Liga Perancis Dibatalkan, PSG Buru Kejuaraan UCL

Ligue 1 Perancis

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe mengesahkan pihak kerajaan tidak akan membenarkan pertandingan bola sepak dan penganjuran sukan-sukan lain berlangsung di negara itu sebelum bulan September.

Menurut Reuters, keputusan itu sekaligus menjadikan saingan Ligue 1 dan Ligue 2 musim ini terus dibatalkan dan perancangan untuk menyambung semula semua perlawanan pada bulan Mei ini tidak dapat dilaksanakan.

“Musim 2019/20 untuk sukan-sukan profesional terutamanya bola sepak tidak akan disambung,” kata Philippe dalam kenyataanya di Parlimen yang membentangkan perancangan di peringkat kebangsaan berkenaan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa sejak 17 Mac.

“Untuk memberi kefahaman lebih jelas kepada penganjur, saya mahu menerangkan semua penganjuran pertandingan sukan, majlis kebudayaan, festival, pameran perdangangan dan semua acara yang melibatkan penyertaan lebih daripada 5,000 orang peserta tidak boleh diadakan sebelum September,” kata Philippe.

Dengan pembatalan tersebut, pihak pengurusan liga perlu menentukan pasukan mana yang akan layak ke saingan pertandingan Eropah musim depan, penyingkiran dan juga promosi.

Pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain tentunya pasukan paling terkesan dengan keputusan kerajaan itu memandangkan mereka masih berharap untuk mengejar kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah musim ini yang dijangka akan diteruskan.

Pasukan tersebut telah pun mara ke peringkat suku akhir selepas menyingkirikan Borussia Dortmund 3-2 secara agregat pada awal bulan lepas di peringkat 16 pasukan terakhir.

Bagaimanapun Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi masih enggan mengalah dengan menyatakan pasukan tersebut akan meneruskan impian mereka untuk memburu trofi kejuaraan Eropah itu walaupun perlu bermain di luar Perancis.

Perancis kini merupakan negara kelima tertinggi merekodkan kematian disebabkan wabak COVID-19 di belakang Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol dan Britain.

Liga Belgium sebelum ini terlebih dahulu membatalkan saingan liga mereka disusuli dengan Liga Belanda apabila kerajaan melanjutkan larangan penganjuran aktiviti berkumpulan sehingga 1 September. 

Eredivisie memutuskan tiada pemenang, penyingkiran dan promosi diumumkan, tetapi kelayakan ke pertandingan Eropah berdasarkan kedudukan semasa liga.

Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pula pada Selasa telah meminta semua pengajur liga di negara anggotanya untuk membentakan pelan mereka untuk menyambung semula liga domestik.

Setakat ini, Bundesliga, Serie A dan Liga Perdana Inggeris masih optimis mereka mampu untuk melengkapkan saingan liga musim ini.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liga Perancis:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram