Liga Super: Selangor Tersungkur ‘Dihentak’ JDT Di Laman Sendiri

JDT Selangor Liga Super Bergson da Silva

Gol lewat permainan oleh Mathew Davies dan Mohamadou Sumareh memberikan kemenangan penting buat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menundukkan Selangor 3-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Ia merupakan tiga mata penting yang dibawa pulang oleh skuad Benjamin Mora itu bagi terus menjarakkan kedudukan di persada liga.

Selangor mengekalkan kesemua kesebelasan utama sewaktu berdepan Kuala Lumpur City tempoh hari dengan Ashmawi Yakin dan Sharul Nazeem terus diberi kepercayaan untuk mengemudi benteng pertahanan dengan ketiadaan Safwan Baharudin dan Tim Heubach yang masih belum pulih dari kecederaan.

JDT pula membuat tiga pertukaran berbanding aksi berdepan UiTM di mana Afiq Fazail, Safawi Rasid, Mauricio Dos Santos kembali ke kesebalasan utama menggantikan Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba dan Nazmi Faiz Mansor.

Aksi di awal perlawanan nampak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun JDT mempunyai peluang untuk berada di depan di mana percubaan kaki kiri Safawi Rasid tersasar ke sebelah kanan gol.

Peluang terbaik Selangor pada separuh masa pertama hadir pada minit ke-38 apabila gerakan Ifedayo yang membuat hantaran dari sebelah kanan gagal disudahkan oleh Oliver Buff apabila berjaya dihalang oleh Mauricio.

JDT berjaya memecah kebuntuan pada masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan Bergson da Silva yang melonjak manyambut hantaran lintang Mathew Davies dari sebelah kanan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Khairul Azhan.

Ia merupakan jaringan peribadi ke-13 penyerang Brazil itu pada musim ini.

Ketinggalan satu gol, Ketua Jurulatih Selangor, Karsten Neitzel membuat dua pertukaran apabila memulakan separuh masa kedua dengan mengeluarkan Mukhairi Ajmal dan Nor Hakim Hassan diganti dengan Aliff Haiqal dan Sean Selvaraj.

Corak permainan Selangor ternyata lebih baik pada awal babak kedua dengan membuat beberapa gerakan menyerang, namun masih belum dapat melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gol.

Usaha bertali arus Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang sensasinya Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan dengan memanfaatkan hantaran dari sepakan percuma Oliver Buff pada minit ke-62.

Masuk  minit ke-70 perlawanan, aksi semakin menarik selepas Bergson mendapat dua peluang untuk meletakkan JDT di hadapan menerusi rembatan kaki kiri yang tersasar dan tandukan yang diselamatkan Khairul Azhan.

10 minit sebelum tamat perlawanan, pasukan pelawat kembali di depan selepas Mathew Davies melakukan rembatan leret dari luar kotak penalti selepas tiada pemain pertahanan Selangor yang memberi tekanan terhadap pemain bek kanan JDT itu.

Pada penghujung perlawanan, Mohamadou Sumareh mengesahkan kemenangan JDT dengan gol ketiga apabila bijak mengatasi pertahanan Selangor dan menewaskan Khairul Azhan dalam situasi satu lawan satu.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

JDT terus gah di puncak liga dengan mengumpul 36 mata selepas 15 perlawanan, enam mata mengatasi Terengganu yang tewas 2-0 kepada Melaka United. Selangor pula kekal di tangga kelima.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply