Liga Super: Rekod Tanpa Kalah JDT Di Stadium Sultan Ibrahim Lebur Di Tangan Terengganu

Hakimi Abdullah Terengganu JDT Liga Super

Kejutan berlaku di Iskandar Puteri apabila rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim lebur di tangan Terengganu selepas tewas 1-0 dalam aksi Liga Super.

Jaringan tunggal pemain muda Hakimi Abdullah sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Nafuzi Zain itu mencuri tiga mata dan sekaligus merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga tersebut.

Lorongan cantik dari Makan Konate kepada Faisal Halim hampir memberikan gol pertama Terengganu, namun pengalaman Farizal Marlias berjaya menafikan percubaan menerusi situasi satu lawan satu itu.

Tonggak utama pertahanan JDT, Mauricio Dos Santos terpaksa dikeluarkan kerana dipercayai terseliuh ketika cuba menghalang pergerakan Faisal Halim, menjadikan pertukaran kedua pada babak pertama selepas S. Kunanlan juga diganti oleh Mathew Davies sebelum itu.

Beberapa saat sebelum wisel masa rehat dibunyikan, David da Silva pula terlepas peluang untuk meletakkan Terengganu di hadapan apabila percubaannya terkena tiang selepas berjaya mengatasi kawalan pertahanan JDT.

Keadaan kelam kabut di hadapan gol JDT berjaya dimanfaatkan oleh Hakimi Abdullah yang berjaya meloloskan diri dari kawalan tiga pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan mengatasi Farizal Marlias untuk gol pembukaan perlawanan pada minit ke-56.

Ia juga merupakan gol ketiga pemain berusia 22 tahun itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Ketinggalan satu gol, JDT mula merencanakan serangan demi serangan bagi mencari gol penyamaan, namun pasukan tuan rumah itu jelas agak tertekan dengan beberapa gerakan serangan balas Terengganu yang nyaris memberikan gol kedua.

Benjamin Mora membuat pertukaran dengan memasukkan Safawi Rasid, Nazmi Faiz dan Ramadhan Saifullah bagi menambah kekuatan di bahagian serangan, namun segala usaha untuk mendapatkan gol menemui jalan buntu sehingga tamat perlawanan.

Kali terakhir JDT tewas di tempat sendiri dalam aksi Liga Super adalah pada Julai 2019 kepada PJ City.

Walaupun tewas, JDT masih kekal di puncak liga dengan 23 mata sementara Terengganu pula mengekori rapat di tangga kedua dengan dibezakan hanya dua mata sahaja.

Berita lanjut menyusul.

Kredit Foto: Unifi

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply