Liga Juara-Juara Eropah: Tottenham Hotspur Jinakkkan Real Madrid Di Wembley

Tottenham Hotspur

Bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah kumpulan G dan H pula, Besiktas dan Tottenham Hotspur mendahului kumpulan masing-masing dengan mencatatkan 10 mata walaupun kedua-dua pasukan menerima nasib yang berbeza pada perlawanan pagi tadi.

Tottenham gah dengan kemenangan 3-1 menentang penyandang juara, Real Madrid manakala Besiktas terikat 1-1 dengan AS Monaco.

Kumpulan G

Besiktas lawan AS Monaco

Beraksi di Vodafone Stadyumu, Besiktas tersentak dengan jaringan menarik dari luar kotak penalti oleh Rony Lopes pada masa kecederaan babak pertama.

Penyerang tuan rumah, Cenk Tosun muncul sebagai penyelamat buat pasukan yang dibimbing bekas pengurus skuad kebangsaan Turki, Senol Gunes apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada tuan rumah pada minit ke-54.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.

Walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri, Besiktas kekal ditangga teratas kumpulan G. 4 mata meninggalkan FC Porto ditempat kedua yang memperoleh 6 mata. RB Leipzig dan AS Monaco masing-masing mencatatkan 4 dan 2 mata.

FC Porto lawan RB Leipzig

FC Porto berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-12 berpunca daripada keadaan kelam kabut dihadapan pintu gol RB Leipzig. Hector Herrera yang tidak dikawal berjaya melakukan rembatan yang menewaskan Peter Gulacsi di gawang lawan.

RB Leipzig menghukum kealpaan pertahanan FC Porto sebaik sahaja babak kedua bermula apabila lorongan cantik dari Marcel Sabitzer berjaya disudahkan oleh Timo Werner bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

Danilo Pereira kembali menceriakan penyokong tuan rumah apabila tandukan dilakukannya hasil sepakan percuma dari Alex Telles menerjah jaring untuk FC Porto kembali di depan.

Maximiliano Pereira mematikan sisa perjuangan kelab dari liga Jerman itu apabila menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh Vincent Aboubakar untuk kemenangan 3-1 buat skuad bimbingan Sergio Conceicao itu.

Kumpulan H

Tottenham Hotspur lawan Real Madrid

Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Santiago Bernabeu, Tottenham Hotspur berjaya menggunakan kesempatan ekoran prestasi kurang memberangsangkan Real Madrid dalam saingan La Liga ketika ini apabila berjaya menewaskan gergasi Sepanyol tersebut di Wembley.

Delle Ali membuka tirai jaringan pada minit ke-27 setelah berjaya menolak masuk hantaran lintang yang dilakukan Kieran Trippier.

Alli menambah jaringan buat Spurs apabila rembatan yang dilakukannya terbias mengenai Sergio Ramos yang membuatkan penjaga gol Real Madrid, Francisco Casilla tertewas buat kali kedua.

Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, Tottenham Hotspur terus menggandakan usaha dan jaringan ketiga menjelma pada minit ke-65 menerusi Christian Eriksen.

Bintang dunia, Cristiano Ronaldo menemui sentuhan jaringannya pada minit ke-80. Bagaimanapun jaringan tersebut tidak mempu untuk menghalang tuan rumah untuk mencatatkan kemenangan sekaligus berada di persada kumpulan H setakat ini.

Kemenangan ini telah mengesahkan tempat Spurs ke pusingan seterusnya.

Borussia Dortmund lawan APOEL Nicosia

Kelab dari Jerman itu mensia-siakan peluang keemasan untuk meraih mata penuh di tempat sendiri apabila sekali lagi diikat 1-1 oleh APOEL. Keputusan yang sama turut dicatatkan pada perlawanan di Cyprus.

Pemain pertahanan kiri Dortmund, Raphael Guerreiro menjaringkan gol pembukaan pada babak pertama manakala Mickael Pote menyamakan kedudukan pada babak kedua buat APOEL untuk kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.

Keputusan tersebut meletakkan Borussia Dortmund dan APOEL ditempat ke-3 dan 4 kumpulan setelah masing-masing memperoleh 2 mata. Real Madrid ditempat kedua dengan 7 mata dicatatkan.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN