Liga Super: JDT Kekal Menerajui Takhta Selepas Benam Sabah

Kerjasama Semuanya BOLA

JDT Sabah Liga Super

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini dunia bola sepak

Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) tiada masalah untuk mengutip tiga mata penuh sekalipun bertandang ke gelanggang lawan untuk menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Likas bagi mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super.

Pemain muda sensasi Arif Aiman meledak gol pertama JDT perlawanan seawal minit ketujuh menerusi rembatan kencang dari sebelah kanan selepas menerima hantaran cantik Afiq Fazail.

Pasukan pelawat itu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua empat minit kemudian apabila Afiq Fazail sekali lagi merencanakan serangan dengan menghantar bola kepada Bergson da Silva yang membuat rembatan susulan selepas percubaan awalnya diselamatkan penjaga gol.

Tidak mahu menyerah terlalu awal, Sabah akhirnya berhasil merapatkan kedudukan hasil jaringan penalti Levy Madinda pada minit ke-58 selepas pengadil dapat mengesan bola terkena tangan pemain pertahanan JDT Adam Nor Azlin di dalam kotak penalti.

Sabah ternyata tidak bernasib baik pada malam ini apabila terpaksa beraksi dengan hanya 10 orang pemain setelah Maxsius Musa dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan kerasnya ke atas Natxo Insa.

Kelebihan tersebut segera direspon JDT pada minit ke-69 dengan jaringan ketiga setelah Bergson da Silva sekali lagi meledakkan gol setelah menerima hantaran lintang rendah dari Arif Aiman.

Lima minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat, JDT dikurniakan sepakan penalti selepas percubaan Leandro terkena tangan pemain Sabah dan disempurnakan sebaiknya oleh pemain import Argentina tersebut untuk meletakkan pasukan selesa mendahului 4-1 sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan tersebut, JDT terus mengukuhkan kedudukan mereka di persada liga dengan 17 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tujuh perlawanan dengan lima kemenangan dan dua seri.

Kredit Foto: Johor Southern Tigers

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply