Liga Super: Penang Mudah Benam Sri Pahang Di Bandaraya

endrick dos santos Penang sri pahang 2021

Selepas dua keputusan seri, Penang FC kembali dengan kemenangan dan mereka menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan selesa 3-0, sebentar tadi.

Gol-gol Penang di Stadium Bandaraya telah dijaringkan oleh kapten, Endrick dos Santos, Danial Ashraf dan pemain gantian, Jafri Firdaus Chew untuk meneruskan rentak lapan perlawanan tanpa tewas sejak 9 Mac yang lalu.

Tuan rumah turun dengan dua perubahan besar tanpa penjaring terbanyak mereka, Casagrande dan bek tengah Ryuji Utomo yang mengalami kecederaan ketika diikat dengan keputusan seri 1-1 bertemu PJ City FC pada aksi minggu lalu.

Sementara Sri Pahang pula tampil dengan perubahan berani tanpa penyerang import mereka, Yevhen Bokhashvili dan mengetengahkan Abdul Malik Mat Ariff selain kemasukkan bek kiri, Fazly Mazlan dan Shahrul Aizad di tengah.

Penang bermula dengan tempo pantas dengan mengasak pelawat seawal wisel permulaan walaupun pada awalnya tampak Sri Pahang terlebih dahulu cuba menekan dengan percubaan jarak jauh yang lemah oleh bek kanan, Shahrul Aizad.

Selepas lima minit, Penang bertubi-tubi menekan kubu Sri Pahang dan beberapa kali mengetuk untuk jaringan pembukaan dan hasilnya pada minit ke-11, kapten, Endrick dos Santos berjaya meledak jaringan pertama menewaskan Zarif Irfan.

Ia bermula dengan hantaran lambung daripada kawasan defensif third tuan rumah yang menemui Endrick dos Santos yang tidak dikawal sesiapa. Dengan tenang pemain tengah itu memperdaya dua pertahanan dan kemudian penjaga gol pelawat.

Biarpun tanpa Casagrande, jentera serangan Penang tetap nampak hidup dengan gerakan-gerakan lebih tertumpu kepada Endrick dos Santos dan Sheriddin Boboev yang mengambil alih posisi sebagai penyerang utama tuan rumah.

Minit ke-26, bermula dengan gerakan oleh Danial Ashraf yang langsung tidak diberi tekanan oleh mana-mana pemain berjaya disudahkannya sendiri dengan rembatan leret deras daripada luar kotak penalti yang terbias tiang memasuki gawang gol.

Mendahului dua gol, Penang masih tidak berhenti untuk mengasak Tok Gajah. Hanya beberapa kali Pahang cuba mengatur asakan, namun jentera serangan mereka dilihat gagal membentuk kombinasi dan kesefahaman yang baik sesama mereka.

Mungkin risau dengan situasi semasa, pengendali Pahang, Dollah Salleh memilih untuk membuat pertukaran awal dengan memasukkan Herold Goulon untuk mengukuhkan bentengnya yang semakin rapuh diasak bertubi-tubi oleh Harimau Kumbang.

Kemasukkan Herold Goulon dilihat memberi kesan dalam usaha pelawat untuk mengimbangi semula perlawanan. Rentak Penang juga sedikit terjejas dengan beberapa pertukaran disebabkan kecederaan Khairu Azrin dan Al-Hafiz Harun.

Benteng tuan rumah tampak tidak langsung tergugat apabila gandingan Rafael Vitor dan Latiff Suhaimi tampil tenang dalam membendung gerakan lawan. Ketiadaan Ryuji Utomo seakan-akan tidak langsung dirasai oleh anak buah Tomas Trucha.

Pahang dilihat kembali ke dalam perlawanan dengan permainan lebih kemas di babak kedua walaupun masih tercari-cari kombinasi di jentera depan. Kemasukkan Yevhen Bokhashvili dan Zuhair Aizat diharapkan akan menambah bisa serangan.

Dua peluang buat Tok Gajah hadir menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Lee Tuck dan Azam Azih gagal membuahkan hasil untuk mendekatkan jurang gol. Dengan urgency yang dipamerkan pemain pelawat, Penang kehilangan rentak.

Beberapa pertukaran dibuat Dollah Salleh untuk menambah sengat di jentera atas dengan kemasukkan Pedro Henrique disamping bek tengah, Herold Goulon yang di babak kedua dilihat lebih banyak berada di kawasan pertahanan lawan.

Dua percubaan berjaya dicipta Pahang menerusi Yevhen Bokhashvili dan bola kedua yang terbias di palang yang terlebih dahulu berjaya disambar Bryan See.

Ditekan pelawat berkali-kali, Penang adakalanya naik untuk mengasak, namun dilihat gagal untuk memasuki kawasan defensif third lawan. Akhirnya, pemain yang baharu dimasukkan Jafri Firdaus Chew meledak gol ketiga tuan rumah di minit ke-90.

Penang masih belum tewas dalam lapan perlawanan berturut-turut dan kemenangan selesa ke atas Sri Pahang ini membantu mereka merapatkan jurang mata dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply