Legenda Colombia Kutuk Perpindahan James Rodriguez Ke Everton

James Rodriguez

Kehadiran James Rodriguez ke Everton sememangnya diraikan penuh gembira oleh penyokong pasukan tersebut dengan ianya menyaksikan pemain itu bersatu dengan pengurus Carlo Ancelotti buat kali ketiga.

Walaupun perpindahan itu dilihat begitu signifikan untuk Everton khasnya dan Premier League amnya, situasi itu sepertinya tidak begitu disenangi oleh legenda bola sepak Colombia.

Faustino Asprilla, yang pernah bermain untuk Newcastle United satu ketika dahulu mengkritik tindakan James yang berpindah ke Everton.

Bercakap kepada media Colombia, Asprilla mengatakan yang tindakan James itu seolah mengambil jalan ke belakang dalam kariernya.

Asprilla jelas tidak faham dengan situasi James yang sebelum ini pernah mengadu yang Jerman terlalu sejuk buatnya. Kini beliau berpindah ke Liverpool yang dimana cuacanya lebih kurang saja seperti di Bavaria.

“Keputusan beliau untuk tidak mahu kekal di Bayern Munich adalah kerana cuaca disana terlalu sejuk buatnya. Lantas, James pulang ke Real Madrid hanya untuk memanaskan bangku simpanan.”

“Kini, beliau memilih untuk ke Liverpool yang saya rasakan lebih sejuk berbanding di Bavaria.”

Sebelum ini, James pernah mendedahkan yang beliau mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupannya di Jerman.

“Hidup di Jerman sememangnya sukar, pada satu hari saya pergi kerja pada jam 9 pagi dan saya mendapati suhu adalah -28 darjah celcius.”

“Saya mula terfikir, apa yang saya lakukan disini dengan cuaca yang begitu sejuk?”

Kritikan pedas Asprilla mengenai keputusan James untuk ke England mungkin mempersoal tahap konsisten pemain itu mengenai pendiriannya terhadap negara bersuhu sejuk.

Tetapi, pengaruh untuk bersama Ancelotti mungkin memainkan peranan besar kepada pemain itu untuk beraksi di Premier League.

James menjadi pemain Everton dengan mengikat kontrak selama dua tahun.

Baca juga artikel kami mengenai James Rodriguez:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply