Liga Super: Voli Cantik Sheriddin Bantu 10 Pemain Penang Atasi Melaka United

Sheriddin Boboev Penang FC Melaka United

Beraksi 10 pemain, Penang FC berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Melaka United hasil ledakan minit akhir Sheriddin Boboev dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Bandaraya, Penang FC berjaya mendapatkan gol pada minit ke-75, 10 minit selepas pemain tengah bertahan, Khairu Azrin Khazali diarah meninggalkan padang apabila dilayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah.

Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu dalam menghasilkan gol walaupun banyak gerakan berjaya dicipta oleh jentera serangan masing-masing.

Tomas Trucha membuat perubahan struktur formasi pasukannya dengan kembali kepada 4-1-4-1 yang menyaksikan Casagrande diletakkan sebagai penyerang tunggal sambil dibantu oleh kapten, Endrick dos Santos yang bergerak di belakangnya.

Perubahan ini menyaksikan Penang FC kurang menyengat di jentera depan seperti dalam tiga aksi sebelum ini, ketika mereka menggunakan formasi 3-5-2. Begitupun, struktur benteng malam ini nampaknya lebih kukuh ketika mereka bertahan.

Kembalinya pemain tengah bertahan, Khairu Azrin bermula pada aksi minggu lalu juga menyaksikan tuan rumah lebih baik dalam bertahan. Beliau beberapa kali berjaya menyelamatkan situasi berbahaya di depan gawang yang dikawal Sam Somerville.

Melaka United yang turun dengan formasi yang hampir sama dengan Penang dilihat berjaya mengekang tuan rumah. Faris Shah ditugaskan dalam mengekang playmaker, Endrick dos Santos sehingga Harimau Kumbang gagal mengasak lebih baik.

Pelawat menggunakan kelincahan pergerakan Sony Norde yang dilihat menggerakkan bahagian sayap kiri mereka untuk memecah masuk ke kubu tuan rumah.

Minit ke-16, Penang FC membuat percubaan pertama ke gawang lawan menerusi rembatan deras tersasar pemain sayap, Amer Azahar selepas menerima hantaran lintang oleh bek kanan, Quentin Cheng yang gagal disambar Casagrande.

Sony Norde berpeluang untuk meledak gol tiga minit kemudian apabila memasuki ke kawasan tengah defensive third Penang FC, namun percubaannya meliar.

Penang FC dan Melaka United meneruskan aksi sama di babak kedua dengan masing-masing saling menyerang dan mengekang, namun kekurangan sentuhan akhir.

Kedua-dua pasukan melalui masalah yang sama iaitu sentuhan akhir yang kurang berkesan menyebabkan tiada jaringan mampu dihasilkan selepas sejam aksi berlangsung. Kecemerlangan benteng juga membuntukan kedua-dua pasukan.

Minit ke-65, Khairu Azrin dilayangkan kad kuning kedua menyebabkan beliau diarahkan keluar padang selepas menghadang gerakan oleh Giovane Gomes.

Ini memaksa Penang FC membuat pertukaran dengan mengeluarkan pemain tengah iaitu Endrick dan membawa masuk bek tengah, Latiff Suhaimi untuk mengukuhkan kubu pertahanan. Selain itu, Danial Ashraf juga dikeluarkan Tomas Trucha.

Mempertaruhkan enam pemain pertahanan selepas kehilangan Khairu Azrin dengan mengeluarkan Endrick, ia tampak membuahkan hasil apabila mereka kukuh bertahan dan meraih gol menerusi sepakan penalti apabila Rafael Vitor dikasari Jang Suk-won.

Minit ke-90, Giovane Gomes berjaya mendapatkan jaringan penyamaan buat pelawat selepas menanduk masuk hantaran lambung bek kanan, Wan Amirul Afiq.

Di saat perlawanan seperti bakal berakhir dengan keputusan seri, pemain gantian, Sheriddin Boboev berjaya meledak jaringan voli yang cantik menewaskan Khairul Fahmi di gawang untuk Penang FC menamatkan aksi dengan nota kemenangan.

Itu merupakan jaringan ke-3 Sheriddin Boboev bersama Penang FC dan buat kali kedua, jaringannya memberikan kemenangan selepas aksi berdepan UiTM FC.

Kemenangan ini membantu Penang FC mengukuhkan kedudukan ketiga Liga Super dengan 31 mata, enam mata di belakang Terengganu FC dan lima mata di depan Kedah Darul Aman FC yang kekurangan empat perlawanan akibat penangguhan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply