Liga Super: Ledakan Kpah Sherman Beri Kedah Kemenangan Hatrik

Kpah Sherman Kedah PJ City 2021

Dua gol Kpah Sherman dan satu gol Rabih Ataya dan Fayyadh Zulkifli cukup untuk bantu Kedah melakar kemenangan hatrik, menewaskan PJ City FC 4-1, sebentar tadi.

Selepas tewas empat perlawanan berturut-turut, PJ City turun dengan misi mahu memperbaiki prestasi mereka dengan mahu menekan Kedah lebih awal. Sebaliknya berlaku apabila pelawat yang dilihat lebih selesa dalam mengawal perlawanan.

Pelawat lebih berkesan ketika memegang bola dengan tuan rumah hanya mampu memerhati gerakan dan asakan yang cuba dibina lawan. Pengendali, Aidil Sharin dilihat membuat sedikit perubahan di jentera tengah dengan kemasukkan Fadzrul Danel.

Tanpa Rodney Calvin yang mengalami kecederaan di bahu dalam aksi berdepan Terengganu FC, hujung minggu lalu, pengendali itu mempertaruhkan Loqman Hakim untuk bergandingan dengan Renan Alves di bek tengah skuad Hijau Kuning.

Minit ke-4, Kedah membuka tirai jaringan menerusi jaringan jarak jauh, bermula daripada gerakan sepakan percuma yang dibuat antara Baddrol Bakhtiar dan Renan Alves serta disudahkan oleh pemain sayap menyerang mereka, Rabih Ataya.

PJ City yang diketahui tidak memiliki penyerang yang baik dilihat kurang menguji benteng lawan yang diketuai gandingan Renan Alves dan Loqman Hakim itu.

Khyril Muhymeen diharapkan untuk menjadi penggempur utama tidak mendapat bantuan daripada rakan-rakan sepasukan terutamanya dari jentera tengah.

Dua peluang terbaik Kedah untuk meledak jaringan kedua adalah menerusi peluang yang gagal disambar kemas Kpah Sherman di depan gawang pada minit ke-19 dan rembatan deras Fadzrul Danel di minit ke-23 yang diselamatkan Syihan Hazmi.

Selepas 20 minit beraksi barulah PJ City dilihat sedikit stabil dalam membina gerakan dan kembali memegang bola. Namun, kualiti dalam membuat hantaran akhir kepada jentera serangan dan sentuhan penyudah dilihat menjadi masalah utama tuan rumah.

Kpah Sherman mengejutkan lawan di penghujung babak pertama, di saat lawan selesa untuk rehat babak pertama dengan dibolosi satu gol apabila beliau meledak jaringan kedua apabila menanduk masuk hantaran lambung oleh Kipre Tchetche.

Walaupun PJ City tampil dengan lebih mengancam di babak kedua, Kpah Sherman sekali lagi mencuri tumpuan dengan jaringan keduanya selepas menerima hantaran Kipre Tchetche, menewaskan Jeremy Lim sebelum melepaskan rembatan deras.

Ia merupakan jaringan ke-12 Kpah Sherman musim ini dan Kedah berjaya memimpin perlawanan dengan kedudukan selesa. Namun, ia tidak bertahan lama apabila lima minit kemudian, bekas pemain Kedah, Khyril Muhymeen meledak jaringan buat PJ City.

Bermula daripada defensive third mereka, K. Prabakaran berjaya merampas bola sebelum membawanya sehingga ke kawasan final third, seterusnya membuat hantaran menemui Khyril Muhymeen yang hanya membuat sentuhan mudah.

 

Dan di saat perlawanan dilihat bakal berkesudahan dengan keputusan 3-1, pemain gantian Fayyadh Zulkifli berjaya meledak jaringan ke-4 buat pelawat untuk Kedah meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menerima hantaran Kpah Sherman.

Kemenangan ini melonjak kedudukan mereka ke tangga ke-3 Liga Super, dua mata di belakang Terengganu dengan berbaki dua perlawanan tertunda di tangan. Mereka menolak Penang FC ke kedudukan ke-4, dibezakan hanya satu mata di belakang.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply