilan dalam semua pertandingan.

Rekod yang beliau catatkan sepanjang tahun 2021 memungkinkan untuk Messi memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply