Liga Turki Baru Nak Berhenti

Liga sukan di Turki seperti bola sepak, bola keranjang dan bola tampar yang masih diteruskan ketika negara-negara lain sudah pun membuat penangguhan akhirnya diberhentikan pada Khamis.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Sukan Turki, Muharrem Kasapoglu selepas mengadakan mesyuarat bersama semua persatuan sukan di Ankara.

“Untuk membantu usaha mencegah penularan wabak coronavirus dan memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan berkesan, semua perlawanan, bola sepak, bola keranjang, bola tampar dan bola baling telah ditangguhkan.” kata Muharrem.

Turki setakat ini sudah mencatat 191 kes positif dengan tiga kematian. Pihak autoriti telah mengambil tindakan pencegahan dengan mengarahkan semua pertandingan sukan dijalankan tanpa penonton sehingga penghujung April.

Bagaimanapun negara itu telah mendapat tekanan antarabangsa supaya menangguhkan semua pertandingan selepas kebanyakan liga bola sepak di negara Eropah telah dihentikan.

Pada Khamis, Kesatuan Bola Sepak Dunia (FIFPRO) telah menghantar surat rasmi kepada Liga Turki untuk segera membuat keputusan membatalkan semua perlawanan dan latihan pasukan.

“Sudah ramai pemain asing di negara itu menghubungi kami dan mengatakan mereka tidak selesa untuk meneruskan perlawanan ketika COVID-19 semakin serius.”

Penyerang Galatasaray, Radamel Falcao turut mennyatakan kritikan secara terbuka dengan keputusan untuk meneruskan semua perlawanan.

“Orang sedang mati di seluruh dunia disebabkan wabak ini, tetapi kami masih bercakap tentang bola sepak” katanya di Twitter.

Beberapa pemain lain seperti Bernard Mensah (Kayserispor) dan John Obi Mikel (Trabzanspor) turut meluahkan kerisauan masing-masing di media sosial.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram