MSL 2018: Kedah Dipaksa Bangkit 2 Kali Sebelum Berjaya Menewaskan PKNS FC 4-3

Kedah dipaksa bangkit sebanyak dua kali sebelum dapat pulang dengan mata selepas berjaya menewaskan tuan rumah, PKNS FC 4-3 dalam perlawanan unifi Liga Super 2018 yang menarik di Stadium Shah Alam tadi.

PKNS memperolehi gol menerusi jaringan Faris Ramli dan 2 gol Mahali Jasuli. Bagi Kedah pula, 2 gol Liridon Krasniqi membolehkan mereka bangkit sebelum jaringan sendiri K. Reuben dan gol jarak jauh Ariff Farhan mengecewakan tuan rumah.

PKNS tanpa Anderson

Tuan rumah yang mendahului kedudukan liga sebelum kemenangan 3-0 JDT ke atas Melaka semalam membuat satu pertukaran kepada kesebelasan utama mereka yang menewaskan Perak – Azmizi Azmi masuk menggantikan Zach Anderson.

Safee Sali sekali lagi diketepikan dengan Datuk K. Rajagobal memilih defensive midfielder, M. Sivakumar untuk mengekalkan sistem 4-5-1 – petanda jelas PKNS menghormati kekuatan jentera tengah Kedah.

Kedah pula membuat 5 pertukaran kepada kepada kesebelasan utama yang menewaskan PKNP. Dengan kembalinya Ariff Farhan, Alvaro Silva, Akram Mahinan, Liridon Krasniqi dan Ifwat Akmal, bermakna Kedah turun serius mahu mengutip 3 mata. Sandro Mendonca hanya sekadar di bangku simpanan.

Kedah kuasai tengah

Seperti yang dijangka, Kedah dominan menguasai bola pada majoriti separuh masa pertama. Double pivot Kedah yang dianggotai oleh Akram Mahinan dan Liridon Krasniqi merupakan 2 pemain yang paling kerap memegang bola sambil dibantu oleh Andik Vermansah yang diberi tugasan central winger.

Sebagai central winger, Andik berupaya mencipta kelebihan angka (numerical advantage) di bahagian tengah dan sayap. Bagaimanapun ia jarang-jarang membahayakan pertahanan PKNS memandangkan tuan rumah kekal kompak dan berdisiplin ketika bertahan.

Penguasaan bola Kedah pula banyak berkisar di kawasan padang mereka. Hanya apabila ada gerakan-gerakan menarik dari 2 pemain sayap mereka – Baddrol Bakhtiar dan Akhyar Rashid – ke zon 14, barulah Kedah mendapat peluang gol.

Kedah mencipta 2 peluang pada 20 minit pertama melalui pelan serangan ke zon 14 ini. Paling berbahaya adalah pada minit ke-6, Baddrol berpeluang menguji Shahril Saari. Tetapi percubaannya meliar melepasi palang gol.

Pada minit ke-30, Baddrol sekali lagi menguji Shahril apabila bola sepakan percumanya singgah ke palang. Tetapi sekadar bola melantun keluar sekaligus melegakan anak buah Rajagobal.

Faris mimpi ngeri Rizal

Foto: PKNS FC

Bagi PKNS, majoriti peluang-peluang mereka hadir menerusi persembahan cemerlang Faris Ramli di sayap kiri. Berdepan dengan salah satu bek kanan terbaik negara, Rizal Ghazali, Faris dijangka menghadapi kesukaran. Tetapi sebaliknya berlaku.

Pada minit 31′, larian direct Faris gagal dihentikan oleh Rizal; menyebabkan penyerang sayap Singapura ini diberi ruang untuk melakukan larian ke tengah (cuts inside) sebelum menjaringkan gol pembukaan perlawanan. Ia adalah gol tipikal bagi seorang inverted winger sepertinya.

Dan selepas gol tersebut, Faris bertambah yakin. Rizal pula bergelut. Pada separuh masa pertama, Rizal dua kali ditewaskan Faris dalam situasi 1v1.

Kedah samakan kedudukan

Bagaimanapun kelebihan gol PKNS hanya bertahan selama 3 minit. Pada minit 34′, Akhyar Rashid dikasari dan dijatuhi dalam kotak penalti selepas berjaya menewaskan Qayyum Marjoni.

Pengadil, Amirul Izwan tidak teragak-agak untuk memberikan penalti kepada Kedah yang disempurnakan dengan tenang oleh Liridon. PKNS 1-1 Kedah.

Liridon Krasiqi meraikan gol pertamanya ketika membantu Kedah menewaskan PKNS 4-3 di Stadium Shah Alam (Kredit: Kedah FA)

3 minit kemudian, PKNS mempunyai peluang untuk mengembalikan kelebihan 1 gol mereka. bagaimanapun Ifwat Akmal cemerlang menafikan tandukan Rafael Ramazotti berikutan hantaran lintang baik dari Qayyum.

Faris vs Liridon

Sebaik separuh masa kedua bermula, Faris Ramli sekali lagi menampilkan bahayanya. Kegagalan pertahanan Kedah untuk lekas mengekang Faris di tengah membolehkan beliau mudah membuat hantaran kepada Mahali Jasuli.

Sekalipun Khairul Helmi bertindak baik memaksa Mahali menggunakan kaki kirinya, ia masih tak dapat menghalang Mahali untuk menjaringkan gol kedua PKNS.

Ramon Marcote bertindak balas terhadap gol tersebut dengan membawa masuk Sandro Mendonca dan mengeluarkan Akhyar Rahid. Hasilnya 10 minit kemudian, Liridon Krasniqi berjaya menewaskan Shahril Saari, menerusi permainan baik di tengah, sebelum disudahi dengan rembatan jarak jauh yang cemerlang.

Permainan semakin terbuka

Gol kedua Liridon itu mencetuskan kebangkitan Kedah.

Pada minit ke-68′, kesilapan Faris yang hilang bola di kawasannya sendiri memberi peluang serangan balas kepada Kedah. Baddrol kemudian melarikan bola sebelum membuat hantaran lintang yang kemudiannya ditampan oleh K. Reuben ke gawangnya sendiri.

Tetapi PKNS tidak putus semangat. 2 minit kemudian, Rafael Ramazotti dijatuhkan dalam kotak penlai Kedah oleh Khairul Helmi. Pengadil memberikan sepakan penalti buat PKNS. Bagaimanapun sepakan penalti yang diambil Ramazotti itu berjaya diselamatkan Ifwat.

Kegagalan bekas penjaring terbanyak liga Singapura, S-League pada musim lepas itu nyata menceriakan kira-kira 4,000 penyokong Kedah di Stadium Shah Alam.

Dengan kedudukan 3-2 memihak Kedah dan masa yang semakin suntuk, perlawanan menjadi panas dengan banyak insiden melibatkan pengadil berlaku. Rajagobal pula bertindak balas dengan menukar sistem 4-5-1 kepada 4-2-4 dan memasukkan 2 lagi pemain ofensif – Jafri Chew dan Khyril Muhymeen.

Bagaimanapun ia gagal membawa impak yang diharapkan. Sebaliknya Kedah yang berjaya menjaringkan gol ke-4 menerusi percubaan jarak jauh Ariff Farhan dari jarak 25 meter.

Ketika perlawanan nampak berakhir untuk kemenangan dominan Kedah, Mahali Jasuli menambah koleksi jaringannya untuk gol saguhati PKNS. Kemenangan 4-3 ini sekurang-kurangnya dapat mengubati rasa kecewa penyokong Kedah terhadap persembahan defensif dan Pablo Pallares pada malam ini.

Pemain terbaik perlawanan: Liridon Krasniqi (Kedah)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram