Liga Super: Hampir Dimalukan, Kedah Bangkit Untuk Ikat UiTM FC

Kipre Tchetche Kedah Uitm fc 2021

Mujur buat Kedah Darul Aman FC apabila mereka berjaya untuk bangkit di penghujung perlawanan dengan meledak dua gol pantas untuk mengikat UiTM FC 3-3 dalam aksi ke-21 Liga Super, sebentar tadi.

Kedah turun dengan beberapa perubahan ketara seperti merehatkan bek tengah, Loqman Hakim yang menjadi punca kepada dua keputusan kurang memihak kepada mereka dan meletakkan Anumanthan Mohan di posisi tersebut, disamping kemasukkan Syazwan Zainon dan Azamuddin Akil dalam skuad utama.

Untuk UiTM FC yang sudah sah akan kembali ke Liga Premier musim depan, mereka turun demi maruah mereka dengan misi tidak mahu tewas. Perubahan paling menarik dan berani adalah menyenaraikan kapten dan bek tengah, Victor Nirennold sebagai penyerang untuk bergandingan bersama Dennis Buschening.

Sekali lagi tanpa Rabih Ataya dan Kpah Sherman yang masih di kem skuad kebangsaan masing-masing, Kipre Tchetche sekali lagi dipertaruhkan sebagai penyerang dengan dibantu oleh Amirul Hisyam di belakangnya.

Pertama kali beraksi di jentera depan, Amirul Hisyam yang posisi asalnya pemain tengah bertahan, memiliki peluang seawal minit ke-4 apabila menerima hantaran daripada Baddrol Bakhtiar, namun percubaannya diselamatkan Zamir Selamat. Kedah tampil bernafsu sejak wisel permulaan dengan beberapa percubaan.

Jika tidak kerana ketangkasan Zamir Selamat menyelamatkan keadaan, The Lions sudah tentu telah dibolosi antaranya percubaan deras luar kotak oleh Anumanthan Mohan dan juga rembatan Syazwan Zainon.

UiTM FC yang turun dengan perubahan berani dilihat kurang efektif di antara jentera tengah dan serangan dengan tiada kombinasi baik mampu dijelmakan oleh Ousmane Fane, Sean Giannelli dan Kwon Yong-hyun.

Rentak pantas perlawanan menjadi perlahan dan berhati-hati selepas 15 minit aksi berlangsung akibat hujan lebat dilihat mula membasahi Stadium Darul Aman, mengganggu sedikit sebanyak rentak permainan.

Minit ke-32, selepas hujan lebat sedikit reda, UiTM FC akhirnya membuat percubaan pertama menerusi Sean Giannelli, namun ia tersasar daripada gawang tuan rumah yang dikawal Shahril Sa’ari pada malam ini.

Dengan pasukan pelawat dilihat mula memiliki penguasaan bola, skuad Hijau Kuning sudah jarang naik untuk mengasak. Namun, di minit ke-37, Kedah berhasil meledak jaringan pembukaan untuk mendahului aksi.

Ia tercipta hasil tandukkan kapten, Baddrol Bakhtiar selepas menerima hantaran lintang Azamuddin Akil.

Tidak sampai tiga minit, UiTM FC berjaya mendapatkan jaringan penyamaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Dennis Buschening selepas bek tengah, Renan Alves didapati mengasari Sean Giannelli.

Umpama mendapat tonik daripada jaringan tersebut, mereka meneruskan penguasaan bola yang dimiliki sejak minit ke-30 dan kerap menekan defensive third  lawan sehingga ke wisel penamat babak pertama.

Renan Alves menjadi tumpuan sekali lagi apabila kesilapan yang dilakukannya dengan membuat hantaran ke dalam kotak penalti kepada Anumanthan Mohan, berjaya disambar Kwon Yong-hyun untuk gol kedua pelawat di minit ke-47. Beliau membuat hantaran tanpa terlebih dahulu melihat kedudukan Kwon Yong-hyun.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut skuad Hijau Kuning dibolosi dua gol selepas kali terakhir dibolosi dua gol ketika tumbang kepada Selangor FC pada pertengahan Ogos yang lalu. Kali terakhir mereka bangkit untuk menang selepas dibolosi dua gol adalah pada April lalu – menang 3-2 ke atas KL City FC, di Alor Setar.

Minit ke-64, UiTM FC mengejutkan tuan rumah sekali lagi menerusi jaringan menarik oleh Ariff Ar-Rashid menerusi ‘backheel’ yang dilakukannya selepas percubaan pertamanya ditepis Shahril Sa’ari terlebih dahulu.

Kedah mula meningkatkan tempo permainan mereka yang ‘hilang’ sejak minit ke-30 dengan cuba membina asakan ke benteng pelawat. Namun, apa yang dapat dilihat adalah kombinasi kurang kemas antara mereka.

Pengendali, Aidil Sharin membuat pertukaran untuk memperkemaskan jentera depan dan hasilnya, tidak sampai seminit dimasukkan, gandingan dua pemain, Fandi Othman dan Fikhri Zulkiflee meledak gol kedua.

Sebaik sahaja dimasukkan, Fandi Othman yang memperolehi bola di sebelah kanan gawang membuat hantaran lintang yang berjaya ditanduk oleh penyerang berusia 22 tahun, Fikhri Zulkiflee di minit ke-74.

Minit ke-80, Kipre Tchetche yang ‘senyap’ sepanjang aksi berlangsung tampil meledak jaringan penyamaan selepas menerima hantaran lambung yang dilakukan oleh Rizal Ghazali ke dalam kotak penalti lawan.

Dua gol pantas yang telah berjaya menyelamatkan maruah Kedah yang hampir dicalar oleh The Lions.

Keputusan seri 3-3 dengan UiTM FC ini menyaksikan Kedah gagal menjarakkan diri terlalu jauh daripada Penang FC, memintas musuh ketat mereka itu menerusi perbezaan jaringan apabila berkongsi 40 mata.

Untuk UiTM FC, mereka kekal di dasar Liga Super dengan mengumpul 10 mata, tiga mata di belakang Perak FC yang turut telah tersingkir ke Liga Premier pada musim depan – kali pertama sejak 32 tahun.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN