Liga Super 2021: Selepas 15 Tahun, Penang FC Kembali Kejutkan Selangor FC

Danial Ashraf Al-Hafiz Casagrande Penang FC Selangor FC 2021

Penang FC akhirnya meraih tiga mata kedua mereka selepas berjaya mengejutkan Selangor FC dengan kemenangan 2-0 di Stadium MBPJ, sebentar tadi.

Kali terakhir Penang menewaskan Selangor di laman lawan adalah 15 tahun lalu, menang dengan jumlah jaringan yang sama menerusi Farizal Rozali dan Mat Saiful Mohamad dan kali ini, Al-Hafiz Harun dan Danial Ashraf pula mencetak jaringan.

Tomas Trucha terpaksa merombak barisan pemainnya dengan kehilangan Endrick dos Santos dan Ryuji Utomo yang mengalami kecederaan ketika terikat tanpa jaringan bertemu UiTM FC di Stadium Bandaraya pada Selasa. Latiff Suhaimi menggantikan Ryuji Utomo, sementara Danial Ashraf untuk posisi Endrick.

Begitupun ia seperti tidak menjejaskan permainan Penang dengan mereka tampil sedikit garang berbanding Selangor yang lebih gemar memperlahankan tempo dan memulakan aksi dari bawah. Benteng Selangor diterajui Tim Heubach dan Jordan Ayimbila dilihat berjaya menafikan peluang dicipta oleh pelawat.

Pemain berusia 20 tahun skuad Selangor 2, Jordan Ayimbila tampil menyerlah sejak dipanggil menyertai skuad utama pada perlawanan ketiga liga dilihat cemerlang menafikan beberapa peluang yang cuba dijana oleh jentera serangan Penang.

Tekanan yang diberikan oleh pemain sayap kanan, Al-Hafiz Harun kepada benteng tuan rumah banyak dikekang oleh Jordan Ayimbila dan hanya sekali beliau telah berjaya membuat hantaran, namun tandukan David Rowley hanya melewati palang.

Tuan rumah bangkit dengan beberapa asakan ke kawasan lawan, namun mereka gagal mengegar jaring pelawat, sama ada menerusi percubaan yang tersasar ataupun dengan cemerlang diselamatkan oleh penjaga gol utama Penang, Sam Somerville.

Antara peluang Selangor adalah menerusi dua tandukan Shahrel Fikri pada minit ke-8 dan ke-25, namun ia tersasar melewati palang gol pelawat. Aliff Haiqal juga memiliki dua peluang, namun gagal disudahkannya untuk mereka mendahului aksi.

Casagrande hampir membuka jaringan gol untuk perlawanan ini pada minit ke-36, namun percubaan lemahnya telah berjaya dikeluarkan oleh pertahanan tuan rumah di atas garisan gol. Gawang yang terbuka telah disia-siakan oleh Casagrande.

Akhirnya, Al-Hafiz Harun berjaya menebus kekecewaan tersebut dua minit kemudian apabila menyempurnakan ruang yang dicipta oleh hantaran Sheriddin Boboev dengan rembatan rendah melewati penjaga gol, Khairulazhan Khalid untuk gol pertama.

Di babak kedua, Selangor tampil mengasak Penang dengan deretan percubaan ke gawang pelawat apabila lawan tampil lebih bertahan. Penang hanya menggunakan beberapa peluang untuk membuat serangan balas pantas ke kubu lawan.

Beberapa kali Sam Somerville dengan cemerlang berjaya menafikan peluang oleh tuan rumah untuk gol penyamaan antaranya rembatan pemain gantian Mukhairi Ajmal pada minit ke-56 dan rembatan jarak dekat kapten, Brendan Gan pada minit ke-64.

Pemenang Kasut Emas musim lalu, Ifedayo Olusegun juga tampil mengecewakan pada malam ini dan salah satu peluang yang didapatinya di depan gawang pelawat pada minit ke-52 gagal diterjemahkannya dengan jaringan gol penyamaan.

Di saat The Red Giants leka mengatur asakan, Penang FC berjaya mencipta jaringan kedua di minit ke-73 menerusi Danial Ashraf yang menerima hantaran lolos daripada Khairu Azrin sebelum menewaskan penjaga gol dan melepaskan rembatan ke gawang.

Semangat keperwiraan Selangor ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 dilihat hilang sekali lagi sebagaimana selepas mereka meraih kemenangan ke atas Sri Pahang dan kemudian tunduk kepada Terengganu FC dalam perlawanan kedua liga.

Selangor cuba mengurangkan defesit gol, namun segalanya terlambat berdepan pasukan yang bermain secara bertahan dengan baik seperti Penang. Ifedayo Olusegun memiliki satu lagi peluang di hujung perlawanan, namun percubaannya tersasar.

Kemenangan mengejut ini membantu Penang melonjak ke kedudukan ke-4 Liga Super 2021, dua mata di belakang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Terengganu dan JDT.

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply