Liga Super: Hanya Kedah Mampu Halang Kejuaraan Ke-8 Berturut-Turut JDT

JDT PJ City Liga Super

Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan selaku pasukan pilihan dengan mudah mengatasi PJ City 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Kemenangan tersebut meletakkan JDT kini semakin selesa di persada liga, namun secara matematiknya, skuad kendalian Benjamin Mora itu memerlukan tiga mata lagi dari baki tiga perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut.

Bergson da Silva sebenarnya mempunyai dua peluang keemasan untuk menghasilkan gol pendahuluan JDT, namun kedua-dua percubaannya gagal menemui sasaran.

Akhirnya jaringan yang dinantikan terhasil pada minit ke-27 menerusi tolakan mudah Bergson, namun kredit seharusnya diberikan kepada Arif Aiman yang berjaya menggelecek mengatasi deretan pemain pertahanan PJ City sebelum membuat hantaran kepada penjaring terbanyak JDT itu.

Separuh masa kedua nampak agak seimbang buat kedua-dua pasukan dalam memburu jaringan, namun JDT ternyata lebih unggul untuk menggandakan kedudukan ketika perlawanan berbaki enam minit hasil jaringan Mohamadou Sumareh yang mendapat lorongan cantik Akhyar Rashid.

Satu-satunya pasukan yang menghalang JDT untuk meraikan kejuaraan adalah Kedah yang menumpaskan Terengganu dalam satu lagi aksi di venue lain.

Namun juara bertahan itu berpeluang untuk mengesahkan kejuaraan kelapan berturut-turut mereka dalam aksi seterusnya menentang Pahang di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply