Liga Super: Kemenangan Ke Atas KL City Lengkapkan Musim Gemilang JDT

JDT Liga Super

Johor Darul Ta’zim (JDT) menoktahkan saingan Liga Super 2021 dengan penuh bergaya selepas menundukkan Kuala Lumpur City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam perlawanan terakhir musim ini.

JDT yang sudah pun mengesahkan kejuaraan lebih awal turun tanpa tekanan tetapi masih membariskan kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan ini termasuk penyerang utama Bergson da Silva yang turun dengan misi memburu kasut emas.

Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad turut diberi peluang untuk memulakan perlawanan dengan ketiadaan Arif Aiman dan Gonzalo Cabrera.

Bagaimanapun Leandro Velazquez terpaksa dikeluarkan seawal minit kelapan kerana mengalami kecederaan dan dan diganti oleh Safawi Rasid.

Selepas melakukan beberapa asakan awal, gol pertama JDT terhasil pada minit ke-16 menerusi Nazmi Faiz Mansor yang berjaya membuka akaun jaringannya pada musim ini.

Bermula dari hantaran jauh Shane Lowry terus ke hadapan gol, pemain tengah kebangsaan itu dengan bijak mengawal bola dengan sentuhan pertama yang cukup kemas sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol Kevin Mendoza.

Ketinggalan satu gol, KL City tidak panik dan mula memperkemaskan permainannya bagi mengimbangi permainan pantas yang dipamerkan pasukan tuan rumah.

Hasilnya skuad kendalian Bojan Hodak itu mendapatkan gol penyamaan menerusi hantaran pendek Safee Sali dari sepakan penjuru kepada Arif Shaqirin yang membuat kuisan ke belakang dan disambut oleh Izreen Izwandy dengan sepakan kaki kiri yang terus menerjah ke dalam gawang gol tuan rumah.

Menjelang penghujung separuh masa pertama, Syafiq Ahmad terlepas peluang untuk menjaringkan gol penyamaan walaupun mendapat peluang terbaik di hadapan gol. Begitu juga dengan percubaan Bergson pada masa kecederaan yang sedikit tinggi melewati palang gol.

Babak kedua berlangsung lebih rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan beberapa peluang terhasil yang memerlukan penjaga gol kedua-dua pasukan bekerja keras menyelamatkan gawang gol dari dibolosi.

Tetapi tuah ternyata berpihak kepada JDT untuk mendaptkan gol kedua pada minit ke-70 selepas pemain pertahanan Nik Shahrul Azim tertampan hantaran lintang Safiq Rahim ke dalam gawang sendiri.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga pengadil Muhammad Nazri Nasaruddin meniupkan wisel penamat bagi mengesahkan malam gemilang buat JDT yang menjulang trofi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply