Liga Super 2021: 5 Perkara Pertembungan ‘Rakan Promosi’ Penang FC vs KL City

Boboev Penang FC KL City FC Liga Super 2021

Penang FC berjaya merakam kemenangan sulung dalam aksi pertama Liga Super 2021 apabila berjaya menewaskan ‘rakan promosi’, KL City FC dengan keputusan 1-0.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya itu jelas dikuasai oleh Penang FC dan jaringan pemain tengah, David Rowley sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat mereka apabila kembali semula ke Liga Super selepas tiga musim.

Berikut adalah 5 perkara pertembungan Penang FC dan KL City dalam minggu pertama Liga Super 2021.

1. ‘Renew’ persaingan Liga Premier 2020

Pertembungan Penang FC dan KL City ini menyaksikan pertembungan semula dua pasukan yang bersama-sama meraih tiket promosi ke Liga Super musim ini.

Pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan Penang FC meraih kemenangan 2-1 pada September 2020. Ia satu kemenangan terbaik ketika itu kerana kedua-dua pasukan sedang bersaing merebut kejuaraan Liga Premier.

Bek tengah, Rafael Vitor muncul wira Harimau Kumbang dengan jaringan gol di minit ke-93 untuk memberikan tiga mata berharga berdepan pencabar, KL City.

Kini, dengan pertemuan awal antara kedua-dua pasukan membolehkan KL City cuba membalas dendam atas kekalahan mereka musim lalu. Untuk rekod pertembungan, dalam 56 aksi, Penang FC meraih 27 kemenangan – hampir 50 peratus.

Namun, berdasarkan perlawanan sebentar tadi, dilihat KL City seakan-akan tiada nafsu untuk membalas dendam, malah Penang FC tampil lebih tersusun dalam mengatur asakan dan juga bertahan. Kemenangan tipis ini sudah cukup untuk menghadiahkan debut semula Liga Super yang terbaik dan indah buat penyokong Harimau Kumbang.

2. Kembali semula ke liga utama

Kali terakhir Penang FC beraksi di Liga Super adalah pada musim 2017 selepas dua musim kembali ke saingan tertinggi Liga Malaysia. KL City pula hanya perlu melalui semusim di Liga Premier dan membuat ‘comeback’ segera ke Liga Super musim ini.

Adakah pasukan-pasukan yang kembali ke Liga Super akan segera ‘dikembalikan’ ke Liga Premier? Melihat persediaan kedua-dua pasukan, ia mungkin tidak akan berlaku. Penang FC mahupun KL City, kedua-duanya memiliki persediaan mantap.

Pada musim pertama mereka kembali ke Liga Super 2016, Penang FC tumbang dalam aksi pembukaan kepada Terengganu dengan keputusan 0-1 sebelum bangkit untuk mengejutkan Pahang 4-1. Mereka menamatkan musim itu di kedudukan ke-10.

Untuk KL City pula, ketika kembali ke Liga Super 2018, mereka tewas dalam dua perlawanan pertama berdepan Selangor (0-2) dan Negeri Sembilan (0-2). Mereka bangkit di aksi ketiga, mengejutkan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

3. Kembalinya Bojan Hodak, debut Tomas Trucha

Satu drama menarik adalah bagaimana Nidzam Adzha dan Manzoor Azwira yang berjaya membawa KL City dan Penang FC kembali ke Liga Super, namun tidak dapat meneruskan tugas mengendalikan pasukan dek kerana tiada Lesen Pro AFC.

Yang paling kecewa tentunya Manzoor Azwira kerana beliau kembali ke Penang FC pada pertengahan musim 2019 dan membantu Harimau Kumbang melonjak daripada zon penyingkiran ke kedudukan ke-3 liga seterusnya dihadiahkan ‘tiket’ promosi.

Namun, tiket Liga Super yang diraih terpaksa diserahkan kepada PDRM selepas arahan pemotongan enam mata oleh FIFA kerana masalah tunggakan gaji bekas pemain, Reinaldo Lobo yang gagal dilunaskan mengikut masa yang ditetapkan. Penang FC kembali ke musim 2020 dengan meraih tiket sekaligus menjuarai saingan Liga Premier.

Untuk KL City, Nidzam Adzha mungkin kecewa namun beliau terpaksa menerima kenyataan. Pengurusan lebih awal mengumumkan tugasnya akan diberikan kepada pengendali baharu dan beliau akan ditugaskan sebagai pembantu jurulatih.

Penang FC selepas itu mengumumkan Tomas Trucha sebagai pengendali, sementara KL City pula berdepan ‘masalah’ melantik dua pengendali dalam tempoh yang singkat.

Semua pastinya tidak menyangka, jurulatih yang berpengalaman di Liga Malaysia dan memiliki pemain-pemain lebih ternama berbanding lawan, gagal membenam cabaran Penang FC yang dikendalikan wajah baharu Liga Malaysia, Tomas Trucha.

4. Debut bertuah David Rowley bersama Penang FC

Sepanjang beraksi di Liga Malaysia, sejak musim 2018, David Rowley gagal untuk meledak gol malah beliau hanya dianggap sebagai pilihan kedua pasukan yang disertainya. Beliau tampil lebih banyak ketika di Kelantan dan Kedah pada 2019.

Tiada siapa sangka, beliau akan menjadi pilihan kesebelasan utama Penang FC untuk perlawanan malam ini kerana tuan rumah masih memiliki dua pemain yang lebih berpengalaman di Liga Malaysia iaitu Danial Ashraf dan Fadhil Idris.

Minit ke-29, bermula daripada sepakan penjuru oleh kapten, Endrick dos Santos berjaya disambar David Rowley yang berada di penghujung gawang gol. Tidak dikawal, pemain berusia 31 tahun itu mudah untuk menghasilkan jaringan pertama tuan rumah.

Kepercayaan Tomas Trucha terhadapnya telah dibalas dengan jaringan pembukaan dan pendahuluan buat pasukan di saat ramai yang menagih sentuhan Casagrande.

Pemain kacukan Malaysia-Australia itu bermula di Malaysia bersama Negeri Sembilan sebelum berhijrah menyertai sementara Kelantan dan kemudian ke Kedah.

5. Penang FC lebih bersedia berbanding KL City

Ramai menjangkakan Bojan Hodak akan berjaya dalam perlawanan pertamanya sejak kembali semula ke Malaysia, namun Tomas Trucha yang berjaya mencuri tumpuan.

Permainan yang tenang dan tersusun, memperlihatkan yang Penang FC lebih bersedia untuk aksi pembukaan ini. Dengan formasi 4-3-3 dan kejutan penyenaraian bek kiri berusia 20 tahun, Azmeer Aris menggantikan kapten, Azmi Muslim dan penyenaraian David Rowley di jentera tengah, membuktikan Tomas Trucha ‘mengenali’ pemainnya.

KL City yang dibarisi pemain-pemain yang lebih ternama berbanding Penang FC dilihat kurang terurus dan gagal menghadirkan sebarang ancaman buat tuan rumah. Pemain seperti Hadin Azman, Indra Putra Mahyuddin dan Romel Morales dilihat tenggelam sepanjang perlawanan. Mereka cuba bangkit di penghujung aksi, namun gagal.

Sebaliknya, Harimau Kumbang yang beraksi lebih baik dengan benteng mereka juga gagal digugat hasil gandingan baik Ryuji Utomo dan Rafael Vitor. Dan, menariknya, penjaga gol mereka, Sam Somerville berjaya merekodkan ‘clean sheet’ pertama.

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Baca lagi artikel lain mengenai Penang FC dan KL City FC:

5 Kelebihan Ryuji Utomo Yang Boleh Bantu Penang FC Di Liga Super

Mengenang Gol Tiki-Taka Penang FC Yang ‘Mendonia’ Di Musim Gemilang 2020

RASMI: KL United Kini Bertukar Menjadi Kuala Lumpur City

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN