Liga Super: Penang Tambah Derita PJ City, Kekalahan Ke-6 Berturut-Turut

Casagrande Penang FC PJ City Liga Super 2021

Casagrande dan Sheriddin Boboev muncul wira buat Penang FC apabila jaringan mereka membantu tuan rumah untuk menundukkan PJ City FC 2-1, sebentar tadi.

Hujan renyai di Stadium Bandaraya menyaksikan rentak perlawanan lebih berhati-hati dan sederhana ditampilkan oleh kedua-dua pasukan di permulaan aksi dengan Penang FC dilihat lebih tenang dalam mengawal perlawanan sejak dari wisel permulaan.

Gemar memulakan gerakan dari bawah, Harimau Kumbang akan membuka ke jentera sayap mereka yang digerakan oleh Sheriddin Boboev dan Amer Azahar ketika mula memasuk defensive third lawan dan seterusnya melambung bola ke depan gol.

 

PJ City dilihat mempertaruhkan barisan benteng yang ramai jika bertahan dalam usaha untuk mengekang playmaker dan kapten lawan, Endrick dos Santos dan Casagrande.

Penyerang tinggi lampai tuan rumah, Casagrande akhirnya membuka tirai jaringan menerusi tandukkan tajam menewaskan Kalamullah Al-Hafiz di minit ke-4. Ia bermula hasil gerakan di sebelah sayap kanan menerusi hantaran lintang Quentin Cheng.

10 minit selepas gol Casagrande, The Phoenix cuba bangkit mengejar dan penyerang otai, Khyril Muhymeen hampir menyamakan kedudukan, juga menerusi tandukkan. Namun ia tersasar daripada gawang tuan rumah yang dikawal oleh Sam Somerville.

PJ City mempertaruhkan rangkaian tiga penyerang iaitu Khyril Muhymeen, D. Kugan dan R. Kogileswaran dalam usaha mereka memburu gol selepas hanya meledak satu gol dalam lima aksi – hasil ledakan Khyril Muhymeen ketika tewas kepada Kedah.

Mereka juga masih belum menang dalam lima aksi terkini dengan rekod tewas lima perlawanan berturut-turut – rekod terburuk mereka dalam saingan musim ini.

Selepas jaringan pertama perlawanan, PJ City dilihat tampil lebih stabil dengan berjaya mengekang setiap asakan yang cuba diatur oleh lawan disamping adakalanya berhasil membuat asakan semula antaranya percubaan tersasar D. Kugan pada minit ke-39.

Namun, kelalaian di saat akhir babak pertama menyaksikan Penang FC menambah jaringan menerusi Sheriddin Boboev hasil rembatan deras menewaskan Kalamullah Al-Hafiz, bermula daripada hantaran lambung Khairu Azrin ke dalam kotak penalti.

Babak kedua bermula dengan lebih perlahan dengan kedua-dua pasukan tidak tampil terlalu agresif dalam usaha mengasak ke kubu lawan. The Phoenix bermasalah dalam usaha mereka untuk memecah benteng yang diketuai Rafael Vitor dan Latiff Suhaimi.

Ini memaksa pengendali, P. Maniam membuat dua pertukaran pemain lebih awal dengan membawa masuk dua pemain tengah, V. Ruventhiran dan K. Gurusamy.

Kalamullah Al-Hafiz dipaksa membuat aksi menyelamat apabila Casagrande memiliki ruang untuk membuat rembatan deras di depan gawang pada minit ke-61 sebelum dua minit selepas itu, PJ City akhirnya memecah kebuntuan mereka untuk gol pertama.

Hantaran lambung dari tengah oleh K. Gurusamy berjaya menemui kapten, P. Rajes yang tenang mengawal bola di antara dua benteng, sebelum melepaskan rembatan padu untuk menewaskan Sam Somerville untuk jaringan pertama pasukan pelawat.

Babak kedua yang agak kurang menjadi buat Harimau Kumbang apabila lawan lebih pantas dalam menutup ruang setiap kali mereka cuba mengatur asakan di sebelah sayap. Ini menyaksikan mereka buntu untuk menekan kawasan defensive third lawan.

Sedar yang skuadnya semakin hilang cengkaman, Tomas Trucha terpaksa menukar wajah di jentera serangan dengan kemasukkan Azim Rahim dan Danial Ashraf.

Namun, kedua-dua pasukan gagal menambah jumlah jaringan sehingga ke wisel penamat menyaksikan Penang FC meraih kemenangan ke-4 berturut-turut. Penang FC mengumpul 37 mata dan berada di kedudukan ke-4 liga selepas 20 perlawanan.

Untuk PJ City, ini kekalahan ke-6 berturut-turut buat mereka dengan meraih 18 mata selepas 20 perlawanan. Mereka berpotensi dipintas oleh Sri Pahang FC jika pasukan itu berjaya mengikat atau menundukkan Kedah dalam aksi pada Rabu nanti.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply