Ligue 1: Tumpul Tiada Neymar, PSG Tewas Mengejut Kepada Kelab Tercorot Dijon

Pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) dikejutkan oleh pasukan tecorot Ligue 1 apabila tewas 2-1 kepada Dijon di saingan liga Perancis itu pada pagi tadi.

Dijon yang beraksi sebagai pasukan tuan rumah tidak pernah menewaskan PSG dalam semua lapan perlawanan lalu, dan perlawanan ini dilihat akan mempunyai kesudahan serupa selepas Kylian Mbappe memberikan PSG pendahuluan.

Namun skuad kendalian Thomas Tuchel hanya boleh menyalahkan diri sendiri selepas mensia-siakan deretan peluang di hadapan gil lawan, sebelum dihukum oleh penyudah Mounir Chouiar dan Jhonder Cadiz pada setiap babak perlawanan.

PSG dua kali menggegarkan gawang lawan, dan turut terlepas beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan di babak akhir perlawanan. Ini adalah kekalahan ketiga PSG dalam semua pertandingan pada musim ini.

Kedua-dua pasukan dibezakan dengan jarak 18 mata sebelum perlawanan bermula, tetapi Dijon tampak sebagai pasukan yang lebih menyerlah apabila terlebih dahulu menguji Keylor Navas melalui percubaan Julio Tavares dan Cadiz.

Tetapi Mbappe memberikan pendahuluan kepada juara bertahan Ligue 1 itu melalui satu penyudah cukup klinikal menewaskan Alfred Gomis di hadapan gawang selepas menerima hantaran Angel Di Maria.

PSG bergeluut selepas itu dan kesilapan Navas menghalang hantaran lintang Didier Ndong membuka laluan untuk Chouiar melakukan penyudah dari jarak dekat.

Hanya 103 saat selepas babak kedua bersambung, Cadiz melakukan pusingan badan yang menewaskan Marquinhos sebelum melepaskan percubaan yang lolos di celah kaki Navas untuk gol pendahuluan Dijon.

Di Maria terlepas dua peluang terbaik untuk memberikan PSG pulang dengan satu mata dari perlawanan ini, manakala tandukan Mauro Icardi dari jarak enam kaki sekadar singgah di palang.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram