Liga Vietnam: Penyokong Tenang Banjiri Stadium Tanpa Penjarakan Sosial

Iklan

Liga Vietnam

Liga Bola Sepak Vietnam yang sudah kembali disambung pada Jumaat menyaksikan ribuan penyokong hadir menonton perlawanan di stadium tanpa menghiraukan peraturan penjarakan sosial sekaligus menimbulkan persoalan mengenai usaha negara itu dalam memerangi pandemik COVID-19.

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) telah menangguhkan semua perlawanan bola sepak di negara itu sejak Mac, bagaimanapun tiada sebarang kematian disebabkan wabak tersebut dan hanya 328 kes jangkitan sahaja dicatatkan di negara yang ditadbir oleh Parti Komunis Vietnam itu.

Perlawanan di antara Nam Dinh dan Viettel berlangsung di Stadium Thien Truong yang mempunyai kapasiti 30,000 tempat duduk. Perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 2-1 oleh pasukan pelawat itu menyaksikan stadium hampir penuh dengan kehadiran penyokong yang duduk secara rapat dan hanya segelintir sahaja yang memakai topeng muka.

Sumber Reuters melaporkan pihak berkuasa sebelum ini telah pun meletakkan syarat supaya semua penonton diwajibkan memakai topeng muka dan membuat pemeriksaan suhu oleh petugas yang bersedia di pintu masuk stadium selain menyediakan cecair pembasmi kuman di beberapa tempat dalam stadium.

“Jika kami takut kepada virus itu, kami tidak akan datang ke sini [menonton perlawanan],” kata penyokong Viettel, Dinh Van Tam.

Vietnam sebelum ini menerima pujian kerana sangat agresif dalam usaha mereka melaksanakan ujian saringan secara menyeluruh dan memusatkan pusat kuarantin mereka dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Negara tersebut adalah di antara negara terawal yang menyekat kemasukan pelancong dari China memandangkan mereka hanya bersempadan sehaja dengan negara berkenaan dan melaksanakan peraturan ketat kepada penduduk di seluruh negara.

Pihak pengurusan liga pada awalnya turut mengambil keputusan untuk menyambung saingan Liga Vietnam tanpa kehadiran penyokong di stadium seperti mana liga-liga lain yang sudah pun kembali bersambung.

Tetapi memandangkan keadaan di negara itu dilihat sudah semakin selamat, mereka memutuskan sebaliknya kerana bimbang larangan itu akan menyebabkan penyokong tetap hadir dan bersesak di luar stadium.

Di Eropah ketika ini saingan Bundesliga sudah bersambung untuk minggu keempat dan masih tiada sabarang masalah atau isu jangkitan dalam kalangan pemain, pegawai atau pekerja kelab. La Liga, Serie A dan Liga Perdana Inggeris pula dijangka akan menyusul bermula pertengahan bulan ini.

Kapten skuad kebangsaan Vietnam yang beraksi untuk Viettel, Que Ngoc Hai berkata, beliau gembira melihat suasana meriah penyokong yang memenuhi stadium.

“Saya tidak mahu membandingkan kami dengan negara lain, tetapi bola sepak Vietnam telah kembali selepas kami yakin sudah pulih daripada COVID-19 ini. Ia menunjukkan  betapa disiplinnya rakyat negara ini dalam usaha memerangi virus tersebut,” katanya.

Kredit Foto: The National Sport

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Vietnam:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram