Liga Super: Sri Pahang Seri Berdepan Kedah Selepas Dipaksa Bangkit 2 Kali

Abubakar Yakubu Kenny Athiu Sri Pahang Kedah 2021

Dua jaringan oleh Kenny Athiu berjaya menyelamatkan Sri Pahang FC apabila terikat dengan keputusan seri 2-2 menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Percaturan berani pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak dengan lima perubahan dalam kesebelasan utama selepas ‘hilang’ Kpah Sherman dan Rabih Ataya yang mendapat panggilan skuad kebangsaan.

Hanya seorang tonggak import digunakannya iaitu Renan Alves di benteng apabila Kipre Tchetche turut tidak dapat diturunkan – difahamkan akibat kecederaan ringan yang dialami ketika sesi latihan.

Dollah Salleh juga tampil dengan perubahan menarik dengan tiga pertukaran dengan Herold Goulon diletakkan di jentera tengah bergandingan bersama Abubakar Yakubu dan Manuel Hidalgo.

Sri Pahang tampil lebih agresif menekan pelawat dengan mengawal rentak perlawanan terlebih dahulu. Motivasi untuk meraih kemenangan pertama selepas tiga perlawanan jelas dipamerkan oleh mereka.

Seawal minit kelima tuan rumah sudah mengasak Kedah menerusi Kenny Athiu, namun asakan tersebut digagalkan Renan Alves sebelum Rizal Ghazali membuat percubaan jarak jauh tiga minit berselang.

Akhirnya Kedah yang terlebih dahulu mengejutkan Sri Pahang menerusi jaringan pemain tengah, Amirul Hisyam pada minit ke-12. Menerima bola daripada Rizal Ghazali, Amirul Hisyam yang tidak dikawal telah melepaskan rembatan lambung dari luar kotak penalti untuk menewaskan Daniel Wafiuddin.

Biarpun gol pendahuluan telah diperolehi, Kedah masih gagal untuk ambil alih penguasaan bola apabila lawan tampil lebih baik. Sri Pahang memiliki tiga peluang untuk gol penyamaan selepas ketinggalan.

Ia dicipta menerusi percubaan Herold Goulon, Syaahir Saiful dan Manuel Hidalgo dalam tempoh lima minit bermula pada minit ke-14, namun tetap gagal untuk menewaskan Ifwat Akmal di gawang pelawat.

Selepas beberapa kali cuba mengetuk pintu gol pasukan pelawat, Kenny Athiu berjaya menyamakan kedudukan menerusi sentuhan mudah selepas menyambar hantaran kemas Manuel Hidalgo yang memperdaya Renan Alves dan Loqman Hakim di minit ke-29 – jaringan ketiga peribadinya.

Perubahan drastik memperlihatkan permainan yang sangat longgar oleh Kedah di babak pertama.

Kedah memperbaikinya di awal babak kedua dengan permainan lebih meyakinkan walaupun kurang berjaya menjana asakan ke kubu tuan rumah. Minit ke-47, hantaran lintang Fayadh Zulkifli gagal ditandukkan kemas oleh Faizat Ghazli selain rembatan tersasar olehnya di minit ke-59.

Gandingan tiga serangkai 3F yang dipertaruhkan Aidil Sharin tampak gagal mencipta sesuatu.

Sri Pahang adakalanya cuba mencatur gerakan, namun disia-siakan oleh penyerang, Kenny Athiu.

Selepas sejam aksi berlangsung, Aidil Sharin memasukkan dua pemain ‘otai’, Syazwan Zainon dan Azamuddin Akil bagi menambah ketajaman di jentera serangan skuad Hijau Kuning ketika mengasak.

Hasilnya, gerakan yang dimulakan oleh Azamuddin Akil di sebelah kanan disudahkan oleh Syazwan Zainon menerusi rembatan deras untuk gol kedua Kedah pada minit ke-67 – gol keduanya musim ini.

Minit ke-85, Kenny Athiu gagal menanduk masuk hantaran Hafiz Ramdan apabila tandukan lemahnya itu mudah buat Shahril Sa’ari – yang masuk menggantikan Ifwat Akmal, untuk menyelamatkannya.

Dua minit kemudian, Kenny Athiu menebus kegagalannya dengan jaringan keduanya untuk mengikat kedudukan menerusi tandukkan, walaupun kelihatan seakan-akan jaringan sendiri Loqman Hakim.

Selepas tiga kali gagal mengutip mata, Sri Pahang berjaya membawa pulang satu mata untuk mereka mengumpul 18 mata daripada 20 aksi, di kedudukan ke-9 liga. Kedah pula gagal untuk menjarakkan mata di kedudukan kedua dengan 39 mata, dua mata di belakang Terengganu FC dan Penang FC.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply