Liga Super: Ifedayo Terus Unggul Bantu Selangor ‘Ratah’ Perak Di Ipoh

Selangor Perak Liga Super

Selangor meneruskan rentak cemerlangnya dalam aksi Liga Super dengan meraih kemenangan keempat berturut-turut selepas mudah menewaskan Perak 3-0 di Stadium Ipoh.

Ifedayo Olusegun terus menjadi watak penting dengan menyumbat dua gol dalam perlawanan ini dan satu gol lagi disumbangkan oleh Oliver Buff.

Pada minit ke-37, Danial Asri yang menerima hantaran lintang Namathevan berpeluang meletakkan Selangor di hadapan namun rembatannya berjaya dihadang pemain pertahanan Perak.

Oliver Buff mengambil kesempatan dalam keadaan kelam kabut di hadapan gawang pasukan tuan rumah dengan meledak menerusi satu sepakan leret menewaskan Azri Ghani untuk meletakkan Selangor mendahului 1-0.

Gol kedua Selangor hadir pada penghujung separuh masa pertama dalam situasi yang tidak diduga apabila Ifedayo menanduk masuk bola ke sebelah kiri gawang hasil hantaran percuma dari Oliver Buff.

Selangor terus bernafsu menambah jaringan ketiga pada selepas satu jam perlawanan berlangsung menerusi sepakan penalti Ifedayo selepas Oliver Buff dijatuhkan dalam kotak penalti untuk meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului dengan tiga gol tanpa balas.

Ia merupakan gol ke-22 peribadi penyerang Nigeria itu musim ini dan meletakkannya selaku pendahulu dalam perebutan anugerah kasut emas Liga Super.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan ia adalah kali pertama Selangor menang empat perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Super sejak 2015.

Dengan membawa pulang tiga mata, skuad kendalian Karsten Neitzel itu naik ke tangga ketiga liga dan mempunyai baki tiga perlawanan untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik pada musim ini.

Perak pula yang kini dibimbing oleh ketua jurulatih sementara, Shahril Nizam Khalil terus derita dengan kekalahan keempat berturut-turut dan masih menduduki tangga kedua tercorot liga dengan hanya 13 mata dari 19 perlawanan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply