Leeds United Intai Peluang Sambar Gianluigi Buffon

Leeds United dilaporkan berminat untuk membawa masuk bekas penjaga gol antarabangsa Itali, Gianluigi Buffon untuk kempen musim akan datang.

Penjaga gol legenda berusia 41 tahun itu meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada penghujung musim lalu, dan kini sedang mempertimbangkan pelbagai tawaran di dalam dan juga luar padang.

Parma dan Atalanta adalah dua pesaing utama Leeds United, sekiranya kelab Championship itu serius untuk mendapatkan khidmat Buffon.

Perkhabaran minat oleh Leeds didedahkan oleh akhbar di Itali, Corrire della Sera.

Leeds gagal layak ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim hadapan selepas tewas di separuh akhir play-off kepada Derby County, namun itu tidak menjadi halangan kepada Marcelo Bielsa untuk kekal di kelab tersebut.

Bielsa sudah pun memulakan perancangan membawa masuk beberapa muka baharu bagi saingan pada musim hadapan, dan Buffon dikatakan turut berada dalam senarai tersebut.

Buffon sebelum ini pernah berkata mungkin akan meneruskan karier sebagai pemain jika dilamar dengan projek yang mampu memberi keterujaan kepada beliau.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram