Liga Super China Akan Perkenal Gaji Siling Untuk Pemain Import

Liga Super China (CSL) sebelum ini dikenali sebagai pertandingan yang mampu menarik perhatian pemain bola sepak terkenal dunia kerana bayarannya gaji yang tinggi.

Ia mungkin akan berakhir sekiranya langkah terbaru ini dikuatkuasakan oleh badan penganjur bola sepak negara tersebut.

Mulai jendela perpindahan yang akan datang, kelab China yang mahu membawa masuk pemain luar tidak boleh membayar gaji melebihi £2 juta selepas cukai.

Bukan sahaja bayaran gaji pemain import telah dihadkan. Malah beberapa langkah lain turut diambil oleh CSL untuk mengawal perbelanjaan kelab-kelab bola sepak di negara tersebut.

Untuk pemain tempatan dari China misalnya, kelab tidak boleh menawarkan pendapatan melebihi £1.1 juta.

Malah kelab yang bertanding di CSL tidak dibenarkan berbelanja melebihi £121 juta setiap musim, selain daripada kos gaji yang tidak boleh melebihi 60% daripada kos operasi keseluruhan semusim.

“Kelab-kelab telah banyak membazir wang dan tahap profesional bola sepak kita tidak menampakkan kesinambungan yang diperlukan,” kata Pengerusi Persatuan Bola Sepak China (CFA), Chen Xuyuan.

“Jika tiada tindakan diambil pada hari ini, kerisauan saya bola sepak kita akan jatuh satu hari nanti.”

Bagaimanapun peraturan berkaitan pembayaran gaji tidak termasuk pembayaran bonus yang masih dibenarkan.

Antara nama besar yang pernah beraksi di CSL adalah Carlos Tevez. Pada hari ini pemain seperti Marouane Fellaini, Oscar, merupakan antara pemain asing yang menerima gaji termahal di CSL.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram